Angin laut yang terus berbisik di Teluk Bidara ini adalah bicara tentang kehidupanku. Di sinilah sewaktu kecil, aku lelah bermain-main mengejar ombak dan anak-anak ketam yang sedang berlarian di pasir pantai. Di sini jugalah, aku akan terus berbicara tanpa jemu tentang laut, ikan, sotong, udang, si camar, terumbu karang, ombak badai, gelombang laut, sang helang berdada merah dan tentang segunung harapan di hatiku. Di pantai Teluk Bidara inilah angin dari Laut China Selatan akan terus berbisik tanpa henti. - Upenyu

Wednesday, July 18, 2012

Bisik Angin Teluk Bidara di majalah Perempuan


Assalamualaikum.

Agak berbulan juga saya tak kemas kinikan blogs saya ini. Kesibukan sering sahaja menghalang untuk menurunkan caatatan di sini. Begitu juga sekarang ini saya agak kurang berkarya baik menghasilkan cerpen mahu pun puisi. Kedatangan Ramadhan diharapkan akan memarakkan daya saya untuk terus berkarya. Mungkin selepas ini saya dapat menghasilkan karya-kara yang berunsur islami, mudah-mudahan.

Berbalik kepada taju yang diata, cerpen saya ini telah tersiar di majalah Perempuan terbitan bulan Mei 2012. Llama juga nak menyempurnakan cerpen ini, kira-kira setahun juga lama saya pendamkan. Karya asal yang tersiar di blog saya ini berbeza daripada yang tersiar di majalah Perempuan. Bagusnya kalau karya yang diperam adalah kita dapat memberi lebih rasa kepada karya kita. banyak yang diolah semulla. Penantian setahun berbaloi dan saya berpuas hati dapat menyelesaikannya dengan lebih sempurna. Mungkin orang lain mengambil masa beberapa jam atau beberapa hari untuk menyiapkan sesebuah cerpen, namun saya sengaja memeram lebih lama sehingga terbit kepuasan dalam menghasilkannya. Karya ini saya hantar kepada editor penhujung bulan Mac dan terbit pada bulan Mei, rasa agak cepat juga disiarkan.

Sekarang ada bebeapa cerpen saya yang masih saya peramkan. Mudah-mudahan peraman ini akan memberi hasil yang lebih baik.

Terima kasih kepada pihak Editor majalah Perempuan yang telah sudi menyiarkan cerpen saya dalam majalah mereka.

Jumpa lagi.


BISIK ANGIN TELUK BIDARA
Karya : Upenyu
“Sudah bertahun Az hidup bersama abang, abang masih mahu meneruskan kerja di laut itu? Kerja yang tidak pernah memberi kita kesenangan!”
Mungkin sahaja kelakianku rasa tercabar. Hatiku tersentuh dan begitu terhiris dengan setiap patah kata yang terbit dari bibirnya. Lebih terasa pedih hirisannya dari tajam teritip yang mengores kaki telanjang di terumbu karang. Bahkan bisa kata-katanya lebih pantas menyelinap ke seluruh ruang jantungku dari bisa sengatan obor-obor di laut.
“Bukankah Az telah berjanji, berkahwin dengan abang, dan laut ini sekali!”
Aku hanyalah seorang lelaki yang mencintai segala-galanya tentang laut. Seluruh hidupku adalah tentang ikan, sotong, udang, ketam dan segala khazanah di dalamnya. Namun hasilnya hanyalah sebuah kehidupan yang terlalu sederhana. Tidak ada yang dapat kubanggakan selain semangat seorang lelaki yang tabah menghadapi cabaran.
Yang mampu aku berikan buat isteriku hanyalah cinta, kesetiaan dan sebuah teratak dari papan yang aku bina sendiri di atas tanah peninggalan arwah ayah tidak jauh dari laut. Teratak di atas tanah lembah yang sering kali digenangi air bila hujan turun di musim tengkujuh. Teratak inilah aku bina sebuah kehidupan sederhana yang tidak sekali pernah mengenali erti kemewahan. Hanya deruan ombak yang terdengar dari jauh dan riuh sang helang berdada merah yang melayang pergi dan pulang di antara bukit-bukit hijau di Teluk Bidara ke laut luas sahaja yang menjadi penghibur.
“Abang mahu anak-anak kita nanti akan menyambung warisan ini?”
Aku hanya diam dengan gelora rasa yang membadai di hati. Kutahan diri dari mengeluarkan kata-kata bernafas amarah. Masih kejap pesan arwah ayah, berdiam sewaktu marah adalah pendinding dari bisikan syaitan.


“Setiap kali bila Az melihat mereka bermain di pantai, dengan badan berbau air laut, hati kecil Az cepat-cepat berdoa, biarlah dewasa nanti bukan lagi bermain bersama ombak, bukan lagi bermain bersama ikan, ketam, sotong dan udang di laut. Biar mereka tinggalkan pantai ini, pergi ke kota untuk kehidupan yang lebih sempurna!“
Ada kata-kata keras membantah yang ingin kulontarkan, tapi tidak pernah terkeluar. Kata-kata itu tersekat seumpama cebisan tulang ikan yang dimamah, tersengkang di kerongkong dan dada ini. Itulah aku, membiar sahaja kepedihan itu terpendam segalanya dalam diam.
Kini, ungkapan puisi yang dulu sering merangsangkan diriku tidak lagi kedengaran seperti selalu. Tiada lagi bait-bait indah tersusun yang terbit dari bibirnya. Kini setiap kali aku mula melangkah menongkah gelombang laut, yang mengiringku hanyalah lambaian kosong seumpama sehelai kain buruk yang terbang ditiup angin tanpa haluan.
“Abang, Az sudah puas menelan bilah-bilah sengsara ini. Abang fikir, masih terhimpunkan lagi kesabaran di hati Az?”
****

Laut ini, terlalu besar maknanya dalam hidupku. Sekian tahun bersamanya, aku tidak pernah sekali tunduk menyerah kalah ketika gelora ganasnya membadai. Setiap jengkal kedalamannya, setiap gelombang yang menghempas, segalanya adalah warna-warna dalam kehidupan cukup aku fahami.
“Penyakit anak encik ini dikenali sebagai VSD atau venticular septal defect. Iaitu satu keadaan di mana terdapat beberapa lubang antara atria jantung. Biasa berlaku di kalangan kanak-kanak.” ungkapan Dr Nurul Hasnah, Pakar Jantung Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Aku menarik nafas panjang. Demi tuhan, tidak pernah sekali dalam hidupku pernah mendengar tentang penyakit ini, apa lagi untuk memahaminya. Yang aku tahu Haikal sering sahaja menangis. Pernafasan dan pergerakan nadi Haikal laju. Berat badannya juga tidak bertambah seperti kanak-kanak lain.
Isteriku hanya mampu menangis sambil memeluk Haikal erat. Kebelakangan ini air mata mudah sahaja mengalir keluar di tebing pipinya. Keadaan kesihatan Haikal yang kian menyusut memang memberi tekanan hebat pada isteriku.

“Begini, sejumlah darah yang mengandungi oksigen dari bahagian kiri jantung terpaksa masuk ke bahagian kanan melalui dinding penyekat, apabila terdapat lubang pada dinding tersebut. Darah yang berlebihan ini kemudiannya dipam semula ke dalam paru-paru yang menyebabkan kerosakan kepada paru-paru anak encik. Haikal perlu dibedah segera!” Ujar Dr Nurul bila melihat aku hanya berdiam diri tanpa bertanyakan soalan.
Ingin sahaja aku katakan pada diri sendiri bahawa aku ini sedang bermimpi, dan sebaik aku sahaja aku terjaga, yang ingin aku lihat adalah laut dan kebiruannya. Tiada ombak, tiada gelora, tiada gelombang, tiada tiupan badai angin. Biar yang ada cuma sekumpulan camar riang berterbangan di dada langit. Aku impikan melayari laut luas yang tenang dan damai. Pernah juga ku dengar, laut adalah misteri yang tidak akan pernah selesai diselami. Namun masih laut itu adalah satu-satunya tempat di mana aku merasa kalau bersama laut itu kadang-kadang baik adanya.
“Kami tiada kepakaran pembedahan jantung yang melibatkan 4 injap. Tambah lagi Haikal juga mengidap down sindrom. Kos dan penjagaan pesakit jantung down sindrom sama seperti menjaga dan merawat 3 orang pesakit jantung biasa. Haikal mesti dihantar ke Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.”
Mahu sahaja aku anggap kata-kata lembut yang keluar dari mulut doktor muda di hadapanku ini sebenarnya adalah sekadar ungkapan gurauan sahaja. Atau mungkin sahaja apa yang diperkatakannya sebentar tadi adalah tentang orang lain, orang tidak pernah aku kenali.
“Kami dah berhubung dengan pihak Institut Jantung Negara untuk pembedahan Haikal pada bulan Disember ini. Kosnya sebanyak RM60,000 membabitkan caj katil, makanan, prosedur pembedahan, penjagaan, ubat-ubatan dan ujian.”

Alangkah baik kalau pada waktu ini aku adalah seorang yang pekak dan tuli, yang terdengar di telingaku hanyalah bunyi deruan ombak yang menghempas pantai. Mana mungkin untuk orang seperti aku, seorang nelayan kecil mencari wang sebanyak itu. Jangankan memiliki, melihat wang sebanyak itu pun tidak pernah. Aku hanya seorang hamba Tuhan yang mengharapkan sepenuhnya rezeki dari limpahan laut yang jumlahnya tidak menentu, malah pernah juga aku pulang hanya dengan tangan kosong.
“Abang…”

“Akan abang usahakan…”
Aku masih tetap seorang lelaki yang tidak akan sesekali membiarkan dugaan yang datang mengganggu keyakinan aku. Kepercayaanku pada takdir Tuhan tidak pernah goyah. Pasti setiap yang berlaku sentiasa ada hikmah di sebaliknya.

“Tiada apa lagi yang tinggal di badan Az kecuali sebentuk cincin perkahwinan kita.”

Tidak lagi aku terbaca harapan pada setiap lontaran kata-kata mu seperti dahulu. Bebola api ketabahan yang sering dulu merangsangkan aku tiba-tiba layu di matamu. Kita mulai tidak bersama menghadapi dugaan dan ujian tuhan yang datang silih berganti.
“Kehidupan apa yang kita miliki sekarang ini selain daripada penderitaan dan kesengsaraan. Az tak sekuat abang menghadapi semua ini.”


*****

Tiada apa yang akrab dengan diriku selain dari laut pantai ini. Dari laut ini aku belajar erti kehidupan, belajar untuk tidak cepat putus asa dan sabar sebagai azimat dalam mengharungi kehidupan yang begitu mencabar. Ombak dari gelombang laut yang bergelora ini, aku sangah dengan tenaga tulang empat kerat lelakiku. Laut yang aku warisi ini membuat aku percaya bahawa aku perlu menjadi lelaki yang kuat dan tabah.
“Mak!”

Haikal merengek perlahan. Anak bongsuku ini yang baru berusia tiga tahun segera kupeluk. Badannya yang kurus berbahang panas. Matanya merah berair. Kuusap rambut Haikal, terasa hangat kepalanya. Ubat-ubatan yang dibekalkan oleh pihak hospital tidak pernah lupa kuberikan, namun tahap kesihatannya tidak pernah berubah.

“Mak!”

Haikal merengek lagi. Anak kecilku ini segera aku baringkan di atas lantai berlapikkan tikar mengkuang yang dianyam sendiri oleh isteriku. Sambil membelai ubun-ubunnya, aku menyanyikan lagu tentang laut, seperti yang ibunya sering lakukan untuk menidurkannya.
“Anis, buatkan adikmu bubur nasi.”
Tak sempat habis menjemur ikan di pangkin, Anis, anak sulungku yang masih bersekolah di tahun enam segera berlari bergegas masuk ke rumah dan terus ke dapur. Segera diletak periuk kecil di atas tungku. Secawan beras berserta lima gelas air dimasukkan. Dijerangnya seperiuk bubur nasi.

“Anis, kalau bubur dah masak nanti, campur kentang potong kecil. Campur anak-anak bilis yang digoreng. Taburkan bawang goreng.” Laungku menunjuk ajar.
Bau menumis wangi hingga memenuhi ruang rumahku. Kasihan Anis. Di usia semuda ini, dia terpaksa memikul beban tanggungjawab seorang ibu sekaligus seorang kakak. Sewaktu aku ke laut mencari rezeki, Anislah yang aku harapkan menjaga adik-adiknya, memasak, membasuh, menjaga rumah dan tak lupa menjemur ikan-ikan yang kubawa pulang untuk dijadikan ikan masin. Aiman, anak lelakiku yang tengah pula tengah menakal sangat, tahunya hanya bermain dengan rakan-rakan.

“Bubur dah masak ayah!”
“Bawa semangkuk kemari. Suapkan adikmu.”
Semangkuk bubur nasi panas tersedia di tangan Anis. Sesudu bubur nasi ditiupnya untuk menghilangkan panasnya sebelum disuapkan ke mulut adik yang sedang berbaring di atas lantai, tapi si adik menolak enggan. Sesudu bubur nasi tumpah ke lantai.

“Ayah!”

Kulihat mata Anis basah. Segera air mata yang mengalir disela dengan jemarinya. Aku tahu, Anis juga rindukan ibunya. Gadis seusia ini sudah mula memahami apa yang berlaku. Perasaan rindu itu disembunyikan di sebalik air matanya yang mengalir.
“Adik rindukan mak. Mak tak mahu balik ke, ayah?”

Tiada jawapan yang keluar dari mulutku. Hatiku begitu terguris dengan pertanyaan anak sulongku in. Entah tiba-tiba air mataku mengalir. Kenapa mata ini tidak mampu lagi menyembunyikan kepedihani. Sudah puas aku bertahan. Bukankah aku sudah berjanji untuk tidak tewas dengan keadaan ini.
“Ayah sakit?”
Aku gelengkan kepala, sedar bahawa aku tak boleh kalah dengan keadaan ini. Anak sulungku meraba dahiku. Saling tidak tumpah persis ibunya yang akan memicit kepalaku bila aku pulang kepenatan dari menjelajah laut.

Satu ketika itu, tidak aku tahu kemana perginya isteriku. Pulang dari laut, yang kutemui hanyalah hidangan makan malam sepinggan nasi putih, beberapa keping ikan masin, telur goreng yang telah sejuk dan sekeping nota.

“Abang, mimpi kita tentang sebuah istana di atas bukit, telah roboh musnah dipukul badai. Maafkan Az bang. Az dah tak sanggup menanggung semua derita ini!”


****

Aku kini seorang lelaki yang sedang terumbang ambing dilambung gelora laut kehidupan yang mengganas. Walau pun diriku sendiri seorang nelayan yang biasa bermain dengan ombak, angin ganas dan gelombang laut, namun gelombang dugaan dalam kehidupan yang aku lalui ini lebih hebat dari hempasan badai gelombang laut China Selatan di musim tengkujuh.
Satu-satu tempat untukku bersandar dari penat dan lelah, juga tempat aku mengadu ketika aku rasakan laut tak lagi mahu bersahabat. Hanya kepada dia ketika aku nyaris putus asa dengan kehidupan ini, kini aku kehilangannya.
Tuhan, laut ini adalah tentang kehidupan dan kematianku. Tidak ada istilah takut pada gelombang. Pasrah pada keadaan, bersiap untuk terombang-ambing yang tak pasti di tengah lautan tak bertepi. Pasrahku bukan bererti menyerah, melainkan berjuang semampu boleh sampai ke titik penghabisan dengan bersenjatakan doa dan tawakal pada yang Esa. Pertolongan dari Allah pasti akan tiba juga. Aku baluti diriku dengan redha bersandarkan kesabaran dan tawakal.
****
“Ayah, ceritakan pada Anis tentang laut yang selalu ayah harungi.”

Pernah Anis bertanya tentang laut kepada aku, lalu aku katakan bahawa kehidupan di laut itu keras. Tak ada kata mudah dalam setiap yang dikerjakan. Harus gigih, tabah dan pantang menyerah. Bergaul dengan laut, bererti tahu dan faham akan bahaya yang hadir bersamanya. Laut juga memberikan kehidupan.
“Bila datang angin timur laut, maka akan turun hujan lebat. Gelombang pasang meningkat.” Kataku menjelaskan pada Anis tentang fenomena alam yang unik itu.
Wajah Anis kurenung dalam-dalam. Matanya yang redup, kulitnya yang putih, senyumannya yang indah dan bicara lembut Anis mewarisi kecantikan isteriku. Namun setiap kali memandang Anis, juga aku seakan memandang diriku sendiri. Sikap dan perangainya saling tak tumpah dengan sikap dan perangaiku sendiri. Malah terkadang ketabahannya melebihi diriku sendiri yang seringkali juga tewas dibuai perasaan.
“Kecepatan kemudi harus diatur. Jangan sampai berubah haluan kalau sudah di tengah laut. Tak mudah menakluk laut. Kalau kita ingin bersahabat dengan laut, fahami dulu bagaimana gendang dan tarinya. Perhatikan, seperti apa persahabatan yang ditawarkan laut kerana laut itu hidup. Dia tahu, manusia seperti apa yang akan menjadi temannya.”
Aku nyatakan lagi kepada Anis walaupun mungkin dia tidak memahami, bahawa kita mesti selalu bangkit walau jalan yang dilalui dipenuhi kerikil dan bebatuan tajam yang membuat kita jatuh dengan lutut dan tumit tersayat berdarah. Biar bersimbah keringat, kulit terbakar oleh sinar panas matahari yang menyengat, kita mesti terus menerjang badai, menundukkan angin, menaklukkan gelombang membadai, membelah laut, menyingkap kabut, berbekalkan keyakinan kepada Allah.

“Ayah kuat! Ayah tabah menghadapi gelombang laut. Anis ingin menjadi seperti ayah!” Laung Anis sambil membimbing adik-adiknya berlari-lari keriangan mengejar buih-buih ombak di gigi pantai.
Namun tidak pernah sekali aku terangkan kepada Anis, kadang-kadang sebagai manusia biasa, sikap menyerah kalah kerap kali juga datang menyergah ke dalam hidupku. Tapi, aku tak pernah berlama-lama dengan sikap seperti itu. Tak pernah betah dengan sikap menyerah, Itu bukan ciri seorang muslim sejati.
Kalaulah boleh ayah bisikan kepadamu anakku, “Anis, sebenarnya ayah tak sekuat itu. Ayah rindu ibumu. Ayah rindu untuk mendengar ungkapan sama yang suatu waktu dulu pernah ibumu ucapkan pada ayah. Pantai inilah yang mempertemukan ayah dan ibumu. Anis, ayah terlalu rindukan ibumu.”
Angin laut yang terus berbisik di Teluk Bidara ini adalah bicara tentang kehidupanku. Di sinilah sewaktu kecil, aku lelah bermain-main mengejar ombak dan anak-anak ketam yang sedang berlarian di pasir pantai. Di sini jugalah, aku akan terus berbicara tanpa jemu tentang laut, ikan, sotong, udang, terumbu karang, ombak badai, burung camar, sang helang berdada merah dan tentang segunung harapan di hatiku. Di pantai Teluk Bidara inilah angin akan terus berhbisik tanpa henti.

7 comments:

  1. Tahniah Pak Upenyu. Moga terus menulis.

    ReplyDelete
  2. Pak Upenyu, karya ini menarik, bahasanya cantik. Saya pun nak karya tersiar. Tapi belu pernah berkesempatan untuk hantar karya ke mana-mana.

    Teruskan menulis. Saya suka baca. :)

    ReplyDelete
  3. Fascinating blog! Is your theme custom made or did you download it from somewhere?
    A theme like yours with a few simple adjustements would really make my blog stand out.
    Please let me know where you got your theme. Bless you
    Also visit my site :: Vicotria

    ReplyDelete
  4. This is very interesting, You're a very skilled blogger. I have joined your rss feed and look forward to seeking more of your magnificent post. Also, I have shared your site in my social networks!
    my website: drunk teens

    ReplyDelete
  5. Thanks a lot for sharing this with all people you really know what you're talking approximately! Bookmarked. Please additionally seek advice from my website =). We may have a hyperlink change agreement between us
    Here is my blog post - Orlando contractor

    ReplyDelete
  6. upenyu nie sekampung dengan jeragang tetapi tak tahu sapa sebeno nyer.... mungking gok lening sama2 duk tepat orang tu dok jupe....
    guana pong mari sokmo sini tapi blog nie jarang update

    ReplyDelete