Angin laut yang terus berbisik di Teluk Bidara ini adalah bicara tentang kehidupanku. Di sinilah sewaktu kecil, aku lelah bermain-main mengejar ombak dan anak-anak ketam yang sedang berlarian di pasir pantai. Di sini jugalah, aku akan terus berbicara tanpa jemu tentang laut, ikan, sotong, udang, si camar, terumbu karang, ombak badai, gelombang laut, sang helang berdada merah dan tentang segunung harapan di hatiku. Di pantai Teluk Bidara inilah angin dari Laut China Selatan akan terus berbisik tanpa henti. - Upenyu

Thursday, July 9, 2009

Cerpen : Perempuan itu memang ingin pulang



Hujan turun begitu lebat sekali, mencurah-curah membasahi permukaan jalanraya. Titik-titik hujan yang turun begitu deras menerjah ke cermin keretanya menghasilkan bunyi yang agak menganggu tumpuannya. Pohon-pohon di tepi jalan jelas bergoyang-goyang ditiup angin. Sesekali kilat sambar menyambar. Kabus tebal menghalang jarak pandangannya.Tiada lampu jalan sepanjang dia melalui jalan itu. Hanya cahaya dari lampu keretanya sendiri sahaja membantu pemanduannya.

Jam digital di keretanya menunjukan pukul dua belas lima minit malam. Sistem pendingin keretanya telah diturunkan ketahap minimun, itu pun kedinginan masih tetap terasa. Kereta dipandunya perlahan dan berhati-hati. Dia bimbang juga untuk memandu laju dalam keadaan cuaca begini. Mungkin ada pokok tumbang di atas jalan atau air naik melimpahi jalan, fikir Johari.

Telah hampir setahun Johari tidak pulang ke kampung. Rindu terasa bila mengenangkan ibu dan ayahnya berdua sahaja yang masih di kampung. Manakala kakak dan abang-abangnya yang lain telah lama berhijrah ke bandar. Kali terakhir dia pulang pada Aidil Fitri yang lalu. Sejak menjawat jawatan pengurus selia projek di sebuah syarikat pemaju perumahan dia agak sibuk memantau projek-projek perumahan di beberapa buah negeri di utara. Ini pun dia pulang kerana ibunya yang seakan merajuk kerana telah lama dia tidak menjenguk mereka di kampung.

Radio di keretanya sedang memainkan lagu-lagu tahun 60 an. Dia cukup terhibur mengengar lagu-lagu itu yang menjadi temannya sepanjang perjalanan pulang ke kampong. Walau pun umurnya baru mencecah 28 tahun, dia begitu meminati lagu-lagu 60 an. Agaknya kerana sering mencuri dengar ayah memasang lagu-lagu 60 an ketika dia balik bercuti. Dia tersenyum sendiri bila membayang bagaimana ayah mengoyangkan badannya yang agak tinggi dan gempal itu mengikuti rentak lagu-lagu 60 an.

Terlihat papan tanda menunjukan Tanjung Karang, dia tahu hanya tinggal 20 kilometer sahaja untuk sampai ke rumahnya. Di kiri dan kanan jalan semuanya masih hutan. Hanya sesekali sahaja dia berseilih dengan kereta yang datang dari arah bertentangan. Laluan ke Tanjung Karang melalui Rawang dan terus ke Ijuk agak sunyi pada waktu malam.

Dalam keadaan jalanraya yang sunyi sepi dan gelap gelita dia terpandang sebuah kereta ditepi jalan. Lampu belakang kereta itu menyala. Tiba-tiba dia terlihat satu susuk badan yang keluar dari kereta dan terus melambai kepadanya. Dia telah sedikit kehadapan melepasi kereta itu. Segera dia memperlahankan keretanya sambil memandang melalui cermin pandang belakang, dalam kegelapan itu samar-samar dilihatnya seorang perempuan berbaju kurung berwarna cerah melambai kepadanya. Payung yang dipegangnya terbuai-buai ditiup angin.

Walau pun merasa agak cuak juga malammalam sebegini, dia segera memberhenti keretanya. Kasihan melihat perempuan itu yang berlari-lari anak di dalam hujan menuju ke arah keretanya. Pasti kereta perempuan itu rosak. Memang malam-malam begini tidak banyak kenderaan yang melalui kawasan ini. Kalau ada pun tidak ramai yang mahu berhenti menolong.

Wanita berbaju kurung itu menghampirinya sambil membongkokkan badannya mengetuk cermin kereta. Dalam kegelapan itu, masih dapat dilihat perempuan itu kebasahan. Mukanya ternampak pucat sahaja. Usianya mungkin dalam lingkungan awal tiga puluhan. Badan perempuan itu mengigil menahan kesejukan.

Dia menurunkan sedikit cermin keretanya. Tempias hujan mula masuk menerjah ke dalam kereta. Mukanya Johari yang agak berisi itu mula dibasahi air hujan.

”Maaf Encik. Saya nak minta tolong. Kereta saya rosak. Boleh tumpangkan saya sampai ke kampong Terung. Dah tak jauh dari sini.” kata wanita berkenaan.

Dia curi-curi merenung wajah wanita itu. Rasanya macam dia kenal perempuan itu. Walaupun telah lama meninggalkan kampungnya dan jarang-jarang balik, rasanya dia kenal perempuan itu.

”Saudari ni, Fatimahkan? Anak Hj Kassim? Masuklah.” Johari segera membukakan pintu kereta sambil menjemput perempuan itu masuk kereta.

”Ya, saya Fatimah. Mak sakit petang tadi. Itu yang saya pulang juga ke kampong malam-malam macam ni, tapi kereta tu buat hal pulak.” Balas perempuan itu perlahan lalu masuk ke kereta sambil memeluk dirinya menahan kesejukan. Ada keharuman bunga melur mengiringi perempuan itu.

Johari menjeling sedikit ke arah perempuan. Kasihan dia melihat perempuan itu mengigil kesejukan. Dia kebasahan. Walau pun begitu kecantikannya tetap terserlah. Kulitnya yang putih dan rambutnya yang basah lenjun itu panjang mencecah ke bahu.

Johari menghulurkan tangannya ke tempat duduk belakang sambil teraba-raba mencari sesuatu.

”Ambillah kain pelikat saya ni. Awak kesejukan tu. Balut badan awak dengan kain pelikat ni.”
Dihulurkan kain pelikat yang terlipat rapi kepada Fatimah. Kain pelikat berwarna kehijauan bercampur putih sentiasa ada didalam keretanya, digunakan untuk sembahyang apabila pergi bertugas di luar kawasan.

Fatimah menyambut huluran kain pelekat itu. Segera dibuka lipatannya dan dibalut ke badannya.

”Terima kasih kerana pinjamkan kain pelikat ini.” Ujar perempuan tersenyum memandangnya.

Dia teringat kisah Fatimah sepuluh tahun dulu. Satu kampung kecoh apabila Fatimah tiba-tiba sahaja hilang dari kampung. Hanya sekeping nota sahaja yang dtinggalkan. Nota itu bertulis meminta ayah dan ibunya tidak mencarinya lagi. Dia ke Kuala Lumpur bersama teman lelaki yang dicintainya. Puas ayah dan ibunya berusaha mencarinya ke merata-rata tempat hingga sampai ke Kuala Lumpur tapi gagal. Sejak itu tiada lagi berita tentang Fatimah. Kehilangan itu benar-benar mengecewakan dan memalukan keluarga Fatimah terutama ayahnya Tuan Hj Kassim, yang merupakan imam masjid Kampung Terung.

Perempuan di sebelahnya itu hanya diam sahaja. Tiba-tiba dia terdengar perempuan itu menangis teresak-esak. Dijeling semula perempuan itu. Perempuan itu sedari tadi hanya tunduk kebawah, rambutnya terhurai menutupi sebahagian wajahnya. Johari menjadi serba salah.

”Kenapa awak menangis?” Soal Johari memecah kesunyian sambil menjeling ke arah perempuan itu.

Disedari sejak perempuan itu mula masuk ke kereta, ada bau yang harum seumpama bauan bunga kemboja di dalam keretanya. Sesekali bau itu agak kuat dan kekadang hanya sedikit baunya. Dia sengaja buat tidak peduli sahaja.

”Saya rindu, rindu ibu dan ayah. Saya ingin kembali kepada mereka memohon memaafan atas sikap saya dahulu. Awak tahukan cerita saya!” Perlahan sahaja suara perempuan persis berbisik dalam esak tangisnya.

Johari mengangguk dan terus hanya mendiamkan diri. Di luar kereta, hujan masih terus lebat, diikuti oleh petir berdentuman, kilat sambar meyambar memancar hingga kawasan disekitarnya menjadi terang seketika. Pokok-pokok bergoyang-goyang ditiup angin. Sesakali dirasakan petir itu berdentum terlalu hampir dengan keretanya.

”Jantan tu memang celaka!!. Dia jual aku pada tokey-tokey cina tu. Dia jadikan aku pelacur!!! Kerana cinta aku turut kehendaknya walau dihalang oleh ibu dan ayah. Sekarang aku sungguh menyesal!” Getus perempuan itu bagaikan gunung berapi yang tiba-tiba meledakan laharnya.

”Tapi... itu salah aku juga. Aku tinggalkan ayah, aku tinggalkan ibu, aku tinggalkan keluarga, aku tinggalkan kampung ini demi cinta. Demi cintaku kepada lelaki keparat tu.” Suara si perempuan itus perlahan dan teresak-esak. ”Dia mengkhianati ku. Dia mengkhianati cintaku. Aku bunuh kau, aku bunuh kau. Hahahaha!!”

Johari sedikit tersentak dan terkejut apabila perempuan itu seakan bertempik. Dia sedikit menoleh ke arah perempuan itu, wajah perempuan itu masih tidak terlihat. Wajahnya terlindung oleh rambut yang mengurai kebawah. Tumpuannya pada pemanduan sedikit tergugat.

Selang beberapa waktu perempuan itu kembali menangis. Johari agak sedikit risau terganggu dengan tingkahlaku perempuan itu. Sekejap dia menangis dan sekejap dia ketawa. Dihatinya mulai timbul kecurigaannya tentang perempuan itu. Rasa seram juga terasa di hati Johari. Keretanya dilajukan sedikit. Dia sedikit gugup.

”Aku dibawa ke merata-rata tempat. Aku diperdagangkan dari hotel ke hotel untuk dinikmati oleh lelaki-lelaki jahanam itu semua. Mereka mengawal aku setiap masa hingga tak dapat aku melarikan diri.” Sambung perempuan itu lagi.

”Semalam jantan sial itu membawa aku ke sebuah apartment di Port Dickson. Katanya malam nanti ada seorang Datuk akan melanggan aku. Selepas habis Datuk itu meratah tubuhku, jantan sial itu pulang dalam keadaan mabuk. Aku dibelasah sepuas-puasnya. Katanya Datuk itu tidak puas hati dengan layananku. Aku lari masuk ke dapur. Lalu ku capai sebilah pisau. Sebaik jantan sial itu masuk ke dapur, aku rodok perutnya dengan pisau itu. Aku rodok lagi dan rodok lagi. Darah jantan sial itu bersemburan hingga lantai dapur itu menjadi merah. Hahahaha!!!! Puas hati aku! Aku dah bunuh dia!!! Puas hati aku melihat dia bergelimpangan mampus!!!! Hahahah!!!!

Suasana kembali senyap. Johari bagaikan kehilangan kata-kata. Hanya terdengar esakan perempuan itu bertingkah dengan bunyi titik-titik hijun yang menerjah cermin kereta. Radio keretanya tidak lagi berbunyi. Dia sendiri tidak sedar sejak bila radio itu tidak berbunyi.

”Abang takut ye?” tanya si perempuan memalingkan mukanya ke arah Johari sambil mempamerkan senyumannya. Giginya yang putih tersusuh indah Rambut basahnya yang basah lenjun menutupi wajah diselak sedikit. Wajahnya pucat. Matanya kelihatan sedikit kemerahan merenung tepat ke arah Johari.

Johari kian cemas, bimbang perempuan itu melakukan sesuatu di luar kawalan. Dijeling lagi ke arah perempuan itu. Johari mula membayangkan perempuan itu tiba-tiba mencekik lehernya. Namun tidak ada reaksi yang luar biasa. Perempuan tetap menyandarkan badannya ke kerusi sambil wajahnya ditundukkan ke bawah.

”Aku berdosa kepada kedua ibu bapa aku. Tolong hantar saya kerumah ibubapa saya di Kampung Terung. Saya ingin memohon maaf atas perbuatan saya yang dulu tu Saya terlalu mengikut hati tanpa mendengar nasihat ibubapa.” Pinta perempuan itu lembut dan tiba-tiba kembali menangis teresak-esak.

Jantung Johari mula berdegup kuat. Hujan masih lebat tiada tanda-tanda berhenti. Johari pasti dia sudah hampir dengan kampung Terung. Sedari tadi dia membawa kereta itu agak laju hingga jarum meter kelajuan menunjuk ke angka 120 kilo meter se jam. Dia ingin segera sampai. Ketakutan mula menjalar di hatinya, apabila perempuan itu mula kembali ketawa.

”Aku ambil kunci kereta jantan sial tu dan segera lari. Aku memandu kereta menuju ke kampung ini. Rupanya jantan-jantan sial yang lain itu mengejar aku dari belakang. Sampai di tempat tadi, mereka berjaya memintas kereta aku. Mereka menangkap aku dan memukul aku teruk sekali. Kemudian aku diikat dan disumbat ke dalam bonet kereta. Kemudian mereka bakar kereta tu dan bakar aku juga hidup-hidup. Hahahahahahahahaha!!!” Perempuan itu tiba-tiba ketawa lagi seakan mengilai.

”Tapi... errr... aku tengok kau tak ada apa-apa pun. Kereta kau tadi pun aku tengok elok je. Tak ada kesan terbakar pun.” Ada getaran pada suara Johari. Bulu romanya mula meremang. Dia merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Tiba-tiba dia terbau bau seolah bau daging terbakar.

”Kau lihat aku ini! Kau lihat wajah dan badan aku yang terbakar ini! Sampai hati mereka bakar aku hidup-hidup!!!” Getus perempuan itu perlaha-lahan.

Johari berpaling ke arah perempuan itu. Ya Allah!! Wajah perempuan itu yang tadi begitu menawan, kini berubah menjadi kepingan daging-daging yang terbakar rentung dan kelihatan tulang-tulang putih tersembul. Perempuan itu mengilai dengan suara tangisan.

Johari benar-benar terkejut. Kakinya tak sedar terpijak pedal minyak dengan kuat. Kereta meluncur laju. Permukaan jalanraya yang licin itu menyebabkan dia tidak dapat mengawal keretanya lalu terbabas ke bahu jalan.

Dum!!! Segalanya senyap.


* * *


”Tok! Tok! Tok!”

Cermin kereta Johari di ketuk oleh seorang lelaki. Dia terjaga. Kepalanya sedikit pening. Badan terasa lesu yang amat. Segera pintu kereta dibuka.

”Ye! Ada apa pak cik?” Johari menyoal lelaki yang mengetuk keretanya tadi.

Lelaki tua itu tersenyum sambil mengelengkan kepala. Mulutnya terkumat-kamit seolah-olah membaca doa dan terus dihembuskan ke muka Johari.

”Anak tak ada apa? Sejak pukul 6 pagi tadi, waktu pakcik buka warung pakcik ni, pak cik lihat anak tidur di dalam kereta. Sekarang dah jam 9.00 pagi. Matahari dah pun memancar terik. Anak masih lagi tertidur. Jadi pak cik buat keputusan mengejutkan anak.” Jawab pak cik itu sambil tersenyum. Giginya agak jarang dan sedikit kekuningan. Ada kopiah buruk di kepalanya.

”Saya terbabas di sini semalam. Syukurlah. Saya rasa tak cedera apa-apa, Cuma agak lesu sedikit.” Jawab Johari sambil melangkah keluar dari kereta.

Johari berjalan mengelilingi keretanya, melihat kalau ada apa-apa kerosakan pada keretanya. Tiada! Hairan juga dia rasanya dia melanggar pokok-pokok kecil pasti ada kesan calar atau kemik. Namun tiada kerosakan yang ditemui dan kereta betul-betul berada di bahu jalan. Dia mengaru kepalanya yang tak gatal.

“Nak, usah rasa pelik. Rasanya pakcik tahu apa yang dah berlaku pada anak. Sudah lima pagi berturut-turut lima buah kereta telah tersadai di sini. Semua pemandunya lelaki dan semuanya selamat dan kereta mereka tidak mengalami apa-apa kerosakan. Semua mereka menceritakan perkara yang sama.” Jelas pakcik tadi. Wajah pakcik itu serius sahaja.

Johari kebinggungan dengan penjelasan pakcik itu. Dia memandang wajah pakcik itu dengan mata terkebil-kebil meminta penjelasan lanjut.

“Seorang perempuan menumpang anak semalam bukan?” Tanya pakcik itu.

”Benar.”

”Anak lihat di belakang sana tu. Ada bangkai sebuah kereta yang terbakar. Seorang perempuan tidak dikenali ditemui mati hangus didalamnya. Sehingga hari ini, identiti perempuan itu tidak dikenali.” Jelas pakcik itu bersungguh-sungguh.

Memang terdapat sebuah kereta terbakar tidak jauh dari keretanya. Dia ingat, kereta perempuan yang ditemui semalam juga berada disitu kerana dia ingat kerana terdapat papan tanda yang menunjukan arah ke Tanjung Karang. Cuma yang agak menghairankan Johari, dia merasakan bahwa telah memandu jauh dari kereta itu kerana jarum meternya keretanya mencecah 90 kilo meter sejam.

Tidak mungkin dia berhenti tidur di situ. Johari mengelengkan kepala. Tidak mungkin dia bermimpi kerana malam tadi matanya cukup segar dan dia ingin terus pulang kerumahnya yang terletak hanya dua puluh kilo meter sahaja lagi. Dia memang ingin terus pulang sahaja ke rumahnya dan segera berjumpa kedua orang tuanya.

Dia mengajak pakcik itu menuju ke bangkai kereta yang terbakar itu. Sebaik menghampiri kereta itu, bau daging terbakar masih lagi berbau. Dia menutup sedikit hidungnya dengan tangan lalu mendekati kereta. Dijenguk ke dalam kereta itu. Semua yang ada didalam kereta itu hangus terbakar, tiada yang tinggal.

Tiba-tiba matanya terpandang sehelai kain pelikat terlipat rapi di tempat duduk belakang. Dia pasti itu kain pelikatnya yang diberi kepada perempuan itu semalam. Segera dicapainya. Kain itu mengeluarkan bau bunga melor yang cukup harum, walaupun berada didalam kereta yang masih ada bau terbakar.

”Masyaallah, ini kain pelikat yang saya berikan kepada perempuan itu untuk membalut dirinya dari kesejukan.” Jelas Johari kepada pak cik itu sambil menghulurkan kepada pakcik itu.

”Subhanallah, Maha Suci Allah, tiada yang mustahil baginya! ” Pak cik itu menggangguk sambil beristirghfar. ”Mudah bagi Allah melakukan sesuatu yang mustahil bagi kita. Dunia dan alam ini mudah sahaja dijadikan Allah. Lihat langit yang tergantung di langit tanpa tali dan tiang. Semua itu mudah bagi Allah. Kun Faya Kun!”

Johari pasti, perempuan yang ditemui semalam adalah Fatimah, perempuan yang hilang dari kampung ini sepuluh tahun dulu. Dia mungkin ingin pulang ke pangkuan keluarga, tapi tidak tercapai kerana terlebih dahulu dibunuh oleh lelaki-lelaki jahanam itu. Dia dipilih mungkin kerana dia mengenali perempuan itu. Pasti roh perempuan itu mahu Johari memberitahu kepulangannya kepada keluarganya.

Dia masuk ke dalam keretanya, menghidupkan enjin keretanya lalu bergerak meninggalkan tempat itu. Johari ingin segera ke rumah pakcik Hj Kassim untuk memberitahu berita buruk ini. Pasti mereka sedang menanti kepulangan anak perempuannya. Biar keluarga itu tahu bahawa perempuan itu sememangnya ingin pulang kepangkuan keluarganya.

2 comments:

  1. bang sham, ade typo kat nama johari.

    citer seram yg best! cume tak cukup seram..hehe

    (ke sbb bot baca skip2 ayat, sbb nak elak rs takut nak gi bilik air kang :P)

    ReplyDelete
  2. Thks Bot.

    Sebenarnya cerita ni memang tak seram pun, Ia cuma nak cerita kepada para gadis jangan lari dari rumah. banyak keurukannya. Cuma saya gunakan konsep roh kembali itu je.

    ReplyDelete