Angin laut yang terus berbisik di Teluk Bidara ini adalah bicara tentang kehidupanku. Di sinilah sewaktu kecil, aku lelah bermain-main mengejar ombak dan anak-anak ketam yang sedang berlarian di pasir pantai. Di sini jugalah, aku akan terus berbicara tanpa jemu tentang laut, ikan, sotong, udang, si camar, terumbu karang, ombak badai, gelombang laut, sang helang berdada merah dan tentang segunung harapan di hatiku. Di pantai Teluk Bidara inilah angin dari Laut China Selatan akan terus berbisik tanpa henti. - Upenyu

Friday, May 15, 2009

Derai-derai di mata ibu


















Hujan malam mulai turun dengan lebat sebaiknya sahaja aku tiba di rumah ibu. Sesekali kilat memancar membelah langit malam. Enjin kereta segera ku matikan agar tidak mengganggu jiran-jiran yang sedang menikmati kesepian malam. Jam di tanganku menunjukan pukul 11.30 malam. Beginilah suasana malam di kampung, berbeza sekali dengan suasana malam di bandar.

Aku segera keluar dari keretaku dan berlari-lari anak, menunju ke serambi rumah untuk mengelak dari kebasahan. Titisan hujan yang menitis di atas bumbung zing rumah kayu ini bagaikan satu irama merdu, malah bukan lagi satu irama yang asing bagiku. Daerah kelahiran aku ini sememangnya akrab dengan hujan. Malah kebelakangan ini tidak ada satu hari yang berlalu tanpa tanahnya disirami oleh kebasahan. Seumpama diri ibu juga yang kian akrab dengan air mata. Tidak ada sehari yang dilaluinya tanpa air mata.

Walau pun aku sedaya upaya telah aku cuba mengelak diri dari kebasahan, Namun sang hujan tidak bersempati. Ada kebasahan di belakang badanku. Kebasahan yang membawa kedinginan. Aku letakkan punggung ke kerusi rotan yang sememangnya sedia ada di situ.

Dalam keadaan hujan yang melebat sebegini, masih sayup-sayup terdengar bunyi ombak musim tengkujuh menghempas pantai. Rumah ibu hanya lebih kurang 300 meter sahaja dari pantai. Hempasan ombak pantai inilah yang menjadi santapan halwa telinga kami sekeluarga dan orang-orang di sini selama ini. Merdu sebagai santapan telinga tetapi ombak laut China Selatan ini boleh berubah menjadi ganas dalam sekelip mata. Ombaknya boleh mencecah 30 kaki tinggi sehingga mampu menelan apa saja yang ada dibibir pantai tanpa belas. Seganas ombak inikah nasib yang menimpa adikku. Tuhan sahaja yang lebih mengetahui.

Sememangnya memandu sendirian dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu amatlah memenatkan. Apatah lagi perjalanan yang mengambil masa hampir enam jam ini kuharungi tanpa ditemani oleh isteri dan anak-anakku. Lebih memenatkan, apabila kepulangan aku kali ini, bukanlah kepulangan biasa. Ada berita buruk tentang adik ku, Suffiah Idayu, yang perlu kumaklumkan kepada ibu. Aku sesungguhnya tidak mahu dihimpit rasa bersalah kepada ibu sekiranya berlaku perkara buruk kepada adikku nanti.

Rumah ibu gelap sahaja, hanya terlihat pancaran kecil lampu neon di ruang bacaan. Aku pasti ibu masih berada di situ mengaji Al Quran. Rutinnya adalah begitu, sebaik pulang dari surau, ibu akan mengaji terlebih dahulu sebelum masuk tidur, Suara ibu mengaji Al-Quran sememangnya merdu dan mendayu-dayu membelah keheningan malam. Agaknya ibu terlelap. Biasanya dia akan segera membuka pintu sebaik mendengar bunyi enjin keretaku. Mungkin sahaja hujan yang menitik lebat ini telah menenggelamkan bunyi enjin keretaku dari tertangkap oleh telinga ibu.

Sejak ayah meninggal dunia, ibu tinggal sendirian di rumah ini. Kesemua empat orang anak ibu iaitu aku sebagai anak sulung, Imran, Ihsan dan Suffiah Idayu, adik bongsuku tidak lagi tinggal bersama ibu. Aku sekarang berkerja sebagai pengurus sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Imran berkerja di Brunei, manakala Ihsan sekarang berkerja dengan sebuah syarikat minyak di Dubai. Suffiah Idayu satu-satunya adik bongsu dan adik perempuan kami juga tidak tinggal bersama ibu. Puas aku mengajak ibu agar tinggal bersama kami, tapi ibu menolak. Sayang pada rumah peninggalan arwah ayah yang penuh dengan kenangan pahit manis kami sekeluarga.

Untuk tidak mengganggu ibu, pintu rumah kubuka sendiri menggunakan kunci tambahan yang aku ada. Perlahan aku menuju ke bilik bacaan. Aku lihat ibu sedang duduk di kerusi malas, sambil membaca Al-Quran. Tekun hingga terbongkok-bongkok membaca Al-Quran. Telekung sembahyang masih tidak lagi ditanggalkannya. Langsung tidak menyedari kehadiranku.

“Assalamualaikum ibu.” Perlahan sahaja kuucapkan salam pada ibu.

“Waalaikumussalam, oh! Amran. Maaf Ibu tak dengar enjin kereta kamu. Mana isteri dan anak-anak kamu. Mereka tidak ikut kamu pulang?” Jawab ibu seakan terkejut tapi masih sempat melemparkan senyuman buatku. “Duduklah dulu, ibu sediakan makan untuk kamu Ada ibu buat bubur pulut hitam kegemaran kamu tu!”

“Tak payahlah ibu. Nanti Am ambil sendiri. Hanizah ada urusan di Kuala Lumpur. Dia dan budak-budak tak dapat ikut.” Jawapku ringkas sambil membongkok tunduk mencium tangan ibu. Ibu senyum, menggangguk lantas meneruskan rutinnya.

Sebetulnya aku menjadi jengah dan bungkam. Namun rupanya ibu tidak pernah merasa bahawa sikapnya itu telah membuatku selalu merasa serba salah. Ibu diam seperti patung. Hanya mulutnya sahaja terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Suasana seperti itu yang selalu kuhadapi dengan rasa kebingungan.

"Malam sudah larut, ibu tak mengantuk ke?" Tanyaku ketika setelah beberapa lama kami berdiam diri.

Untuk sejenak itu ibu menghentikan bacaannya, lalu menoleh kepadaku. Kacamatanya masih bertenggek di hujung hidung. Kedut-kedut di wajah ibu jelas terlihat. Mungkin kesunyian ibu tanpa suami dan anak-anak membuat dia kelihatan letih dan kepenatan.

"Kamu pergilah tidur dulu Am. Mata ibu belum masih belum mengantuk lagi," Jawab ibu dengan senyuman yang amat ku rindui.

“Ibu nampak kepenatan.” Balasku.

"Sebentar lagi. Tinggal beberapa surah sahaja lagi. Kamu pergilah tidur. Kamu sudah tentu penat. Kita bicara sahaja esok." Jawab ibu yang kini tidak lagi memandangku. Ibu kembali meneruskan bacaannya.

Ternyata, ibu seolah-olah memberi isyarat menghentikan percakapan. Ibu seperti enggan diganggu. Maka aku hanya diam. Namun aku tidak sampai hati meninggalkan ibu sendirian, tanpa memaklumkan berita buruk ini terlebih dahulu.

Kutarik kerusi, dan duduk di sampingnya. Bau haruman air mawar yang dipakai ibu menusuk hidungku. Haruman mawar yang sering ibu pakai memang telah menjadi amalan ibu sejak dari aku kecil lagi. Di bawah cahaya neon, ibu terus tekun dengan bacaannya. Langsung tidak memperdulikan aku yang duduk di sisinya.

Dalam kegelisahan itu, mataku meliar memandang ke arah dinding ruang bacaan ini, aku terlihat sekeping potret keluarga tergantung. Bersih sahaja potret itu, begitu terjaga rapi. Dahulunya potret ini tergantung di ruang tamu. Pasti ibu telah memindahkannya ke sini. Potret ini diambil semasa aku akan melanjutkan pelajaran ke universiti hampir 20 tahun dulu. Kata ibu potret ini untuk kenangan kami sekeluarga. Ibu dan ayah duduk di tengah. Aku, Imran dan Ihsan berdiri di belakang, manakala adikku Suffiah Idayu mesra di pangkuan ibu.

Suffiah memang anak kesayangan ibu. Mungkin kerana dia adalah anak bongsu dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga kami. Suffiah memang mewarisi rupa paras ibu. Begitu genit dan cantik sekali. Putih kulitnya seperti kulit ibu juga. Berbanding kulitku yang agak gelap sedikit. Aku dan adik-adik lelakiku lebih mewarisi rupa paras ayah. Kadang-kadang cemburu juga kami, anak-anak lelaki ibu yang lain melihat Saffiah mendapat layanan mesra dan istimewa dari ibu. Masih kuingat, pantang sahaja Saffiah menangis kerana disakat oleh adik-adikku, pastilah berbirat telinga kami dipulas oleh ibu. Namun aku dan Suffiah serta adik-adik aku yang lain sangat rapat sekali.

Satu kelebihan yang Suffiah miliki adalah suaranya yang amat lunak dan merdu. Suaranya cukup merdu bila mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Di sekolah Suffiah sering sahaja terpilih mewakili sekolah dalam setiap pertandingan musabaqah dan tidak pernah dia pulang dengan tangan kosong pada setiap pertandingan yang disertainya. Kami semua berbangga dengan kebolehan Suffiah. Ibu punya cita-cita untuk Suffiah melanjutkan pelajaran dalam bidang agama dan keluar dari universiti sebagai seorang ustazah.

Aku bagai terkejut bila ibu tiba-tiba batuk. Aku segera memberi perhatian kepada ibu. Terasa amat betapa ada keresahan dalam diriku. Untuk menuturkan kata-kata yang sebenarnya ingin aku sampaikan pada ibu, terasa sukar. Namun kupaksa diriku.

“Ibu, ada sesuatu yang penting Am ingin sampaikan pada ibu!” Bisikku perlahan.

Ibu berhenti membaca dan menoleh kepadaku. Ditatapnya aku dengan tatapan senja, pandangnya seakan menghujam hatiku. Dari air muka ibu itu, seakan dia mengetahui apa yang aku ingin sampaikan..

"Tentang adikmu?" Tiba-tiba ibu melemparkan pertanyaan yang langsung menikam hulu hatiku. Ibu kembali meneruskan bacaannya. Seolah masih ada yang terbuku di hati ibu.
Dan aku kembali terpisah dalam kesendirian. Aku merasa amat sukar sekali untuk melontarkan suara. Aku bagaikan anak kecil yang selalu terdiam ketika ibu berkata, meski di dalam hati aku meronta-ronta untuk meneruskan kata-kata.

“Benar ibu. Ini tentang adik,” Kataku perlahan agar perasaan ibu tak terusik.

“Amran, kamu adalah anak ibu yang paling baik. Kamu tidak pernah membantah apa-apa kata ayah dan ibu. Malah tidak pernah sekali pun kamu meninggikan suara dengan Ibu. Bukankah telah ibu katakan, ibu tak mahu lagi mendengar apa-apa tentang adikmu, Suffiah.” Jawab ibu tegas. Seolah-olah ibu memberiku amaran agar tidak lagi bercerita apa-apa lagi tentang satu-satunya adik perempuanku.

“Ibu, adik sekarang berada di wad ICU Hospital Besar Kuala Lumpur.. Adik sedang koma. Pendarahan yang teruk berlaku semasa melahirkan anak keduanya, cucu ibu!” Aku memberanikan diri, mengkhabarkan berita tentang adik kepada ibu.

“Saffiah bukan anak ibu lagi. Dia dah lama mati dalam hati ibu!” tegas ibu perlahan. Tiba-tiba kulihat ada manik-manik jernih mengalir keluar di pipi ibu. ibu teruskan membaca ayat Quran dengan suara yang bergetar.


................


“Sampai hati adikmu, membuat sebegini kepada kami.” Kata ayah dengan suara perlahan. Begitulah sikap ayah yang sangat aku kagumi. Walau dalam apa situasi sekalipun, tidak sesekali meninggikan suaranya.

Aku menarik nafas panjang. Keluh dan sebak di dadaku bercampur. Sedari aku mulai sampai di rumah lagi, esakan ibu tidak berhenti-henti. Aku sememang bersimpati dengan ibu dan ayah. Aku tahu ibu dan ayah amat malu dengan perbuatan adik itu.

"Ibu malu Am, malu..! Adui...! Mana kami nak sorokkan muka ni? Mana kami nak sorok muka dan macam mana nak menjawab dengan keluarga Hisham? Macam mana?“ Tangisan ibu berterusan. Marah teramat terhadap perbuatan adik amat tidak bertanggungjawab itu. Mengenepikan keluarga dalam hal penting seperti ini.

“Maafkan adik, ibu, ayah!” Aku cuba memujuk dan menyabarkan ayah dan ibu. Walau aku tahu luka ini pasti mendalam dan amat pedih untuk mereka. Satu-satunya anak perempuan ibu dan ayah telah melakukan perkara yang tidak disangka-sangka.

Ah!, siapa tak kenal adikku, Saffiah Idayu. Dia di antara penyanyi yang sedang meningkat popular di Malaysia. Sebut sahaja namanya, baik orang dewasa hingga ke anak-anak kecil mengenali dia. Lagu-lagu dendangan adikku itu sering sahaja berkumandang di radio-radio dan menjadi siulan anak-anak muda. Berita tentang dirinya juga sering tersiar di dada-dada akhbar dan majalah.

Berita perkahwinan mengejut adikku benar-benar membuat ibu dan ayah kecewa. Satu Malaysia mengetahui yang adikku kahwin lari di sempadan dengan seorang lelaki bergelar Datuk. Apatah lagi menjadi isteri ke dua lelaki itu. Gambar adik yang tersenyum di samping lelaki itu, terpampang di ruangan gosip hiburan akhbar-akhbar utama tanahair. Menambah lagi sakit hati ibu bila terpandang gambar itu.

“Abang, maaf Safiah bang atas perkahwinan terlarang ini. Safiah dah tak boleh mengelak lagi. Saffiah tahu, Saffiah telah menyakit hati ibu, hati ayah.” Esakan Safiah terdengar dalam perbualan telefon kami, dua hari selepas berita pernikahan adik tersiar di akhbar dan juga setelah puas aku menghubunginya tetapi gagal.

“Kenapa adik ambil keputusan terburu-buru macam ni! Kenapa tak bincang dulu dengan ibu dan ayah. Adik tahu tak apa yang adik dah buat. Mereka malu dengan perbuatan adik! Malu pada keluarga Hisham. Malu pada orang kampung.” ujarku lagi kesal dengan tindakan adik.

“Bang, kami dah terlanjur. Adik hamil, 2 bulan. Kami ambil keputusan untuk segera menikah. Saffiah tahu ibu dan ayah pasti akan marah. Saffiah dah musnahkan harapan ibu dan ayah. Tolong bang, Sampaikan salam adik pada ibu dan ayah. Ampunkan dosa adik.” Kata-kata penamat dari adik dan telefon diletak. Sejak itu tiada lagi berita dari adik, walau aku cuba hubunginya berkali. Nombor telefonnya tidak lagi aktif.


..............................


“Ibu mahu perkahwinan kamu dengan Hisham nanti, akan menjadi perkahwinan terhebat abad ini.” Kata ibu sambil tersenyum lebar.

“Ala… adik tak mahu kahwin lagilah ibu, Adik nak buru cita-cita adik untuk jadi penyanyi tersohor di Malaysia. Adik nak kumpul duit dulu, nak belikan ibu dan ayah sebuah kereta mewah rumah banglow besar di atas bukit,” Janji adik, manja tapi bersungguh-sungguh.

Ibu tersenyum. Rambut adik disisir kemas. Ubun-ubun adik dicium manja. Memang adik menjadi kesayangan ibu. Adik satu-satunya anak perempuan dalam keluarga kami. Adik ditatang bagai minyak yang penuh.

“Kau tak kesiankan Hisham, tunang adik tu? Dah lama dia minta majlis perkahwinan di segerakan. Adik saja yang masih melambat-lambatkan.” Kata ibu lembut seolah-olah memujuk.

”Tak naklah ibu. Tapi kalau ibu paksa juga, adik nak lari dari rumah ni. Pergi ke tempat yang jauh sekali. Abang Am sajalah yang kahwin lagi sekali. Kahwin dengan isteri nombor dua. Adik tolong carikan. Hahahaha..!! “ Adik ketawa besar mengusik ibu.

Ibu balas dengan ketawa juga sambil menarik telinga adik. Ayah hanya tersenyum. Ayah sebenarnya tidak terlalu berkisah sangat. Kalau Ibu setuju, ayah biasa setuju sahaja. Jarang berbeza pendapat berlaku antara ayah dan ibu. Mereka sentiasa sahaja bertolak ansur dalam banyak perkara.

”Majlis perkahwinan abangmu, pun ibu dan ayah buat besar-besaran, ini pula anak perempuan tunggal, ibu mestilah lagi besar-besaran juga.” Tambah ibu lagi tersenyum girang sambil bibirnya dijuih ke arahku yang sedari tadi hanya mendengar celoteh adik.



.…………………….


Telah lima tahun berlalu, sejak berkahwin, adik tidak lagi pulang ke rumah di kampung. Entah apa sebabnya aku pun tak pasti. Mungkin adik malu berhadapan dengan ibu dan ayah. Mungkin adik juga malu berhadapan dengan Hisham dan keluarganya. Aku tak pasti. Sejak perkahwinan itu juga, berita-berita tentang tidak lagi muncul di dada-dada akhbar atau di media-media elektronik. Adik hilang terus daripada persada seni tanahair. Malah para wartawan juga tidak dapat menjejak kemana adik menghilang.

Kini, ayah telah tiga tahun meninggal dunia. Membawa bersama luka di hati dengan perbuatan adik. Hanya aku, isteri dan anak-anak sahaja yang kerap pulang melawat ibu yang sendirian di kampung hampir setiap bulan. Sengaja aku kerap pulang agar ibu tidak merasakan kesunyian.

Kasihan ibu. Hari-hari yang dilaluinya dengan air mata. Mungkin ibu masih belum dapat menerima perbuatan adik itu. Sejak peristiwa itu, tiada lagi gambar adik yang tergantung rumah. Semuanya ibu sendiri yang menurunkannya. Setiap apa juga barang-barang yang boleh mengingatkan ibu kepada adik telah disimpan semua didalam bilik setor belakang rumah. Hinggakan lagu-lagu adik yang dulu sering jadi kegemaran ibu tidak lagi terdengar dipasang ibu.

Aku juga merasa hairan dengan sikap adik yang langsung tidak menghubungi ibu. Malah semasa ayah meninggal dunia, adik juga tidak pulang. Aku sendiri tidak tahu dimana adik berada untuk memaklumkan kematian ayah. Perbuatan adik ini menambah lagi luka yang telah lama bernanah di hati ibu. Luka di hati ibu memang parah. Menyebut sahaja nama adik pasti akan mengundang air matanya akan mengalir keluar. Sesekali pernah ku cuba berbisik kepada ibu untuk memujuk adik pulang tapi ibu menghalang keras.

“Walau apa pun yang berlaku pada ibu, ibu tak izinkan Am, maklumkan pada Saffiah. Biarlah kalau satu hari nanti, ibu mengikut jejak ayah. Ibu tak izinkan Saffiah menjejaki kaki ke rumah ini lagi.” Begitulah kerasnya hati ibu. Aku sendiri tidak mampu membuat apa-apa walau pun sedikit mengubah pendirian ibu.

Ibu, walaupun zahirnya seorang lembut tapi hati tegas. Sekali membuat keputusan ibu tidak pernah merubahnya. Agaknya sikap inilah yang diwarisi oleh adikku. Malah seingat aku tidak pernah ibu membantah setiap kemahuan adik. Semuanya dituruti. Ibu yang pada mulanya ingin adik menjadi seorang ustazah dan menghalang adik menceburi bidang seni juga akhirnya akur juga setelah adik merajuk panjang.


……………………


Setelah sekian lamanya tidak menerima berita tentang adik., tiba-tiba aku terkejut menerima panggilan telefon dari suami adik. Katanya adik sekarang berada di wad ICU Hospital Besar Kuala Lumpur. Sudah hampir seminggu adik dimasukkan ke wad kerana mengalami komplikasi semasa melahirkan anak yang ke dua. Berlaku pendarahan yang teruk dan kini adik masih lagi koma. Hanya mesin penyambung hayat sahaja yang membantu adik untuk terus bernafas.

Perkhabaran buruk ni segera ku sampaikan kepada isteriku dan adik-adikku yang lain terlebih dahulu. Semacam ada keresahan di hatiku samada ingin menyampaikan berita ini kepada ibu. Aku khuatir kalau berita ini akan menambahkan lagi kesedihan ibu. Tetapi isteriku mendesak juga agak berita buruk ini disampaikan juga kepada ibu. Kata isteriku, adikku itu juga tetap anak ibu, tiada yang dapat memisahkan, malahan naluri seorang ibu tetap menyayangi anaknya walau apa juga berlaku.

Tanpa membuang masa, aku terus ke pejabat isteriku untuk menjemput dia ke Hospital besar Kuala Lumpur. Ketibaan kami disambut oleh suami adik. Inilah pertama kali aku berjumpa dengan lelaki ini. Aku kira dia berumur di awal 50 an. Disampingnya seorang budak perempuan yang aku rasa berusia dalam lingkungan umur 4 tahun.

“Amirah, ini Pak Long Amirah. Pak Long ni, abang mama Amirah. Salam Pak Long dan Mak Long” Kata suami adik kepada budak perempuan itu.

Budak perempuan bernama Amirah itu segera mencium tanganku. Aku gosok kepala Amirah. Segera kupeluk Amira erat-erat. Pipinya kucium. Amirah memang comel dan genit, malah benar-benar mewarisi wajah adikku. Gelagat Amirah pun memang saling tidak tumpah dengan tingkahlaku Saffiah.

“Pak Long datang tengok mama ye? Mama tengah tidurlah Pak Long. Dah lama mama tidur. Mirah kejut pun mama tak mahu bangun jugak. Nanti Pak Long kejutkan mama boleh. Adik rindu nak cakap-cakap dengan mama. Jalan-jalan dengan mama. Pak Long kejutkan mama ye Pak Long!” petah anak kecil itu menuturkan patah--patah kata. Wajah begitu mengharap sekali.

Aku hanya menggangguk. Terharu dengan sikap Amirah, yang tidak mengetahui bahawa mamanya sedang koma. Yang diceritakan kepadanya adalah mamanya sedanag tidur.

“Pak Long nak tengok adik tak? Adik ada dalam bilik satu lagi. Doktor letak adik dalam kotak yang ada lampu. Pak Long tahu, banyak wayar kat badan adik. Tapikan Pak Long, Mirah benci adik. Pasal adiklah mama tidur, tak bangun-bangun lagi sampai sekarang. Mirah rindukan mama, Pak Long. Nanti kalau mama bangun, Mirah tak mahu nakal-nakal lagi. Pak Long kejutkan mama ya.” Perlahan Amirah membisikkan ke telingaku. Tiap patah katanya membuatkan aku sebak. Tak sedar mataku berkaca hiba mendengar bisikan Amirah.

Aku lepaskan pelukan Amirah perlahan-lahan. Isteriku segera mencapai Amirah dan memeluk Amirah dalam dakapannya.

“Bagaimana Saffiah bang?” aku bertanya kepada suami adikku.

“Macam itu jugalah Amran. Tiada apa-apa perubahan sejak dua minggu yang lalu. Doktor pun tak beri banyak harapan.” Kata suami adik perlahan. “Sekarang ini pun, dia hanya bergantung kepada mesin hayat. Tak tahulah sampai bila.”

Kami segera berjalan menuju ke wad ICU. Sebaik tiba itu, aku lihat adik sedang terbaring. Matanya terpejam. Ada saluran oksigen yang terletak dihidung dan mulutnya. Dadanya berombak-ombak tak henti-henti. Sekejap kuat dan sekejap perlahan beriring-iringan. Badan adik kurus. Wajahnya cengkuk. Sesekali ku lihat wajah ada bergerak seolah-olah ada sesuatu.

Aku segera menarik kerusi dan duduk berhampiran katil adik. Tangannya kupegang era. Sejuk. Terasa sebak dan sayu di hatiku melihat adik dalam keadaan begitu. Tentu berat seksaan yang ditanggungnya. Aku berdoa dalam hati memohon seksaan adik ini segera hilang. Isteriku yang sedari tadi hanya membisu, membisik agar aku berkata sesuatu kepada adik. Kata isteriku. adik pasti mendengar. Mudah-mudahan ada tindakbalas darinya.

“Assalamualaikum adik. Abang datang melawat adik.” Kuluahkan kata-kata yang aku harapkan boleh adik dengari.

“Abang datang untuk menyambung semula ikatan kasih sayang kita adik beradik. Kami Semua sayang adik. Lama abang tak jumpa adik dan berbual mesra dengan adik seperti dulu. Ayah dah tiga tahun meninggal, dan ibu seorang di kampung. Tapi adik usah bimbang, abang, isteri abang dan anak-anak abang selalu pulang ke kampung menemani ibu. Adik-adik kita yang lain jarang pulang kerana mereka bekerja jauh. Kembalilah adik, Kami menuggu adik sedar. Kita lupakan sahaja perkara yang dah berlalu. Abang rasa ibu pasti memaafkanmu dan menunggu kepulanganmu. Adik bangunlah cepat. Kita sama-sama pulang ke kampung berjumpa dengan ibu. Kita cium tangan ibu dan mohon kemaafannya. Bangun dik! Abang bawa adik pulang.”

Aku terdiam sebentar untuk mengumpul semula kata-kata. Aku lihat isteriku membaca Surah Yassin. Amirah berada di pangkuan isteriku.

“Mama, bangun mama. Pak Long datang! Pak Long nak jumpa mama! Bangunlah Mama. Kesian Pak Long.” Amirah berkata-kata sambil mengoncang-goncang badan mamanya. Isteriku segera memeluk Amirah semula. Amirah bagaikan meronta dan mula teresak.

“Pak Long, mama nangis!” jerit Amirah padaku. Ada linangan air mata mengalir dari kedua belah mata adik yang terpejam itu. Aku terharu. Mungkin adik mendengar apa yang aku katakan tadi. Air mata adik mengalir dan terus mengalir.

“Bang, abang pulanglah ke kampung malam ini juga.. Jemput segera ibu, bawa mari. Usah biarkan Saffiah menderita lama-lama sebegini. Kita rayu ibu maafkan Saffiah.” Nasihat isteriku.

“Baiklah, abang pulang jemput ibu malam ini juga!”



…………………………………..


“Ibu, Am mohon!, Am rayu pada ibu!, ikutlah Am ke Kuala Lumpur. Ibu jengahlah Saffiah. Am tak sanggup lihat Saffiah menderita sebegitu. Am tahu, Saffiah berdosa pada ibu. Tapi cukuplah sekadar dunia ini sahaja Saffiah diseksa, janganlah di akhirat sana nanti Saffiah juga diseksa!” Rayuku pada ibu.

Aku kucup tangan ibu berkali-kali. Namun ibu masih lagi begitu. Tiada sepatah kata yang keluar dari mulut ibu selain dari ayat-ayat suci Al Quran yang keluar. Ibu pejamkan mata. Deraian air mata terus mengalir keluar di pipi ibu.

“Am masih ingat, dulu ibu sering bercerita pada Am kisah sahabat nabi yang bernama Musalmah yang derhaka kepada ibunya semata-mata kerana sayang kepada isterinya. Am harap, ibu akan jadi seperti ibu Musalmah yang sediakan menggampun dosa Musalmah di saat kematiannya. Saffiah anak ibu. Anak yang ibu besarkan dengan susu ibu sendiri. Mahukah ibu, anak dari darah ibu sendiri di bakar dalam neraka. Ampunkan Saffiah, bu!” Bisikku perlahan ke telinga ibu.

Ibu masih seperti itu. Mulutnya terus sahaja terus membaca ayat-ayat Al Quran. Aku diam. Sudah habis iktiarku memujuk ibu. Aku sudah putus asa. Terserah kepada ibu kalau masih berkeras, malam ini jugak aku akan pulang ke kuala Lumpur.


………….


Sehabis membaca surah itu, ibu menutup kitab suci Al-Quran lantas mencium dan memeluknya erat ke dada. Aku lihat derai-derai air mata mengalir terus di mata ibu tanpa henti, sama seperti juga air mata adikku, mengalir dan terus mengalir.

Lambat-lambat, dengan kesebakan yang bertumpang-tindih itu, perlahan-lahan aku melangkah ku muka pintu dan terus turun menuju ke keretaku semula. Aku sudah gagal memujuk ibu, dan aku terpaksa hidup dengan kenyataan itu. Aku kesal sangat-sangat dengan sikap ibu. Alangkah Tuhan lagi Maha Pemaaf dan Penyayang. Kekerasan hati ibu tidak mampu lagi aku lembutkan.

Begitu aku memasuki keretaku semula. Air mata, bergenang di kelopak mataku. Perlahan-lahan, aku menghidupkan enjin kereta, untuk pulang semula ke Kuala Lumpur dan terus ke Hospital Besar Kuala Lumpur kerana isteriku masih di sana. Hujan yang tadinya lebat kini mulai teduh.

Tiba-tiba, aku terdengar bunyi jendela keretaku diketuk orang. Aku mendongak, dan terkejut melihat orang yang berpayung, berhampiran dengan jendela di sebelah tempat dudukku.

"Eh? Takkan nak biarkan aku lama-lama dalam hujan ni? Kenapa, Am dah tak jadi nak bawa ibu ke hospital untuk tengok adikmu?" Suara ibu menerjah ke telingaku.

Air mata ku kembali bergenang. Syukur.




Picture by
http://i169.photobucket.com/albums/u222/apriehome/aprie_gallery/ar.jpg

2 comments:

  1. mula-mula tgk tjuk, eh cm dah baca jer..

    lps hbs baca, bot bukak kat kapa..

    oo..abg sham ubah sikit.

    nampak lagi matang. lagi teratur. lg menyentuh hati.

    ReplyDelete
  2. adakah ini versi penuh cerpen derai-derai di mata ibu?

    ternyata karya yang dikaji dan diberi tunjuk ajar mampu membuahkan hasil yang baik sekali.

    bahasa yang digunakan tampak matang dan saya dibuai pelbagai rasa; mulanya kecewa dengan suffiah, kemudian simpati pada amran dan akhirnya lega kerana penamatnya adalah seperti yang saya harapkan.

    saya amat berpuas hati. terima kasih... :D

    ReplyDelete