Angin laut yang terus berbisik di Teluk Bidara ini adalah bicara tentang kehidupanku. Di sinilah sewaktu kecil, aku lelah bermain-main mengejar ombak dan anak-anak ketam yang sedang berlarian di pasir pantai. Di sini jugalah, aku akan terus berbicara tanpa jemu tentang laut, ikan, sotong, udang, si camar, terumbu karang, ombak badai, gelombang laut, sang helang berdada merah dan tentang segunung harapan di hatiku. Di pantai Teluk Bidara inilah angin dari Laut China Selatan akan terus berbisik tanpa henti. - Upenyu

Sunday, May 10, 2009

Sebuah Pondok-Pondok



Dipetiknya sekuntum bunga loceng kuning dari pepohon yang tumbuh meliar di tebing sungai itu. Dicium sepuas-puasnya sambil menghirup aroma segar kuntuman itu, kemudian diramas hingga bunga yang tadinya berkembang mekar hancur di tangannya. Bunga loceng kuning yang hancur itu dilemparkan ke sungai, lalu hilang bersama arus sungai yang mengalir deras itu. Sebagaimana hancurnya bunga itu begitulah hancur hatinya kini.


Ada kesayuan terpamer di wajahnya. Redup sepasang matanya pun bagaikan ingin menceritakan sesuatu yang membebankan tapi tidak terluahkan. Beban yang terpancar di wajahnya dan terpikul di hatinya. Matanya dipejamkan rapat-rapat, seraut wajah yang dirindukan itu datang semula menerjah membawa bersama-sama garis luka sebuah kenangan berwarna merah.


****

“Abang Awie, Abang Awie! Aku nak buah mangga tu!” Ujar Intan, sambil tangannya menunjukan ke arah sepohon pokok mangga tua yang yang tegak berdiri di tebing sungai.

Awie memandang ke arah pokok mangga tua itu. Jelas terlihat buah-buah mangga yang masih hijau bergantungan pada dahan-dahan pokok mangga tua itu. Pokok mangga tua di tepi sungai ini memang telah terlalu tua. Sejak kampung ini dibuka lebih 15 tahun dulu, pokok mangga tua ini memang telah sedia ada di situ. Daun-daunnya yang rendang menjadi kawasan bawahan redup dan nyaman. Di bawah pohon mangga tua yang besar tersergam inilah menjadi tempat anak-anak kampung bermain-main.

“Pokok mangga tu tinggi sangatlah Intan. Lagi pun banyak kerengga. Macam mana nak panjat, duduk buahnya tinggi sangat. Aku tak beranilah.” Jawab Awie sambil menggaru kepalanya. Rambutnya yang pendek itu tegak sahaja seumpama duri-duri landak walaupun digaru berkali-kali.

Mata Awie tepat memandang ke arah pokok mangga tua itu lagi. Ada keraguan di hati Awie, risau juga melihat kedudukan buah-buah mangga di hujung dahan. Dahan-dahan pokok mangga tua ini bergoyang-goyang bila ditiup angin. Terlihat sepasang tupai berlari-lari di antara dahan-dahan pokok mangga.

“Alaa.., panjat aje la. Aku ni mengidam nak makan buah mangga. Kaukan laki aku. Pokok rambutan Pak Dollah kat hujung kampung tu pun tinggi jugak, tapi kau selalu panjat apa? Bolehlah!” Pinta Intan lagi sambil memegang perutnya yang memboyot.

Awie memandang dengan mata kasihan ke muka intan. Wajah Intan yang putih itu kemerah-merahan terkena pancaran matahari. Rambutnya panjang mencecah bahu diikat dengan seutas getah pengikat. Matanya dialih pula ke perut intan. Dilihat perut Intan begitu besar sekali. Awie tersenyum menampak giginya yang jarang di bahagian hadapan. Perut Intan memboyot, jauh lebih besar dari bola getah sebesar kepala lelaki dewasa yang sering digunakan untuk bermain bersama Kassim, Said, Halim dan Wahab.

“Besarnya perut kau. Dah macam gajah betina bunting je!!. Hahahaha!! Tak akan aku baru kahwin dengan kau tadi, sekarang kau dah mengandung sampai macam orang nak beranak. Teruklah kau ni!! Apa dalam baju kau tu?” Gelak Awie dengan mulut sedikit terbuka sambil tangannya menepuk-nepuk perut Intan yang memboyot itu.

Intan memuncungkan mulutnya, kecewa dengan sikap acuh tak acuh Awie. Digosok perutnya berulang-ulang dengan tangan kanannya, manakala tangan kirinya diletakan di pinggang sebelah belakang. Sambil itu dia berulang mundar-mandir di bawah pokok mangga itu.

“Bantal busuk Intanlah! Ala Abang Awie, inikan main pondok-pondok je. Kaukan laki Intan. Kau kenalah buat apa yang Intan minta! Tak syoklah main kahwin-kahwin kalau macam ni.” Bungkam Intan

Awie serba salah. Dia memang sukakan Intan. Kalau boleh apa yang Intan inginkan, semua ingin diturutkan. Intanlah yang mengajak Awie bermain pondok-pondok. Intan jugalah yang menyuruh Awie membina pondok-pondok dari pelepah-pelepah kelapa kering. Walaupun Awie serba salah menerima ajakkannya, tapi bila Intan mendesak, Awie akur juga. Awie tahu lepas ini kawan-kawannya pasti akan mentertawakan dirinya kerana bermain pondok-pondok bersama budak-budak perempuan. Tentu gelihati mereka melihat Awie bermain pondok-pondok dengan Intan, Yati, Watie, Amalina dan Nana.

Awie sememang tahu sangat perangai Intan, rakan sepermainan dia yang paling rapat sejak kecil lagi. Antara dia dan Intan, hanya dua tahun sahaja membezakan usia. Malah dia dan Intan berjiran, hanya sebelah rumah saja.

Bersekolah pun di sekolah yang sama. Intan dalam tahun satu, Awie di tahun tiga. Awielah yang selalu menemani dia ke sekolah. Pagi-pagi lagi dia akan tercongok di hadapan rumah Intan, dan kemudian bersama-sama berbasikal ke sekolah. Hinggalah waktu pergi mengaji Al Quran di surau pada waktu malam, dia jugalah yang akan menemani Intan. Begitulah rapatnya dia dengan Intan. Malah ada masanya kadang-kadang dia juga menemani Intan menghantar kuih-kuih yang ibu Intan buat ke kedai makan tepi simpang jalan besar untuk dijual.

“Kau minta buah pisang dahlah. Kat kebun Mak Cik Leha banyak. Boleh aku pergi ambilkan.” Ujar Awie semula.

Dilihatnya Intan hanya diam. Mukanya mencebek. Dia berlari-lari anak menuju ke rumah pondok-pondok mereka. Dia tahu Intan merajuk. Perasaan Awie serba salah. Pasti selepas ini Intan tak akan menegur dia lagi. Dia tahu sangat, kalau mereka bergaduh, dua tiga hari Intan tak akan menegur dia.

“Oklah. Ni ambil ni, Jaga lastik aku ni” Akhirnya Awie bersetuju juga. Lastik yang sering digunakan untuk melastik burung-burung di dalam hutan kecil di hujung kampung itu diserahkan kepada Intan.

“Terima kasih Abang Awie.” Sahut Intan kembali tersenyum sambil menerima lastik kayu Awie. Lastik kayu yang dibuat dari dahan pokok jambu laut itu dipegang erat. Banyak burung-burung hutan telah menjadi mangsa bedikan lastik Awie, malah kadang-kadang anak-anak ayam orang kampung juga turut sama menjadi korban lastik Awie.

“Ambil ni, bunga loceng kuning untuk Abang Awie, Intan petik dari pokok tepi tebing sungai tu. Abang Awie pakailah bila panjat pokok nanti.” Sekuntum bunga loceng kuning bertukar dari tangan Intan ke tangan Awie. Perasaan Awie kembali berbunga-bunga.

Awie mula memanjat pokok mangga tua itu. Mudah sahaja bagi Awie. Sekejap sahaja dia sudah sampai di pertengahan pokok mangga itu. Beberapa ekor kerengga mula merayap di kakinya. Awie segera menepis dengan tangannya. Sebelah tangannya dia terus berpaut dengan dahan-dahan pokok itu. Awie sudah hampir ke puncak pokok mangga. Dia perhatikan lagi, buah-buah mangga yang telah masak terletak di hujung dahan-dahan yang bercabang-cabang itu. Agak sukar juga untuk mencapainya. Namun Awie bertekad juga untuk mencari buah mangga yang masak sahaja untuk Intan. Dari atas pokok itu Awie nampak Intan dan rakan-rakannya yang lain mendongak memandang ke arah dia. Dari puncak itu, dilihatnya wajah intan begitu comel sekali.

Dengan berhati-hati Awie melangkah antara dahan ke dahan. Sekuntum bunga loceng kuning kini masih digenggam diantara celah jejarinya. Sesekali dirasakan dahan-dahan pokok bergoyang-goyang ditiup angin. Kini, Awie telah hampir pada buah mangga berkenaan. Lega rasa hatinya. Dihulur tangan kanannya untuk mengapai buah itu. Tangannya memegang buah itu. Mudah saja dipulas, buah itu sudah di tangannya. Dia berundur kebelakang untuk balik ke dahan asal yang lebih kukuh.

Entah dari mana, tiba-tiba beberapa ekor lebah datang menyerangnya. Kepalanya mula disengat dengan lebah-lebah berkenaan. Begitu pedih rasanya. Sakit tak terkira. Dia cuba menepis serangan lebah-lebah itu yang datang kiri dan kanan. Dalam keadaan cuba menepis serangan lebah itu, tangannya kirinya terlepas pegangan pada dahan. Dahan pokok mangga itu bergegar kuat. Badannya terhoyong-hayang, imbangannya hilang, pegangannya terlepas lalu dia jatuh menghujam ke atas dahan-dahan pokok mangga dan terus ke bawah menyembam bumi.


“Dumbbb…..!”

“Abang Awieee..!!!!" Jerit Intan terus menerkam ke arah Awie yang terbujur kaku dengan muka tersembam ke tanah.


Awie mengangkat sedikit mukanya. Terasa sakit yang amat. Pandangannya kelabu. Badannya kaku terkujur, tidak dapat digerakkan. Sekuntum bunga loceng kuning dan sebiji buah mangga untuk Intan masih tergenggam di tangannya. Matanya dipejamkan sambil menahan sakit di seluruh badannya.


Intan, Yati dan rakan-rakan yang lain segera mengerumuni Awie. Awie kaku tidak bergerak. Tangannya terlipat sedikit, ada garis-garis luka di situ. Bajunya koyak. Ada tompok-tompok darah di kepala Awie.

“Abang Awie! Abang Awie! Bangunlah, bangunlah Abang Awie!”

Rayu Intan sambil mengerak-gerakkan badan Awie. Kepala Awie diangkat lalu dipangkunya. Dalam kesakitan begitu, perlahan-lahan Awie membuka sedikit matanya. Dilihat air mata Intan mula mengalir keluar. Intan menangis. Tentu Intan takut dan kasihan melihat dirinya begitu. Masih Awie mampu senyum seakan kasih sayang Intan terlihat dimatanya. Tiba-tiba ada darah yang mengalir deras dari hidung, telinga dan mulut Awie. Pandangannya kelam.

“Ayahhhhh!!!!! Makkk!!!!!!! Abang Awie jatuh pokok! Abang Awie pengsan!!!” Jerit Intan dalam esakan.



****

Pokok mangga tua di tebing sungai itu sudah tiada. Telah lama di tebang. Di situ, sebuah jambatan konkrik telah dibina untuk kemudahan orang-orang kampung berulang-alik ke bandar berdekatan. Malah untuk ke pekan berhampiran juga sudah jadi begitu dekat, hanya sepuluh minit sahaja sudah sampai. Kalau dulu mahu ke bandar mengikut jalan darat sahaja memakan masa satu jam. Kalau menggunakan sampan penambang sekali pun memerlukan tiga puluh minit untuk sampai ke seberang.

“Intan, ada jejaka misteri bagi kau bunga ni. Bunga loceng kuning. Ambillah, dan dia kata I Love you! Hahahaha!!“ Ujar Yati dengan senyum tersipu-sipu. Dia menghulur seikat bunga loceng kuning yang dibalut dengan riben merah.

“Siapa?” Intan tertanya-tanya.

“Adalah!” Ada senyuman di wajah Yati bagai menyembunyikan sesuatu yang lucu. Yati, kawan baik Intan sejak kecil. Kawan yang sama-sama bermain pondok-pondok. Kecil molek sahaja orangnya. Berkulit kuning langsat. Seorang yang periang. Turut berkongsi suka duka hidup Intan.

Lucu juga bila Yati ingatkan bagaimana pemuda itu menyuruhnya menyerahkan seikat bunga loceng kuning itu kepada Intan. Bunga loceng itu, diambil dari pohon bunga loceng yang tumbuh meliar di tepi jalan masuk ke kampung. Kata pemuda itu lagi, susah nak jumpa Intan sekarang. Memang kebelakangan ini, sejak berkerja di Kuala Lumpur, Intan sudah jarang pulang ke kampung. Kalau dulu sebulan sekali, kini empat bulan sekali pun susah. Maklumlah sejak menjawat jawatan sebagai pengurus sebuah syarikat di Kuala Lumpur, Intan sememang sentiasa sibuk dengan kerjanya.

“Abang Awie! Hahahaha!” Yati ketawa besar semacam ada sesuatu yang mengelikan sebaik menyebut nama Abang Awie.

“Tak ada jejaka lain ke kampung ni. Asyik abang Awie je.!” Kata Intan sambil menerima seikat bunga loceng kuning itu. Bunga itu diciumnya.

Intan tersenyum. Lesung pipit dipipinya kemerah-merahan, menyerlahkan keayuan wajahnya. Intan bukan lagi gadis kampung yang comot seperti dulu. Gaya kehidupan di Kuala Lumpur menjadikan penampilan dia agak berbeza dengan gadis kampung yang lain.

Intan terbayangkan wajah Abang Awie, rakan sepermainan sejak kecil lagi. selain Yati. Abang Awielah rakannya yang sentiasa bersamanya. Malah sebahagian hidupnya dari kecil hinga memasuki sekolah menengah adalah bersama Abang Awie. Walaupun selepas itu dia melanjutkan pelajaran hingga ke universiti, Abang Awie yang gagal dalam SPM, masih tetap menjadi kawannya yang paling setia. Setiap kali pulang bercuti semester, Abang Awie dengan motosikal buruk ayahnya, pasti akan tercongok menanti di stesyen bas pekan. Sehinggalah dia berkerja di Kuala Lumpur pun, hubungannya dengan Abang Awie tidak pernah putus walau pun sudah agak jarang berjumpa. Intan tetap juga tidak pernah lupa membelikan buah tangan untuk Abang Awie setiap kali pulang ke kampung.


Dia sebenarnya masih keliru dengan perasaannya terhadap Abang Awie. Cinta? Kasihan? Kawan? Abang angkat? Jiran? Entahlah! Dia sendiri ragu-ragu dengan perasaannya kepada Abang Awie, tapi dia memang sukakan abang Awie.


Sayangnya Abang Awie bukanlah seperti pemuda kampung yang lain. Dia kini hanya seorang pemuda naïf yang sering dijadikan mainan oleh orang kampung kerana sikap lurus bendul dan bodoh-bodoh alangnya. Penampilan Abang Awie pada matanya sederhana sahaja, kadang-kadang selekeh juga. Kekadang terasa malu juga berjalan bersama Abang Awie. Pernah Abang Awie datang menemuinya di Kuala Lumpur dengan hanya berbaju T-shirt lama, seluar jean koyak dan berselipar sahaja.


Dia tak mampu nak salahkan Abang Awie. Semuanya berlaku kerana dirinya juga. Semua orang kampung tahu, apa yang berlaku pada Awie adalah kerana dia. Peristiwa Awie jatuh dari pokok mangga tua di tebing sungai hujung kampung 17 tahun dulu, telah merubah hidup Awie menjadi seperti hari ini.


Hampir enam bulan Awie koma akibat kecederaan di kepala. Setelah Awie sedar dari koma, Awie tidak lagi seperti Awie yang dikenali oleh orang kampung. Segalanya berubah, Awie menjadi seperti seorang yang bodoh-bodoh alang. Taraf daya fikir Abang Awie agak rendah. Semuanya itu berlaku kerana mengikut kehendak dia yang ingin memakan buah mangga pokok tua itu.

Malah kerana itu jugalah ibu dan ayah Intan telah berjanji kepada Ibu dan ayah Awie yang bila dewasa nanti, Intan akan dikahwinkan dengan Awie untuk menebus dosa-dosa Intan yang telah menyebabkan Awie menjadi sebegitu.

“Aku dengar, abang kau nak jodohkan kau dengan Abang Awie. Betul ke?” Tanya Yati memohon pengesahan Intan.

Intan tahu, Yati cuma mahu kepastian samada berita-berita yang didengar kebelakangan ini benar. Intan tahu, Yati kasihan dan simpati kepadanya. Gadis secantik Intan akan dinikahkan dengan seorang pemuda kampung yang bodoh-bodoh alang.

“Benar.” Jawab Intan ringkas sahaja.

“Intan, kau dah fikir panjang. Kau masih ada masa untuk berterus terang dengan keluarga Abang Awie. Ramai lagi lelaki yang lebih sempurna di luar sana yang boleh kau ambil sebagai teman hidup kau!” Ujar Yati memintanya memikirkan semula keputusannya.

Intan diam. Memang kalau difikirkan sedalamnya memang susah untuk dia menerima Abang Awie dalam keadaan begitu sebagai teman hidupnya. Bukan tiada lelaki yang menyatakan minat kepadanya, tapi semuanya ditolak. Intan masih lagi rasa bersalah setiap kali teringat Abang Awie.

Amanat ibu dan ayahnya masih tetap dipegang walaupun keduanya telah kembali ke ramatullah. Abang Intan juga pernah berkata kepadanya, sebagai orang islam kita harus menunaikan janji.

“Abang Awie baik. Dia tak pernah sakitkan hati aku,Yati. Sejak dari kecil lagi, apa sahaja kemahuan aku pasti dia akan cuba memenuhi. Di universiti dulu pun, tanpa pengetahuan ibu dan ayah aku, Abang Awie banyak membantu dari segi kewangan. Tak ada siapa pun yang tahu. Nak harap duit pinjaman PTPTN tu berapalah sangat. Ibu dan ayah bukan mampu sangat. Adik-adik aku yang lain pun perlu juga dibiayai persekolahan mereka. Aku tak tergamak lukakan hati Abang Awie” Jelas Intan, tergambar kesedihan di wajahnya.


“Sebab aku jugalah dia jadi begitu!" tambah Intan. Dalam hati, dia berkata, kalau Abang Awie sanggup berkorban hidupnya, kenapa aku tidak boleh berkorban untuk Abang Awie? Lagi pun Abang Awie bukan gila, bukan terencat akal. Dia cuma agak lurus sahaja dan cara berfikirnya sahaja yang agak lemah.



****


Dia merenung jauh ke langit malam. Melihat bulan dan bintang yang saling berkasihan, bermesra dan bergandingan terpamir dalam satu susunan bentuk buruj sang kambing biri-biri betina. Indahnya malam anugerah tuhan. Betapa kerdilnya dia berbanding luasnya alam semesta. Sesekali terasa hembusan angin menerjah dari tingkap yang dibiarkan sedikit menghembus lembut ke wajahnya. Malam turut berhias dengan suara riang sang cengkerik yang bersahutan menyanyikan lagu-lagu yang tidak difahaminya. Alam sekeliling tenang. Namun ketenangan itu tidak singgah di hatinya.


Wajah Hadi muncul di benaknya. Kehadiran lelaki ini dalam hidupnya membuat dia serba salah. Membandingkan antara Hadi dengan Abang Awie tentulah tidak wajar sama sekali. Hadi seorang jurutera, anak kelahiran Kuala Lumpur. Anak seorang Datuk yang mempunyai rangkaian perniagaan yang besar di seluruh Negara. Orangnya kacak dan bergaya. Budi bahasanya pun baik tidak seperti anak-anak orang kaya yang lain. Sedangkan Abang Awie hanyalah pemuda kampung yang kerja sehariannya hanyalah menjaga kebun kelapa sawit, ternakan lembu dan kambing ayahnya. Satu perbandingan yang tidak adil.


Dia tidak tahu kenapa Hadi begitu mengingininya. Sedangkan ramai gadis cantik-cantik yang tergila-gilakannya, tapi Hadi masih juga memilih dia seorang gadis kampung. Malah Hadi telah berberapa kali menyatakan hasratnya untuk melamar Intan sebagai isterinya. Cuma Intan sahaja yang meminta diberikan masa untuk berfikir.


Pening kepalanya memikirkan hal itu. Antara cinta, janji, kasihan dan amanat arwah kedua-dua ibu bapanya, dia tersepit di tengah-tengah. Dia ingin sahaja lari dari masalah ini tapi sampai bila. Di Kuala Lumpur, Hadi menantinya, di kampung pula Abang Awie setia menunggunya.


Kehadiran kedua ibu dan bapa Abang Awie petang tadi lebih mengusutkan fikirannya. Kedua ibu dan bapa Awie datang meminta kepastiannya, tetapi tidak pun memaksa dia. Terlalu baik kedua orang ibu dan bapa Abang Awie terhadapnya.


“Intan, pakcik dan makcik tak pernah paksa kau untuk menerima Awie. Pakcik tahu, Awie tak seperti lelaki lain. Kau buatlah keputusan kau sendiri tanpa dipengaruhi oleh sesiapa. Pakcik nasihat kau beristikarahlah kepada Allah Taala, moga diberikan jawapan. Kami terima sahaja apa keputusan yang Intan buat.” Ujar Pak Cik Rahmat, ayah Awie, ada rasa simpati di wajahnya.


Sukarnya untuk Intan membuat keputusan. Antara Hadi dan Abang Awie. Kalau dia pilih Hadi, bagaimana nanti perasan keluarga Abang Awie dan apa pula kata orang-orang kampung. Kalau dia pilih Abang Awie, apakah dia benar-benar mencintainya, atau hanya kerana kasihan? Dia tidak mampu membuat kesilapan. Ini adalah masa depannya sendiri. Kalau tersilap dia akan menyesal akhirnya.


Dia memutuskan untuk menyerahkan segalanya kepada Maha Pencipta. Dicapai tuala yang tersangkut di dinding, lalu meluru keluar ke bilik air. Segera diputarkan kepala paip hingga air di dalamnya segera keluar, deras dan dingin. Dimulakan dengan bismillah, lalu dipasangkan niat, air yang sedia tercurah disapukan ke muka, kemudian satu persatu pulak diratakan air ke seluruh anggota wuduknya yang lain.


Selepas berwuduk, sejadah dihamparkan. Telekung putih bersih yang tersidai di penjuru katilnya segera dipakai. Dia ingin segera sujud dan memohon kepadaNya agar diberikan jawapan. Dia mahu menjadi seorang hamba yang redha dengan takdir. Takbir memuji kebesaran Allah dilafazkan. Dia mahu berbicara sepuas-puasnya dengan Maha Pencipta.



****


Walaupun pagi tadinya hujan telah turun agak lebat juga, namun telah reda menjelang tengahari. Majlis walimatulurus itu dapat dijalankan seperti yang dirancangkan. Ramai orang-orang kampung datang membantu. Adat di kampung sememangnya begitu, setiap majlis yang diadakan pasti ramai anggota kampung akan turut bersama membantu. Ada yang membantu memasak hidangan, ada yang menjadi tukang penanggah. Ada yang menjadi tukang bancuh air minuman. Malah setiap orang tahu mengambil bahagian masing-masing tanpa perlu disuruh. Kerjasama sebegini banyak meringan beban tuan rumah.


Bau masakan nasi minyak dan lauk-pauknya begitu menyelerakan. Haruman masakan yang membuat perut kenyang kembali lapar. Kanak-kanak riang bermain-main. Ada yang berkejaran ke sana ke mari. Anak-anak muda yang lain pula sibuk berkaraoke, menyanyikan lagu kegemaran masa kini. Sesekali dicelah juga oleh golongan yang agar berumur, apa lagi selain dari lagu-lagu enam puluhan. Nampaknya lagu dendangan S Jibeng,” Inai di jari” dan L Ramlee, Ayahku kahwin lagi” menjadi pilihan utama.


Tetamu yang datang tak pernah surut, malah silih berganti. Semuanya yang datang berpakaian indah. Tetamu lelaki, ada yang berbaju batik, ada yang berbaju melayu. Yang wanita berbaju kurung dan kebaya. Padang di hadapan rumah pengantin sesak dengan kenderaan tetamu. Tiga khemah makan yang boleh menampung 100 jemputan serentak tidak mencukupi, hingga ada yang terpaksa berdiri menunggu giliran. Masing-masing sabar, tiada yang merungut. Majlis walimatulurus ini bagaikan pesta keramaian bagi seluruh penduduk kampung.


Dari kejauhan kedengaran bunyi kompang dipalu, petanda pengantin lelaki telah tiba. Mak Andam segera membawa pengantin perempuan turun dari rumah hingga ke hujung laman. Ketibaan pengantin lelaki disambut dengan balingan bunga rampai. Sesaat mempelai bertentangan mata, bunga manggar yang mengiringi pengantin lelaki menjadi rebutan kanak-kanak baik lelaki mahupun yang perempuan, berebut bertarik-tarik menambah keriuhan suasana.


Intan tersenyum gembira sepanjang majlis berlangsung. Hari ini adalah paling bahagia dan istimewa bagi dirinya. Hari ini adalah kemuncak kepada impian paling tinggi dalam hidup setiap gadis, bersanding di pelaminan bersama lelaki yang dicintai. Hari ini lelaki yang Intan cintai telah menjadi suaminya yang sah. Terlerai sudah segala keresahan yang ditanggung selama ini.


Dengan berpakaian songket hijau sedondong, pasangan ini berarak perlahan bergandingan tangan menuju ke pelamin. Bunga rampai ditabur. Bunyi kompang menyanyikan lagu “Pengantin Tiba” bergema mengiring sepasang mempelai.



****

Air sungai itu mengalir deras, menghempas batu-batu sungai yang bertaburan di situ. Hempasan itu menghasilkan arus yang deras, malah bunyi deruannya juga memecahkan keheningan petang. Hujan lebat pagi tadi menjadikan air sungai yang selalunya jernih itu keruh sekeruhnya. Segala ranting Pokok patah, sampah-sampah turut terhanyut sama laju menuju ke muara sungai. Berbeza sekali aliran sungai hari ini berbanding dengan hari sebelumnya jernih dan tenang.


Di tebing sungai ini, dahulu dia pernah bermain pondok-pondok. Di sini jugalah dahulu tertegak sepohon pokok mangga tua yang menjadi saksi sejarah dukanya. Kini pokok mangga tua itu telah tiada. Seperti juga cintanya yang telah tiada. Di sinilah dia selalu berada bila rindu itu datang menyapa.


Awie terus melayan perasaannya keseorangan. Di sinilah, di tebing sungai ini yang airnya mengalir deras, di bawah sepohon pokok mangga tua, suatu waktu dahulu pernah terbina sebuah janji, sebuah cinta dan sebuah pondok-pondok dari pelepah-pelepah kelapa kering.




3 comments:

  1. apesal cite2 dlm blog ni x hbs?

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana sudi singgah.

    Cerpen dalam ni sengaja biarkan pembaca sendiri yang cari jawaban.

    ReplyDelete