Angin laut yang terus berbisik di Teluk Bidara ini adalah bicara tentang kehidupanku. Di sinilah sewaktu kecil, aku lelah bermain-main mengejar ombak dan anak-anak ketam yang sedang berlarian di pasir pantai. Di sini jugalah, aku akan terus berbicara tanpa jemu tentang laut, ikan, sotong, udang, si camar, terumbu karang, ombak badai, gelombang laut, sang helang berdada merah dan tentang segunung harapan di hatiku. Di pantai Teluk Bidara inilah angin dari Laut China Selatan akan terus berbisik tanpa henti. - Upenyu
Showing posts with label Puisi Teluk Bidara. Show all posts
Showing posts with label Puisi Teluk Bidara. Show all posts

Sunday, March 23, 2014

PUISI DOAKAN MH370 - AIR MATA KAMI UNTUK MH370



Assalamualaikum.

Saya telah dijemput oleh Kumpulan Penulis Muda (IPM - Ikatan Persuratan Melayu) untuk membaca puisi pada “Malam Gema Puisi Doa dan Harapan MH370 Sungai Rambai” pada 22 Mac, 2014 di Laman 1 Belia Sungai Rambai, Melaka. Berikutan adalah puisi yang telah saya deklamasikan pada malam itu.


Air Mata kami Untuk MH370


Tuhan
Air mata ini
yang mengalir dari hati kami
adalah bicara tulus
seungkap doa setulus rasa
dari hamba mu yang hina
ketika bibir kami
tidak lagi mampu berbicara


Tuhan
Air mata ini
yang  mengalir di bening pipi kami
adalah secebis puisi resah
gundah
terlahir dari kedaifan kami
memohon belasMu
buat mereka agar  segera pulang


Tuhan
Air mata ini
kami utuskan hingga langit ketujuh
Mohon didengari
semoga yang terukir di ranting arasyi itu
bukan tentang kedukaan
bukan tentang penderitaan
tapi hanyalah tentang  rinduMU
pada zikir-zikir
yang telah lama kami abaikan


Tuhan
Air mata ini
yang gugur membasahi bumi
adalah sujud sembah kami
agar kau kirimkan senyuman buat kami
yang dambakan kembali hangat dakapan mereka


Tuhan
Air mata ini
yang terus mengalir dari keresahan
adalah penyerahan sepenuh jiwa raga kami
pada keesaanMu
jadikanlah kami hamba yang redha
pada setiap musibat yang Engkau
ujikan kepada kami
moga kami tidak lagi alpa


Tuhan
Bicara apa lagi yang mampu kami utuskan
setelah kering jua setiap patah-patah kata kami
yang tinggal berbicara adaah air mata


-       -   Upenyu, Sungai Rambai, Melaka 22 Mac 2014

Monday, August 15, 2011

Saturday, February 19, 2011

Di Jambatan Tamparuli


“.. . di atas kepingan kayu-kayu rapuh yang ku pijak di Jambatan Tamparuli, tidak kutemui ukiran tinta rindumu yang kau tinggalkan untukku, dan Sungai Kiulu pun mengalir lesu ….”


- Upenyu, Jambatan Tamparuli

Friday, February 18, 2011

Ke Puncak Kinabalu


Ke Puncak Kinabalu

mendakimu
seolah tidak mampu lagi
ketika

nafasku bergelora untuk memelukmu
namun
kedinginanmu sungguh mengigilkan
kesunyian ini
sungguh menakutkan.



- Upenyu, Kundasang, Sabah

Wednesday, February 9, 2011

Kosong


Kosong

Yang kudengar
desir angin tanpa rasa
dan ruang ini …….
kembali pada asalnya
k o s o n g

- Bandar Baru Salak Tingi
image by http://menjadikosong.wordpress.com/about/

Tuesday, February 8, 2011

Di Balik Kerudung Birumu



Di Balik Kerudung Birumu
Karya : Upenyu


Ada haruman apa pada lembut kerudungmu
terbawa oleh angin yang tiba-tiba menampar lembut wajahku
disorot sapa bisu antara dua bibirmu
ada kebiruan yang mengetar di dalam
bagai sehari gerimis membasah seribu musim kering
terurai genggam erat jabat tangan kita
tak semudah melupakan indahmu

.... kini tertinggal pada tebing curam, dan jurang yang dalam.


- Bandar Baru Salak Tinggi, 1 Januari, 2011

Sunday, June 13, 2010

Alangkah tidak seronoknya hidup bersendirian...


Selepas hampir seminggu bercuti sambil menjelajahi utara semanjung dari Kuala Kangsar, Baling, Alor Setar, kemudian ke Langkawi dan sebelum pulang sempat singgah di Padang Besar sebelum terus ke Melaka menghantar isteri dan anak-anak pulang ke rumah nenek mereka. Perjalanan panjang yang agak meletihkan, dan akhirnya pulang sendirian ke rumah sendiri di BBST. Rumahku syurgaku.


Setiba di rumah, segalanya tiba-tiba bagaikan kosong dan bisu. Rumah yang tersergam menanti, tiba-tiba menjadi hanya dinding-dinding batu yang bisu, Pokok-pokok bunga yang menghiasi halaman seakan kehilangan seri. Warna bunga-bungaan seolah pudar. Sunyi dan kosong. Itulah perkataan yang paling sesuai saat ini.


Sudah hampir empat hari tidak terdengar lagi bebelan isteri tentang baju dan seluar yang dicampak berselerakan, suara kelahi anak-anak yang merebutkan internet. Tiada lagi secawan kopi panas yang menunggu waktu pulang petang. Tiada lagi suara mengejutkan tidur,"Bang.. bangun, sembahyang subuh...."


Helaian akhbar semalam masih berselerakan di ruang tamu masih tidak berkemas seperti selalu, Beberapa biji pinggan dan cawan masih di meja makan tanpa dibasuh. Baju pakaian kerja yang masih memenuhi bakul pakaian masih belum dimasukkan ke mesin pembasuh baju. Nasib baik beberapa helai baju dan seluar kerja yang disiapkan awal oleh isteri sudah siap bergantung di dalam almari pakaian, kalau tidak mungkin sahaja ke pejabat dengan pakaian tidak bergosok. Betapa segalanya tidak sempurna.


Pulang kerja terus berbaring di sofa sambil menonton siaran berita di TV yang asyik bercerita tentang Piala Dunia yang Malaysia tidak pernah sekali pun layak. Layan siaran TV sambil layan nasi bungkus yang dibeli di Restoran Seniman. Sesungguhnya masakan asam pedas isteriku jauh lebih sedap. Sedar-sedar terlelap di sofa sampai ke pagi.

Ah..! Alangkah tidak seronoknya hidup bersendirian.



Wednesday, June 9, 2010

Ke Makam Mahsuri: Andainya benar Mahsuri...

Mahsuri binti Pandak Mayah

Menurut ceritanya, Ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II ibni al-Marhum Sultan Ziyauddin Mukarram Shah (1803-1843), hubungan Kedah-Siam menjadi keruh. Mahsuri hamil ketika Wan Derus keluar dari Langkawi (tidak diketahui tujuannya tetapi sumber menyatakan beliau berperang dengan tentera Siam di Kuala Kedah). Sepeninggalan beliau, Mahsuri dikhabarkan tinggal bersama ibu bapanya. Ketika waktu tersebut, Deramang, seorang penyair kembara (sesetengah sumber mengatakan beliau peniaga) singgah di Langkawi. Kebolehannya menambat hati penduduk Langkawi lalu dengan ehsan ibu bapa Mahsuri, Deramang tinggal di rumahnya untuk mengajarkan syair dan dendang.

Kepandaian Deramang dalam bersyair menaikkan nama Mahsuri sebagai tuan rumah dan menimbulkan kecemburuan Wan Mahura, ibu mertuanya sebagai isteri pembesar pulau Langkawi. Kelahiran anak Mahsuri, Wan Hakim, mencetuskan fitnah apabila Wan Mahura menuduh Mahsuri bermukah (melakukan hubungan sulit) dengan Deramang.

Atas sebab itu, Mahsuri dan Deramang ditahan dan dijatuhkan hukuman bunuh oleh bapa mertuanya sendiri setelah termakan hasutan isterinya. Tanpa menunggu Wan Derus pulang, Mahsuri dan Deramang di bawa ke Padang Matsirat, pusat Langkawi ketika itu, untuk dijatuhkan hukuman. Mahsuri diikat di sebuah batang pokok dan ditikam dengan tombak. Menurut lagenda, tombak yang digunakan tidak dapat menembusi tubuh Mahsuri. Akibat terseksa,Mahsuri mendedahkan bahawa dia hanya dapat ditikam dengan tombak sakti (terdapat pihak yang menyatakan bahawa senjata itu adalah keris) yang terdapat di alang rumahnya.

Kata-kata terakhir Mahsuri amatlah masyhur apabila ia seringkali diulang dalam mana-mana persembahan. Ayat-ayat terakhir Mahsuri adalah berupa sumpahan untuk tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi kerana beliau mangsa fitnah dan mengutuk pulau Langkawi untuk tidak tenteram dan permai ibarat padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan.

Walaupun dipujuk dan dirayu ibu bapa Mahsuri, hukuman tetap dijalankan dan Mahsuri dibunuh tanpa dosa yang dituduh. Menurut lagenda, Mahsuri mengalirkan darah berwarna putih hanya kerana kata-katanya yang tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi. Deramang turut dibunuh kemudiannya walaupun bertindak ganas. Mahsuri dikebumikan oleh ibu bapanya bersebelahan dengan harta tebusan yang ingin digunakan untuk menebusnya. Mahsuri dikatakan meninggal pada tahun 1819 Masihi bersamaan 1235 Hijrah.

Persoalannya, bagaimana andainya benar Mahsuri bermukah, andainya fitnah itu benar, adalah Pulau Langkawi menjadi padang jarak padang terkukur akibat perbuatan Mahsuri. Musibah yang menimpa Pulau Langkawi tujuh keturunan atas perbuatan Mahsuri.

Lihatlah Makam Mahsuri sekarang. Apakah makam itu dihormati secara sepatutnya. Dari pemain caklempung hingga ke penjual gamat ada disitu. Segalanya ada. Burung Merak, Tiong Mas dan Kenyalang pun ada. Manusia datang dan pergi. Makam seharusnya makam. Tiada kesetiaan dan pengorbanan yang dihargai. Makamnya diubah suai sesuka hati untuk memenuhi tuntutan komersil.


Lawatlah Makam Mahsuri kerana Mahsuri, kerana kecintaan, kesetiaan dan pengorbanannya. Datanglah dengan keinsafan. Kasihanilah Mahsuri.


Ah..! Mungkin saya agak keterlaluan. mohon dimaafkan.


Seminggu selepas Mahsuri dibunuh, Wan Derus pulang setelah Kedah gagal menewaskan Siam. Selepas mengetahui akan hakikat tentang isterinya, dia kecewa lalu membawa anaknya, Wan Mat Arus keluar dari Siam. Sejurus itu, tentera Siam menyerang pulau tersebut. Langkawi hancur dan hangus.

Datuk Pekerma Jaya melarikan diri bersama bersama orang kuatnya, Panglima Hitam. Malangnya, Datuk Pekerma Jaya ditangkap oleh tentera Siam di Sungai Langkanah dan diseksa serta dibunuh dengan kejam. Begitu juga dengan Wan Mahura yang dirogol dan disiksa tentera Siam. Anak mereka, Wan Muhamad Ali bergegas pulang dari Pulau Pinang untuk membalas dendam. Kejayaannya mendorong sultan melantiknya sebagai pengganti ayahnya. Walau bagaimanapun, pulau Langkawi tidak pernah makmur kerana kegiatan lanun dan jenayah yang teruk.

Makam Mahsuri (lama)


Makam Mahsuri (lama)


Makam Mahsuri (baru 8/6/2010)


Caklempong di Makam Mahsuri

Burung Kenyalang di Makam Mahsuri

Saturday, May 29, 2010

Kalau Kau Rindu Aku


Kalau saat ini
kau rindu aku
pandanglah ke langit malam
lihatlah bulan
di situ aku ada
menanti mu
hingga kau mahu

- 27 Mei, 2010, Tanjung Agas, Port Dickson

Saturday, April 3, 2010

"Usah Lagi Menangis, Gadis" di URTV


Allhamdullillah, satu lagi puisi saya tersiar di majalah hiburan URTV untuk siaran 1 - 15 April 2010. Sebenarnya saya sendiri dah lupa bila saya hantar puisi ni, namun semalam bila jalan-jalan di kedai buku saya terpandang majalah URTV, belek-belek ternampak puisi saya tersiar.

Terima kasih kepada Tuan Editor URTV kerana sudi menyiarkan puisi saya.






Monday, February 22, 2010

Tiga puisi Saya tersiar di majalah PEREMPUAN Mac 2010



Alhamdulillah, hari ini tig puisi saya tersiar di majalah PEREMPUAN keluaran Mac 2010. Puisi-puisi berkenaan adalah "Aku Nikmati Semalam Yang Robek, Kta terpisah Oleh Ombak dan Puisiku Tidak Lagi Terbaca Di Hatimu".

Terima kasih kepada Editor majalah PEREMPUAN kerana sudi menyiarkan puisi-puisi saya.

Thursday, February 11, 2010

Aku ingin bebas mencari


aku ingin bebas mencari
Karya: Upenyu


Lontar aku
ke langit tujuh
untuk kusapa bulan
sambil meniti seribu bintang
mencari titian syiratul
biar sampai
di laman firdaus

Campakan aku
ke laut luas
untuk kuselami gelora
berbekal senafas harap
sambil berpautkan
segunung tawakal
biar sampai
di dasar makrifat

Lepaskan aku
ke alam fana saujana
untuk kudakap takdir
berijab sehamparan iman
bersujud seredha takwa
biar sampai
ke makam maknawi


- Sepang


image by : http://www.redhachikhbled.com/

Sunday, February 7, 2010

"Seusai Tari Sumazau Kita" tersiar di Berita Harian 6/2/2010

Sila klik gambar untuk imej yang lebih jelas.


Salam,

Puisi saya yang bertajuk "Seusai tari Sumazau Kita" telah tersiar di akhbar Berita Harian edisi Sabtu 6 Februari 2010. Saya tidak sempat membeli dan membaca akhbar Berita Harian berkenaan kerana sibuk dengan Pra Sirkit Pertandingan Gusti Lengan Selangor 2010 yang diadakan pada hari yang sama di UKM Bangi.

Namun pagi ini, sorang sahabat baik telah emailkan keratan akhbar yang menunjukan puisi saya bertajuk "Seusai Tari Sumazau Kita" telah tersiar siap sekali dengan imej sepasang penari Tarian Sumazau. Puisi ini dah lama saya simpan, cuma pada hari Selasa minggu lepas baru saya menghantarnya ke Berita Harian.

Puisi ini terlahir sewaktu saya terpesona menyaksi persembahan Tarian Sumazau oleh peserta-peserta kursus pada malam sumbangsih. Kursus induksi anjuran sebuah GLC yang diadakan di Zen Garden Resort, Kundasang, Sabah sekitar bulan Oktober 2010.
Terima kasih kepada Pengarang akhbar berkenaan kerana sudi menyiarkan puisi saya ini.

Tuesday, February 2, 2010

Yassin untuk kekanda



Yassin

Satu pembaringan panjang
dinding dan kerusi sepi
kipas berputaran kosong
dalam pagi yang resah
hanya garis putih berbicara lesu
bersama alunan suci
dengan harap dan redha
mohon Tuhan mahu mendengar

Saat garis-garis putih membisu
embun menitiskan aroma sendu
kemuncup tunduk basah
janji yang tercatat pun hadir
menjemput pulang sang kekasih
titis-titis di tebing pipi bergulir pilu
bergayut harap di pepohon doa
semoga damailah rindumu di sana



- 4.50 pagi, 25/01/2010, PPUM




Image by mybigbro