Angin laut yang terus berbisik di Teluk Bidara ini adalah bicara tentang kehidupanku. Di sinilah sewaktu kecil, aku lelah bermain-main mengejar ombak dan anak-anak ketam yang sedang berlarian di pasir pantai. Di sini jugalah, aku akan terus berbicara tanpa jemu tentang laut, ikan, sotong, udang, si camar, terumbu karang, ombak badai, gelombang laut, sang helang berdada merah dan tentang segunung harapan di hatiku. Di pantai Teluk Bidara inilah angin dari Laut China Selatan akan terus berbisik tanpa henti. - Upenyu

Wednesday, June 9, 2010

Ke Makam Mahsuri: Andainya benar Mahsuri...

Mahsuri binti Pandak Mayah

Menurut ceritanya, Ketika pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II ibni al-Marhum Sultan Ziyauddin Mukarram Shah (1803-1843), hubungan Kedah-Siam menjadi keruh. Mahsuri hamil ketika Wan Derus keluar dari Langkawi (tidak diketahui tujuannya tetapi sumber menyatakan beliau berperang dengan tentera Siam di Kuala Kedah). Sepeninggalan beliau, Mahsuri dikhabarkan tinggal bersama ibu bapanya. Ketika waktu tersebut, Deramang, seorang penyair kembara (sesetengah sumber mengatakan beliau peniaga) singgah di Langkawi. Kebolehannya menambat hati penduduk Langkawi lalu dengan ehsan ibu bapa Mahsuri, Deramang tinggal di rumahnya untuk mengajarkan syair dan dendang.

Kepandaian Deramang dalam bersyair menaikkan nama Mahsuri sebagai tuan rumah dan menimbulkan kecemburuan Wan Mahura, ibu mertuanya sebagai isteri pembesar pulau Langkawi. Kelahiran anak Mahsuri, Wan Hakim, mencetuskan fitnah apabila Wan Mahura menuduh Mahsuri bermukah (melakukan hubungan sulit) dengan Deramang.

Atas sebab itu, Mahsuri dan Deramang ditahan dan dijatuhkan hukuman bunuh oleh bapa mertuanya sendiri setelah termakan hasutan isterinya. Tanpa menunggu Wan Derus pulang, Mahsuri dan Deramang di bawa ke Padang Matsirat, pusat Langkawi ketika itu, untuk dijatuhkan hukuman. Mahsuri diikat di sebuah batang pokok dan ditikam dengan tombak. Menurut lagenda, tombak yang digunakan tidak dapat menembusi tubuh Mahsuri. Akibat terseksa,Mahsuri mendedahkan bahawa dia hanya dapat ditikam dengan tombak sakti (terdapat pihak yang menyatakan bahawa senjata itu adalah keris) yang terdapat di alang rumahnya.

Kata-kata terakhir Mahsuri amatlah masyhur apabila ia seringkali diulang dalam mana-mana persembahan. Ayat-ayat terakhir Mahsuri adalah berupa sumpahan untuk tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi kerana beliau mangsa fitnah dan mengutuk pulau Langkawi untuk tidak tenteram dan permai ibarat padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan.

Walaupun dipujuk dan dirayu ibu bapa Mahsuri, hukuman tetap dijalankan dan Mahsuri dibunuh tanpa dosa yang dituduh. Menurut lagenda, Mahsuri mengalirkan darah berwarna putih hanya kerana kata-katanya yang tidak menghalalkan darahnya jatuh ke bumi. Deramang turut dibunuh kemudiannya walaupun bertindak ganas. Mahsuri dikebumikan oleh ibu bapanya bersebelahan dengan harta tebusan yang ingin digunakan untuk menebusnya. Mahsuri dikatakan meninggal pada tahun 1819 Masihi bersamaan 1235 Hijrah.

Persoalannya, bagaimana andainya benar Mahsuri bermukah, andainya fitnah itu benar, adalah Pulau Langkawi menjadi padang jarak padang terkukur akibat perbuatan Mahsuri. Musibah yang menimpa Pulau Langkawi tujuh keturunan atas perbuatan Mahsuri.

Lihatlah Makam Mahsuri sekarang. Apakah makam itu dihormati secara sepatutnya. Dari pemain caklempung hingga ke penjual gamat ada disitu. Segalanya ada. Burung Merak, Tiong Mas dan Kenyalang pun ada. Manusia datang dan pergi. Makam seharusnya makam. Tiada kesetiaan dan pengorbanan yang dihargai. Makamnya diubah suai sesuka hati untuk memenuhi tuntutan komersil.


Lawatlah Makam Mahsuri kerana Mahsuri, kerana kecintaan, kesetiaan dan pengorbanannya. Datanglah dengan keinsafan. Kasihanilah Mahsuri.


Ah..! Mungkin saya agak keterlaluan. mohon dimaafkan.


Seminggu selepas Mahsuri dibunuh, Wan Derus pulang setelah Kedah gagal menewaskan Siam. Selepas mengetahui akan hakikat tentang isterinya, dia kecewa lalu membawa anaknya, Wan Mat Arus keluar dari Siam. Sejurus itu, tentera Siam menyerang pulau tersebut. Langkawi hancur dan hangus.

Datuk Pekerma Jaya melarikan diri bersama bersama orang kuatnya, Panglima Hitam. Malangnya, Datuk Pekerma Jaya ditangkap oleh tentera Siam di Sungai Langkanah dan diseksa serta dibunuh dengan kejam. Begitu juga dengan Wan Mahura yang dirogol dan disiksa tentera Siam. Anak mereka, Wan Muhamad Ali bergegas pulang dari Pulau Pinang untuk membalas dendam. Kejayaannya mendorong sultan melantiknya sebagai pengganti ayahnya. Walau bagaimanapun, pulau Langkawi tidak pernah makmur kerana kegiatan lanun dan jenayah yang teruk.

Makam Mahsuri (lama)


Makam Mahsuri (lama)


Makam Mahsuri (baru 8/6/2010)


Caklempong di Makam Mahsuri

Burung Kenyalang di Makam Mahsuri

2 comments:

  1. Kisah Mahsuri ada percanggahannya. Banyak persoalan yang dibangkitkan dewasa ini. Apakah sebenarnya kisah Mahsuri ini lebih kepada mitos, khayalan atau...Bila disebut pasal 'Sumpahan Mahsuri' saya terbayang pada ketinggian martabat 'Rabiatul Adawiyah', seorang wanita yang terlalu mencintai Allah hingga langsung tidak terpikat dengan lamaran lelaki.

    Apabila Wan Derus merantau, adakah wajar ibubapa Mahsuri mempelawa Deramang tinggal serumah hanya untuk belajar Syair dan Dendang? Sebuah keluarga Islam yang matang tidak akan membenarkan suatu perkara yang boleh menimbulkan syak dan keraguan di kemudian hari. Diberitakan hubungan Mahsuri dan Deramang terlalu intim hinggakan mereka kerap dilihat berduan di tepi pantai. Kalaupun bukan dalam keadaan tersembunyi, apakah perasaan saudara sekiranya perkara yang sama berlaku terhadap isteri saudara?

    Pengakuan dari seorang cucu perempuan Mahsuri (pernah tersiar di salah sebuah rancangan TV), hubungan Mahsuri dan Deramang terlalu intim hinggakan Mahsuri menghadiahkan sebentuk cincin kepada Deramang. Sehingga saat itu juga cucu Mahsuri itu menjelaskan beliau tidak dapat menerima sikap Mahsuri yang kerap berdampingan dengan Deramang tambahan pula dengan pemberian cincin tersebut. Dan sebagai seorang pemimpin tidak perlu dihasut untuk mengambil tindakan sewajarnya.

    Ilmu apakah yang dipakai oleh Mahsuri hinggakan tidak dapat ditembusi oleh tombak biasa melainkan 'tombak sakti' sedangkan kekasih Allah bernama Muhammad pernah luka dipukul orang. Menurut kajian seorang Ahli Sejarah, Mahsuri ketika itu masih menyusukan anaknya dan dipercayai darah putih yang mengalir dari tubuh Mahsuri itu adalah susu dari tubuhnya dan bukannya darah putih.

    Apabila Siam melanngar Kedah, sebahagian besar Langkawi telah dibakar oleh Siam hingga pulau itu menjadi 'padang jarak padang terkukur'. Ia dikawal oleh tentera Siam bertahun2 lamanya menyebabkan Langkawi tidak dapat dibangunkan untuk sekian lama dan hampir dilupakan untuk sekian waktu. Kewujudan beras hangus adalah bukti dan kesan daripada peritiwa pembakaran itu.

    Saya menghormati Mahsuri sebagai seorang wanita Islam dan saya mendoakan agar dia ditempatkan bersama makam para solihah. Namun untuk melawat makamnya belum terlintas di hati kerana saya khuatir akan disalah anggap tujuan saya ke situ nanti sebagai 'orang yang berhajat' kepada roh ataupun bermacam2 lagi. Cukuplah sekadar berdoa dari jauh untuknya manalah tau saya tergolong bersama orang2 yang tersalah anggap terhadapnya. Terus terang saya katakan saya lebih menjiwai kisah hidup Rabiyatul Adawiyah...wallahu a'lam.

    ReplyDelete