Sekeping Potret Di Dinding Galeri
Karya: Upenyu
Beberapa orang lelaki setengah usia melangkah masuk ke
galeri lukisku sambil memerhatikan beberapa lukisan yang sedia terpamer.
Berbisik-bisik sesama sendiri kemudian terus keluar tanpa sepatah kata.
Aku tidak ambil kisah kalau mereka sekadar datang dan terus
berlalu pergi seperti itu. Memang sahaja karya-karya aku ini tidaklah sehebat
karya-karya pelukis mampan tanahair. Namun sekeping potret seorang perempuan
muda berbaju kebaya duduk menyamping di kerusi kayu telah menarik perhatian
seorang gadis muda.
Potret ini yang sebenarnya belum siap sepenuhnya namun telah
hampir sebulan tersisih di sudut kecil galeri lukisku, sebuah galeri lukis yang
sebenarnya hanyalah sebuah lot kedai bersaiz kecil dan tersisih di laluan kaki
lima sebuah pasar raya terbesar di bandar ini.Tiada siapa yang peduli tentang
sekeping potret yang tidak siap ini sehinggalah datang seorang gadis yang
bertanya tentangnya. Seingat aku telah beberapa kali gadis ini datang ke galeri
lukisku. Menatap potret itu dengan tekun kemudian tanpa sepatah kata terus
berlalu pergi. Hari ini peliknya, dia mula bertanya tentang potret ini.
“Potret ini, masih belum siap?” Soal gadis itu tiba-tiba.
Jari- jemariku yang tadinya asyik mengadunkan warna-warna
untuk dicurahkan ke atas kanvas putih terhenti seketika mendengar
pertanyaannya. Aku berpaling memandang ke arahnya. Ada sesuatu yang aku rasa
sedang bermain-main di fikirannya. Sengaja aku biarkan pertanyaan gadis itu
berlalu tanpa jawab. Aku kembali mengadunkan warna-warna yang tadinya
tertangguh sebentar.
Sebenarnya dengan melukis potret perempuan ini aku harapkan
boleh menghapuskan dendam amarahku kepada seseorang. Namun setelah sebulan
berlalu, lukisan potret ini masih belum dapat aku siapkan. Mungkin dendam yang
lama terpendam terlalu kuat menghalangku dari menyiapkannya. Setiap kali aku
ingin menyiapkannya, api kemarahan tiba-tiba datang membuat tanganku mengigil.
Lalu aku putuskan untuk membiarkan sahaja ia tergantung di dinding galeri
lukisku.
“Kenapa potret ini berwarna merah? Adakah ia tentang dendam
seorang lelaki?”
Gadis itu bertanya lagi. Jelas terlihat riak keresahan
terpamer di wajahnya. Bagaikan ada sesuatu yang sedang membuak-buak di hatinya
menunggu saat untuk dilontarkan keluar. Dia seolah-olah sedang mencari satu
jawapan yang tersembunyi pada potret itu
“Potret ini tidak akan pernah siap. Potret ini adalah
tentang amarahku, dan merah itu adalah apinya, tidak akan pernah terpadam.”
Getusku memberi isyarat bahawa aku enggan lagi menjawab pertanyaan gadis itu.
“Perempuan dalam potret ini menyerupai seseorang yang saya
kenal. Kalau saya boleh bertanya, siapakah perempuan dalam potret ini?”
Aku mengalihkan pandanganku ke arah gadis itu. Dia berpaling
membalas pandanganku dengan satu senyuman membelakangkan potret itu. Aku
tiba-tiba terkesima. Tubuhku sedikit tergetar. Aku mulai tersedar, wajah gadis
itu hampir sama dengan perempuan dalam potret itu. Mereka memang mirip. Aku
seperti tercampak ke dalam kesunyian yang mendadak hadir, yang mula-mulanya
lembut, namun mulai bergelora, menghempas-hempas amarahku.
“Perempuan itu bukan sesiapa. Ia hanya imiginasiku tentang
kesengsaraan.” Balasku sedikit keras mengawal amarah yang tiba-tiba datang
membara.
*****
Seusia aku 15 tahun, aku telah mula bertanya kepada ibu dan
ayah, mengapa di sekolah namaku dipanggil sebagai Ridhwan bin Abdullah,
sedangkan Abdullah bukan nama ayah yang sebenar. Walaupun ibu berulang kali
berusaha mengelak untuk menjawab, tapi desakan demi desakan dariku beserta
rajuk yang panjang membuatkan ibu akhirnya akur.
Dua belas tahun perkahwinan tanpa zuriat, kedua ibubapaku
memutuskan mengambil seorang anak angkat, lalu aku diambil dari sebuah rumah
kebajikan. Menurut ibu, pegawai di rumah kebajikan itu menyatakan aku dijumpai
di tangga sebuah surau pada waktu jemaah selesai menunaikan solat subuh.
Kira-kira lima bulan sebelum majlis pernikahanku akan
berlangsung, ibu menghulurkan sekeping gambar seorang perempuan. Aku lihat air
mata mengalir di pipi ibu. Ayah hanya diam membisu. Kata ibu, ini adalah hadiah
istimewa perkahwinanku. Sekeping gambar usang kekuningan seorang perempuan
muda.
“Perempuan dalam gambar ini mungkin ibu kandungmu, perempuan
yang mengandung dan melahirkanmu. Gambar ini ada bersama-samamu sewaktu kau
ditemui dahulu. Kamu sememangnya mewarisi wajahnya.” Jelas ibu.
Hanya sekeping gambar usang yang sudah kekuningan sahaja
yang mampu bercerita tentang ibu kandungku yang sebenar. Tidak mengapa,
setidaknya aku sudah melihat wajah Ibu semasa muda. Bermata teduh, dan sekelam
lumpur yang dalam. Mungkin lumpur itu telah menenggelamkan seseorang lelaki
yang boleh aku panggil ayah, seorang ayah tanpa nama dan wajah.
“Kita tidak diberi pilihan untuk memilih dari rahim
perempuan mana kita akan dilahirkan. Allah yang mengaturkan segalanya. Allah
telah memberikan kamu kepada kami melalui rahim seorang perempuan yang ibu
sendiri tidak kenali. Cari dan jemputlah dia ke majlis pernikahanmu.” Ujar ibu.
Perempuan dalam gambar inilah yang membuatkan aku menanggung
dendam kesepian yang terpendam begitu lama. Rindu yang memanggil, dan dendam
pada perempuan itu yang silih berganti
bergelora di dalam hatiku. Kalau aku bertemu Ibu kandungku, tentu sekali aku
akan menyempatkan diri bertanya, kenapa Ibu tergamak membuang aku.
*****
“Saya sebenarnya sedang mencari abang kandung saya yang
tidak pernah saya kenali. Malah namanya jugak tidak saya tahu. Saya harap abang dapat membantu.” Gadis itu
kembali bersuara.
Aku tidak berkata apa-apa, cuma diam sambil memandang wajah
perempuan dalam potret itu. Sesekali angin dari luar mencari-curi datang
berhembus, lukisan itu bergetar, dan dadaku pun turut bergetar yang tak mampu aku redakan. Pertanyaannya membuat
aku terasa agak pelik. Apa kaitan potret perempuan ini dengan seorang abang
yang sedang dicarinya.
“Barangkali pertanyaan ini menyakitkan hati abang. Tetapi
jawapan abang akan meruntuhkan beban yang menekan bergelayut dalam kepala saya
selama ini. Perempuan dalam gambar ini adalah ibu saya sewaktu mudanya.” Ujar
gadis itu dengan suara yang bergetar.
Gadis muda itu yang mula memanggil aku sebagai abang
memendam sorot mata yang penuh harap dan cemas, menanti jawapan kepastian
dariku. Air mata yang mulanya perlahan
namun menjadi deras mengalir di tebing pipinya.
“Jujurlah dengan saya bahawa perempuan dalam gambar ini juga
ibu abang.” Sambung gadis itu lagi sambil tetap memandangku dengan mata harap.
Bagaikan ada yang tersangkut dikerongkong. Tiada patah
perkataan untuk kuungkapkan walau pun untuk sekadar berkata ya. Perlahan-lahan
aku anggukkan kepalaku. Gadis itu pantas memelukku sambil menangis
teresak-esak..
“Alhamdulillah, pencarian saya selama ini telah berakhir.
Nama ibu kita Rahimah. Saya ingin membawa abang pulang menemui ibu. Sudikah
abang?” Rayu gadis itu.
Aku masih terdiam. Merasa asing dengan permintaannya. Tak
pernah aku mendatangi Ibu. Apa lagi mencarinya. Aku menolak permintaannya. Dia
berusaha memujukku untuk bertemu ibu. Tetapku tolak. Kali ini suaraku dingin.
Mungkin gugup. Namun aku memang harus memperlihatkan pendirian tegasku padanya.
Aku tak pernah mengerti kenapa aku dilahirkan begini, bahkan
aku tak pernah meminta Tuhan untuk meniupkan rohku ke dalam rahim ibu
kandungku. Andai kata ada semacam pemilihan di alam roh, aku akan lebih rela
memilih dilahirkan melalui rahim seorang perempuan biasa yang tidak punya
apa-apa tetapi halal hubungannya.
Usah lagi bercerita padaku mengenai Ibu kandungku, perempuan
yang sepatutnya disapa dengan sepenuh keagungan jiwa, pemujaan, permohonan doa
dan restu. Aku memutuskan untuk tidak mahu mengenali Ibu. Aku telah dibuang
oleh ibu kandungku sendiri. Itu kenyataan yang amat pedih untukku terima. Apa
salahku pada ibu hingga diperlakukan begini. Hakikatnya aku ini terlahir dari
kerakusan nafsu manusia yang lupa tentang larangan agama.
“Pulanglah bang. Bertemulah dengan ibu walaupun untuk
seketika. Janganlah dihukum ibu sebegitu. Ibu sendiri mungkin sedang menerima
hukuman dari Allah. Ibu tak akan mampu bertahan lama. Kanser rahimnya sudah di
tahap empat.” Pujuk gadis itu lagi.
*****
Sejak hari itu, adik perempuan kerap datang mengunjungi
sambil memujuk aku bertemu dengan ibu, namun tidak pernah aku endahkan.
Hinggalah sewaktu ibu kandungku sudah terbaring koma di hospital, aku masih tak
pergi menjengoknya. Telefonku berdering dan tak berhenti berdering, tidak
sesekalipun aku ingin menjawabnya. Kubiarkan sahaja adik perempuanku menelefon
berkali-kali.
Apa peduliku dengan perempuan itu! Seorang Ibu kandung yang
melahirkanku, lalu mencampak diriku seperti sampah sebaik aku terlahir ke
dunia. Aku tak perlu peduli. Perempuan jenis apakah yang membuang anaknya yang
dikandungkan selama sembilan bulan tanpa belas dan kasih sayang. Kalau
perempuan ini tidak menginginkan aku, aku telah punya Ibubapa angkatku yang
menyayangiku tanpa beza.
Menjelang maghrib sewaktu dalam perjalanan pulang rumah, aku
bergegas singgah di sebuah surau untuk menunaikan solat maghrib. Hanya beberapa orang lelaki yang agak
berusia, seorang lelaki yang mungkin sebaya denganku, seorang perempuan muda
dan seorang perempuan tua yang jelas kelihatan keuzurannya yang berada di surau
itu. Lelaki sebayaku yang aku kira seorang ustaz berdasarkan penampilan dan
perwatakkannya mengimamkan sembahyang maghrib kami.
Sebaik selesai solat dan berdoa sambil menunggu waktu isyak,
aku mengajak ustaz berkenaan berbual-bual kecil di serambi surau. Kami berbual
tentang beberapa perkara termasuk yang berkaitan dengan ugama. Tanpa sedar
secara tidak sengaja aku tertanya padanya, kenapa aku dilahirkan dari rahim
seorang perempuan yang tidak halal hubungannya, bukankah Tuhan membenci perkara
itu.
Tanpa aku sangka, hanya titisan air mata sebagai jawapan
atas pertanyaanku. Ustaz hanya terdiam seolah telah kehilangan kata-kata. Jeda
masa yang tanpa kata itu aku rasa amat panjang. Sesungguhnya aku sememangnya
dahagakan satu jawapan untuk meredakan rasa yang kerap memberontak.
“Tak usah menyalahkan Ibumu. Tak mungkin juga menyalahkan
Allah karena membuat kamu berada di dunia ini.” Ujar Ustaz sambil mengesat air
mata yang terus mengalir di pipinya.
Lalu ustaz bercerita tentang kisah seorang pemuda yang telah
dijanjikan satu tempat di syurga kerana ia telah menjaga kedua ibubapanya yang
telah bertukar menjadi babi. Walaupun dicerca dan dihina oleh masyarakat, namun
tidak sesekali membuatkan pemuda itu melupakan tanggungjawabnya kepada kedua
ibubapanya, malah dibela dan dimandikan persis manusia.
“Maksud babi dalam kisah itu mungkin bukanlah babi yang
sebentar. Mungkin Ianya adalah perumpamaan tingkahlaku buruk kedua ibubapanya
yang dipandang hina oleh masyarakat waktu itu. Namun tetap menjadi kewajiban
untuk si anak untuk mentaati dan menjaga kedua Ibubapa dengan baik!” Sambung
Ustaz lagi.
“Tapi kenapa saya? Kenapa bukan orang lain. Saya hanya mahu
menjadi seperti orang lain yang mempunyai kedua ibubapa kandung saya sendiri.
Saya sudah tidak sanggup menanggung penghinaan masyarakat.” Balas saya
perlahan.
“Percayalah, suatu saat nanti kau akan menemukan kebenaran
dan hakikat hidup diri seorang hamba Allah. Dia tidak menciptakan makhluk yang
tidak mempunyai jalan hidup. Perkara kau dilahirkan samada dari seorang
perempuan yang halal hubungannya atau tidak, itu adalah kehendakNya.
Tanggungjawab kamu adalah mentaati kedua ibubapamu walau siapa mereka
sekalipun.”
Ustaz mengakhiri kata-katanya lalu bangun sambil meminta
izin untuk mengalunkan azan Isyak. Aku terus bersandar di dinding surau sambil
menikmati setiap patah laungan azan dengan penuh rasa keinsafan. Kata-kata
ustaz itu tadi benar-benar menusuk ke hatiku. Tanpa sedar ada butiran air mata
yang mengalir di pipiku.
Selepas solat isyak, kami bersalaman untuk berpisah. Ustaz
segera mendukung perempuan tua uzur itu yang sebenarnya adalah ibunya untuk
bergerak menuju ke keretanya yang terletak tidak jauh dari surau .
”Nasib kita serupa. Saya telah melalui apa yang kamu sedang
lalui dan saya redha. Belajarlah menjadi seorang hamba yang redha dengan
ketentuan Allah.” Sempat ustaz berbisik.
*****
Kata-kata ustaz
sebentar tadi datang bersilih ganti. Ada rindu yang memanggil.
Barangkali aku perlu menemukan Ibu. Aku tak boleh membenci Ibu, dia tetaplah
ibu kandungku. Aku tak boleh menggugat Tuhan atas kelahiranku, siapalah aku
sekadar seorang hamba yang dilahirkan ke dunia atas belas ehsanNya.
Aku kembali semula ke galeri lukisku. Kembali untuk menatap
sekeping potret yang telah lama tidak dapat aku siapkan. Menatap seraut wajah
yang sebenarnya amat aku rindui. Tak mungkin menyalahkan Ibu, tak mungkin juga
menyalahkan Tuhan karena membuat aku ada di dunia ini.
Ingin aku tebus kehinaanku sebagai seorang lelaki yang tidak
mempunyai ibu kandung, seorang anak yang hanya mengenali kedua ibubapa
angkatnya sahaja. Getir rasa hatiku tak mengenal ibu kandung. Aku ingin
sebagaimana layaknya seorang lelaki biasa yang dapat mempertemukan bakal isteri
dengan ibu kandungnya. Tidak hanya kedua Ibubapa angkat yang dapat aku
perkenalkan pada keluarga bakal isteriku.
Bahkan mungkin sahaja mempertemukan dengan saudara-saudaraku yang lain.
Dalam keremangan malam, kutemukan takdir perjalanan hidupku,
bahwa manusia turut mempunyai erti untuk orang lain. Perkara dosa silam Ibuku
adalah urusan ibu dengan Tuhan, namun akan aku doakan agar segala dosa ibu diampunkan Tuhan. Maafkan aku
Ya Allah di atas kelanjuranku selama ini membenci ibu kandungku sendiri.
Potret wajah ibu akan aku segera siapkan. Ia bukan lagi
sebuah potret tentang kesengsaraan, kebencian dan dendam tetapi tentang kerinduan dan kasih sayang
antara seorang anak dan ibunya. Potret ini akan aku gantung di dinding galeriku
dengan penuh rasa kemegahan bahawa dia adalah ibu kandungku. Kebencianku telah
benar-benar berakhir.
No comments:
Post a Comment