Angin laut yang terus berbisik di Teluk Bidara ini adalah bicara tentang kehidupanku. Di sinilah sewaktu kecil, aku lelah bermain-main mengejar ombak dan anak-anak ketam yang sedang berlarian di pasir pantai. Di sini jugalah, aku akan terus berbicara tanpa jemu tentang laut, ikan, sotong, udang, si camar, terumbu karang, ombak badai, gelombang laut, sang helang berdada merah dan tentang segunung harapan di hatiku. Di pantai Teluk Bidara inilah angin dari Laut China Selatan akan terus berbisik tanpa henti. - Upenyu

Sunday, August 7, 2011

Senyuman Terindah Dari Tuhan..



Petang Sabtu yang lalu, sebelum pulang ke rumah, saya singgah sebentar di sebuah medan selera untuk membeli juadah untuk berbuka puasa. Mungkin masih terlalu awal, suasana di situ lenggang sahaja.

Sedang mata saya melilau-lilau untuk memilih juadah, tidak semena-mena mata saya bertemu dengan mata seorang gadis kecil berkulit putih dengan rambut ikal, mungkin berumur dalam lingkungan usia 6 tahun yang sedang duduk di sebuah kerusi tidak jauh dari meja jualan. Kami bagaikan saling berpandangan, tiba-tiba gadis kecil itu memberikan senyuman kepada saya. Tidak tahu kenapa, saya tiba-tiba merasakan senyuman itu begitu istimewa, begitu indah dan begitu manis sekali. Senyuman yang terlahir dari keikhlasan.

Namun sempat saya menjeling pandang ke belakang, takut-takut senyuman itu bukan untuk saya tetapi orang di belakang. Tiada siapa di belakang saya, saya memandang kembali kepada gadis kecil itu, senyumannya masih tidak lekang. Saya lemparkan balik senyuman kepada gadis kecil itu.

Gadis kecil itu tiba-tiba bangun dari tempat duduknya dan perlahan menuju ke arah saya. Dia betul-betul berdiri di depan saya. Sambil matanya memandang saya, dia kemudian berkata dengan suara keanakkannya, “Pakcik, terima kasih bawa kawan saya pergi klinik!”

Saya terdiam sejenak sambil cuba memahami maksud gadis kecil ini. Ingatan saya kembali kepada apa yang berlaku sebulan yang lalu sewaktu sedang makan di medan selera ini. Seorang budak lelaki dalam usia 5 tahun terjatuh ke dalam longkang berhampiran. Tangisan kuat kanak-kanak lelaki itu kemudian diikuti oleh teriakan seorang perempuan indonesia yang berkerja sebagai pembantu gerai di situ mengejutkan semua orang. Baru saya perasan ada seorang budak perempuan yang turut sama bermain dengan budak lelaki itu sebelumnya.

Semua mata yang berada di situ memandang kepada ibu malang yang sedang mendukung budak lelaki tadi. Memang jelas nampak darah mengalir dari kepala budak lelaki berkenaan. Si Ibu semakin histeria, bila tangisan anaknya semakin kuat. Masing-masing yang berada di situ seperti terpaku dan hanya memandang. Tiada siapa yang menawarkan pertolongan. Isteri saya yang duduk disebelah saya, tiba-tiba memegang tangan saya, sambil meminta saya membantu ibu muda yang mulai panik itu bila darah terus mengalir dari celah jari-jarinya sedang memegang kepala anaknya.



Saya bingkas bangun mencapai kunci kereta kemudian mendekati ibu berkenaan dan menawarkan diri untuk membawanya ke klinik. Semasa memasuki kereta, ibu ini agak keberatan kerana bimbang titisan darah dari luka di kepala anaknya akan menitis di tempat duduk. Saya tak mengedahkan ucapan dia, sebaliknya hanya menyuruh dia masuk ke dalam kereta untuk dihantar ke klinik.

Di dalam kereta, ibu ini berulang kali meminta dihantar pulang ke rumah sahaja untuk diubatinya sendiri alasan di tidak punya wang untuk membayar duit klinik. Saya mendiamkan diri sahaja, tak mengendahkan permintaan si ibu meminta dihantar pulang.

“Pak, saya nggak punya uang untuk bayar ongkos kliniknya. Hantar sahaja saya pulang ke rumah.”

Saya tak menjawab, sebaliknya terus sahaja memandu menuju ke klinik yang berhampiran. Di klinik, si ibu dan anak terus sahaja dibawa ke bilik rawatan. Sewaktu mendaftar mamsuk nama anak kecil itu saya letakkan nama anak saya, memang tidak teringat langsung untuk bertanyakan nama si anak, juga nama si ibu.

Saya menunggu di luar, serba salah juga untuk meninggalkan si ibu begitu sahaja, tapi dalam masa yang sama isteri sedang menunggu di medan selera. Saya ambil keputusan menunggu sehingga si ibu keluar.

Setengah jam berlalu, segalanya selesai, si ibu itu keluar dari bilik rawatan sambil mendukung anak yang keletihan. Sepuluh jahitan di kepala anak kecil itu. Si ibu memandang saya dengan serba salah. Saya memahami kegelisahan ibu itu lalu saya berkata semuanya telah diselesaikan.

“Hanya Allah yang mampu membalas..” Kata si ibu.

Megingatkanya kembali, saya merasakan Allah telah membalasnya. Benar, saya memperolehi senyuman manis gadis kecil itu saya rasa begitu istimewa sekali. Seolah ada satu perasaan yang agak lapang yang sukar digambarkan waktu itu. Terasa begitu dihargai biarkan pun hanya oleh seorang gadis kecil. Senyuman yang penuh dengan keihlasan terpancar jelas. . Perasaan yang sukar digambarkan bila seorang gadis kecil melemparkan senyuman kepada anda, senyuman terindah dari tuhan.

Mudah-mudahan ianya dari Tuhan

1 comment:

  1. alhamdulillah...... semuanya atas kehendak dan ketentuan Allah... ikhlaskan saja

    ReplyDelete