Angin laut yang terus berbisik di Teluk Bidara ini adalah bicara tentang kehidupanku. Di sinilah sewaktu kecil, aku lelah bermain-main mengejar ombak dan anak-anak ketam yang sedang berlarian di pasir pantai. Di sini jugalah, aku akan terus berbicara tanpa jemu tentang laut, ikan, sotong, udang, si camar, terumbu karang, ombak badai, gelombang laut, sang helang berdada merah dan tentang segunung harapan di hatiku. Di pantai Teluk Bidara inilah angin dari Laut China Selatan akan terus berbisik tanpa henti. - Upenyu

Saturday, March 26, 2011

Cerpen : Di Sayap Kupu-Kupu Terbang..



Karya : Upenyu



Di dalam kehidupan ada masanya kita perlu membuat pilihan. Pilihan antara kebaikan dan keburukan, yang mana imbangannya tetap sama. Sememangnya kita tidak akan pernah tahu samada pilihan yang kita buat dalam menjalani kehidupan ini adalah tepat, sehinggalah kita sampai ke penghujung kehidupan itu sendiri.

“Hidup menawarkan banyak pilihan, Fathin.” Ujarku lembut sambil sedikit berpaling ke arah Fathin yang duduk di sebelahku.

Hujan malam yang turun agak lebat membasahi kota ini, memaksa aku memandu keretaku dengan perlahan dan berhati-hati. Sesekali terlihat kilat memancarkan cahayanya berserta dentuman guruh yang agak kuat. Fathin memeluk dirinya sendiri sambil merenung jauh ke arah kegelapan di luar kaca tingkap kereta.

Dia meluruskan kaki kehadapan dan kemudian mengeluarkan sekotak rokok dari beg tangannya. Sebatang rokok jenama terkenal terpacak di bibirnya. Tidak berlengah lalu menyalakannya. Disedutnya dalam-dalam kemudian dihembuskan kembali.

“Kamu merokok Kamal?” Soal Fathin sambil memandang ke arahku.

Aku menjawab soalan Fathin hanya dengan mengelengkan kepala. Asap rokok yang dihembus Fathin memenuhi ruang kereta. Mataku sedikit kepedihan. Cermin tingkap kereta kuturunkan sedikit. Rembisan air hujan segera menerjah masuk menampar mukaku.

Fathin menyedari aku kurang selesa dengan keadaan itu, lalu cermin tingkap kereta dibukanya sedikit, puntung rokok yang masih panjang itu dicampak keluar. Cermin tingkap kereta kembali ditutup.

“Tak bosankah dengan kehidupan seperti ini?” Ujarku berhati-hati mengucapkan kalimat tersebut.

Fathin hanya diam tidak menjawab pertanyaanku. Aku melirik semula ke arah Fathin. Dia terlihat sangat cantik. Paras wajahnya yang memukau seperti bulan yang bercahaya. Rambut hitamnya yang keperangan dipintal-pintal perlahan. Pakaiannya yang berwarna hitam mendedahkan sebahagian pehanya. Aroma perfume yang dipakainya menyucuk-nyucuk hidungku.

“Setiap orang, baik lelaki mahupun wanita, pasti pernah berfikir mengenai perkara ini.” Aku berusaha melontarkan pandanganku sebaik mungkin.

“Aku tak mampu menjawabnya, Kamal. Kamu tidak akan pernah tahu ukuran kebahagiaan bagi aku. Begitu juga sebaliknya. Kita berbeza dalam mentafsir erti kebahagiaan.” Jawab Fathin perlahan masih menumpukan pandangan ke arah luar kereta.



“Apakah Fathin menganggap bahwa apa yang Fathin lakukan selama ini sama seperti apa yang Fathin bayangkan sebelumnya ?” Balas ku kembali.

“Aku bukan orang yang munafik, Kamal. Setiap orang memiliki cara masing-masing untuk memaknai kehidupannya Tidak bermaksud aku mengatakan bahawa aku menolak kehidupan seperti mereka yang lain. Berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri.” Balas Fathin tegas.

Aku menarik nafas putus asa. Aku tak mampu berkata apa-apa lagi. Aku sedar, Fathin cukup tegas memegang prinsipnya. Aku berusaha menenangkan diriku. Tidak lagi mahu memanjangkan suasana. Mendiamkan diri lebih baik.

“Tahap penilaian kita amat berbeza, Kamal. Kita tidak berkongsi pandangan yang sama. Hidup ini dipenuhi dengan pelbagai kemungkinan. Apa yang bakal terjadi di masa hadapan, kita tidak dapat menjangkakan. Dan ia sering kali juga tidak sama seperti apa yang kita bayangkan walau sebaik mana kita merancang.” Ujar Fathin dengan suara bergetar.

Hujan yang turun sepanjang perjalanan kian melebat. Pandangan ke hadapan dipenuhi kabus tebal. Tiada yang dapat kulihat dengan jelas, semuanya kabur. Fathin kulihat memejamkan matanya bagaikan seolah enggan melihat apa yang berada di hadapannya.

“Impian kamu itu terlalu sempurna, Kamal.” Jawab Fathin perlahan, seolah tidak lagi berminat meneruskan perbualan kami.

Segalanya bermula tiga bulan yang lalu. Kemalangan yang berlaku itu telah mempertemukan aku dengan Fathin. Kemalangan yang berlaku kerana kecuaianku. Kereta yang dipandu Fathin terbabas ke longkang apabila cuba mengelak dari melanggar kereta aku yang keluar dari simpang. Kereta Fathin mengalami kerosakan agak teruk. Mujurnya Fathin tidak mengalami kecederaan teruk kecuali kepalanya sedikit berdarah.

Aku membawa Fathin ke hospital dan berjanji akan menguruskan serta menanggung kos membaiki kerosakan keretanya. Sebagai tanda permohonan maaf, aku menawarkan diri untuk menghantar dan mengambil Fathin dari tempat kerjanya, sehingga keretanya siap diperbaiki.

“Kamu tidak akan mampu melakukannya setiap hari.” Jawab Fathin seolah menolak tawaranku.

“Apa sahaja, asal kamu memaafkan saya.” Balasku.

“Baiklah. Kamu mesti menghantar saya ke tempat kerja setiap hari jam 8.00 malam dan mengambil saya pulang jam 2.00 pagi.” Jawab Fathin sambil menjeling kepadaku seolah-olah menyangka aku tidak akan mampu melakukan tugas itu.

Aku hanya tersenyum sambil menganggukkan kepala. Tidak terlalu sukar bagiku sebenarnya. Sebagai seorang lelaki bujang, permintaan Fathin itu bagiku mudah sahaja.

“Seperkara lagi, jangan sesekali bertanya tentang pekerja saya!” Ujar Fathin dengan nada yang sedikit tegas.

Mulai saat itu, hampir setiap malam tepat jam 8.00 malam, aku menjemputnya di sebuah kodominium mewah yang terletak di pinggir kota, kemudian membawanya ke suatu tempat yang sentiasa berubah, dari satu hotel ke hotel yang bertaraf empat bintang di sekitar Kuala Lumpur. Walaupun kian merasakan tugas ini menyusahkan aku, hari-hari seterusnya, aku tetap menjalankan tugasan itu sebagai sebahagian dari tanda permohonan maafku.

Sebagaimana permintaannya, tidak pernah sekalipun aku bertanya apa pekerjaan Fathin yang yang sebenar. Sepanjang menghantarnya pergi dan pulang, kami hanya bercakap perkara-perkara yang biasa sahaja, malah cukup membosan sekali. Aku merasa tidak lebih sebagai seorang pemandu pribadi sahaja kepada Fathin, tidak lebih dari itu.

Namun minggu-minggu terakhir ini, Fathin sudah mula berani bercerita tentang kisah-kisah peribadinya. Mulanya aku agak kekok tapi perlahan aku mulai dapat menyesuaikan diri melayan dia bercerita dan pada masa yang sama menjadi seorang pendengar yang baik.

Akhirnya, Fathin tidak lagi menyembunyi jenis pekerjaannya yang dilakukannya. Suatu yang dulunya amat sensitif tapi sekarang tidak lagi. Walau pun tidak pernah bertanya tentang perkerjanya yang sebenar, tidaklah bererti aku tidak mengetahui, cuma aku tidak mahu bertanya.

Fathin berasal dari sebuah daerah di utara. Kemiskinan melingkari kehidupannya. Memiliki ahli keluarga yang ramai kehidupan yang dilalui amat memeritkan. Ayahnya hanya seorang penoreh getah dan ibunya suri rumah sepenuh masa. Malang terus menimpa bila satu hari ayah dan ibu terlibat dalam kemalangan jalanraya. Motosikal yang ditunggangi dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda. Ayahnya meninggal ditempat kejadian, manakala ibuinya cedera parah dan akhirnya lumpuh hingga tidak dapat melakukan apa-apa. Sebagai kakak yang sulung daripada tujuh adik beradik, tanggungjawab menyara keluarga jatuh ke tangannya.

“Aku amat letih sekali Kamal dengan semua itu. Pada masa gadis seusiaku gembira menikmati waktu remajanya dan sibuk dengan pelajaranya, aku bergelut mencari pekerjaan untuk menyara keluarga.” Keluh Fathin mencurahkan rahsia dirinya kepadaku.

Tidak tertahan dengan apa yang berlaku, Fathin melarikan diri ke Kuala Lumpur tanpa lagi memperdulikan ibunya yang lumpuh termasuk adik-adiknya. Dia ingin terus hidup dan berjuang untuk mencari kesenangan yang diimpikan selama ini. Tanpa disedarinya, dia telah terjerumus ke lembah hina.

Kehidupan malam di Kuala Lumpur membuka satu dunia baru yang dahulunya begitu asing kepada Fathin. Kalau dulu dia hanya mendengar tentang dunia baru itu, kini dia berada di dalamnya.Fathin akhirnya jadi seorang pelayan di sebuah kelab malam hinggalah kini menjadi kupu-kupu malam kelas atasan dengan bayaran yang sangat lumayan. Malah kini dia mampu menyewa sebuah kondominium mewah lengkap segala isinya. Malah dengan kerja itulah juga wang bulanan dihantar untuk keluarganya di kampung.

Sebagai lelaki bujang dan normal, aku tidak dapat menepis getar-getar aneh saat wangian perfumenya menyerbu hidung ketika ia masuk ke kereta aku. Tapi aku berusaha menghalang perasaan itu sekuat-kuatnya. Terkadang muncul rasa cemburu, saat melihat dia diusung oleh orang-orang yang seharusnya dipanggil ayah. Namun aku harus terikat dengan janjiku untuk tidak akan bertanya apa-apa tentang pekerjaannya.

Aku memang sudah tidak dapat lagi mengingkari kata hati bahawa aku telah jatuh cinta kepadanya. Ikal rambutnya mencecah ke bahu, wajahnya dan kulitnya putih bersih, renungan matanya yang memikat, bicaranya yang lembut dan bentuk badannya yang menawan. Fathin tampil mempesona mata setiap lelaki yang melihatnya.

“Kamu sudah ada kekasih, Kamal?” Satu pertanyaan tiba-tiba muncul dari mulut Fathin.

“Belum.” Jawabku tersipu. Jawaban yang jujur dariku. Aku bukanlah seorang lelaki yang sempurna yang dengan mudah dapat memikat hati perempuan, Malah kekurangan yang ada sering menghalang keinginanku membina hubungan cinta dengan wanita. Aku sememangnya memiliki keinginan itu, tapi tidak pernah mempunyai cukup keberanian untuk melahirkannya.

Fathin ketawa terkekeh hingga terbatuk-batuk seolah jawapan aku itu begitu melucukan. Dia memandang padaku dengan senyuman sinis. Aku tidak pasti samada itu senyuman simpati atau senyuman yang bermaksud tidak percaya dengan kata-kataku tadi.

“Fathin sendiri bagaimana?” aku balik bertanya.

“Banyak. Banyak sekali. Ramai lelaki yang jatuh cinta padaku. Malah ramai juga yang datang menyembah merayu cintaku.” sahut Fathin. Namun suaranya terdengar hambar. Kedengarannya ia seperti melontarkan sebuah kehampaan.

“Sejujurnya?” Tanpa sedar aku mengungkapkan kata-kata yang boleh menguriskan hati Fathin.

Untuk beberapa saat Fathin terdiam, lalu memejamkan matanya. Lama. Di luar kereta, hujan masih lebat membasahi bumi. Malam menjadi begitu sepi. Aku tiba-tiba menyedari kelancangan aku.

“Maafkan aku, Fathin. Aku….”

“Tak mengapa, Kamal. Aku tidak pernah memiliki cinta sejati. Lelaki yang hadir dalam hidupku cuma mempunyai nafsu dan sekadar menginginkan menikmati tubuhku. Bukan jiwaku, dan bukan juga cintaku,” tutur Fathin sambil menghela nafas panjang.

Malam ini adalah malam terakhir aku bersama Fathin. Aku yang mulanya menjangkakan kereta Fathin akan siap diperbaiki dalam masa dua minggu, ternyata silap. Hanya selepas tiga bulan barulah keretanya yang tersadai agak lama di bengkel telah siap sepenuhnya. Kebersamaan dengan Fathin selama ini, tanpa sedar membangkitkan rasa cinta yang mendalam.

Kami telah sampai ke kondominium kediaman Fathin. Hujan masih lebat, aku segera mencapai payung yang kusimpan di tempat duduk belakang. Enjin kereta kumatikan lalu membuka pintu kereta dan keluar untuk membuka pintu kereta disebelah Fathin. Payung aku kembangkan untuk melindungi Fathin dari kebasahan. Fathin membuka pintu kereta ketika lalu keluar.

Aku segera memayungkan Fathin. Mata kami saling berpandangan. Namun seolah berat untuk berkata-kata. Aku renung ke matanya sambil mengumpul segala kekuatan untuk menyatakan sesuatu yang telah lama ku pendamkan.

*Terima kasih Kamal atas jasa baikmu menghantar dan mengambil aku pulang selama ini.” Fathin telah terlebih dahulu memulakan bicara lalu berpaling dariku untuk melangkah pergi.

“Fathin, tunggu!”

Dia berhenti melangkah, lalu memusingkan badannya dan memandang kembali ke arahku. Dada aku berdegup kencang. Ku kumpulkan segenap kekuatanku.

“Aku…”

“Berkatalah Kamal, aku ingin mendengarnya.”

Segera tangan Fathin kucapai. Fathin tidak menolak. Jemari tangannya kupegang erat bagai tidak mahu kulepaskan lagi. Aku berusaha mengumpul keberanianku untuk menyambung kata-kata yang terhenti tadi.

“Aku mencintaimu, Fathin!” Akhirnya aku mengungkapkannya, seolah kerongkongku masih disengkang sesuatu.

Fathin memandangku bagaikan tidak percaya apa yang baru aku ucapkan. Fathin menggigit bibir. Matanya kulihat mula berkaca. Air matanya tiba-tiba keluar membasahi pipinya bersama titisan hujan yang tidak menampakkan akan reda. Fathin kelihatan seperti memikirkan sesuatu. Aku telah menyediakan hatiku untuk menerima apa juga kemungkinan.

“Kamal..”

“Hentikan semua ini, Fathin. Jalanilah kehidupan yang lebih terhormat. Apa yang kamu lakuan selama ini hanya akan membuat hidupmu didera rasa bersalah dan dosa. Hiduplah dengan aku. Kita kahwin. Aku berjanji akan membimbingmu kembali ke jalan yang diredhai Allah. Aku berjanji akan membahagiakanmu”. Aku memandang Fathin dengan penuh harapan.

“Maafkan aku. Kamal.” Fathin mengucapkannya dengan bibir bergetar. Air matanya kian mengalir deras. Disekanya cepat-cepat. Dia mengeratkan genggaman tanganku.

“Kamal, kau seorang lelaki yang baik. Aku ini perempuan kotor. Carilah gadis yang baik-baik untuk dijadikan isteri. Aku tidak layak untukmu!” Ujar Fathin kembali.

“Ianya tidak sesekali akan mengubah cintaku padamu Fathin.”

“Kita hidup dalam dunia yang berbeza, Kamal. Antara hitam dan putih. Terima kasih atas ketulusan lamaranmu. Aku menghargainya. Biarkan aku memilih jalan yang menurut aku terbaik. Kamu terlalu sempurna untukku.” Fathin memuktamatkan keputusannya.

Aku tak lagi mampu menghalangnya. Aku hanya melihat dan membiarkan dia melangkah pergi untuk terakhir kali, dengan pandangan kosong. Terasa ada yang hilang dalam diri aku, sesuatu yang tak dapat aku ungkapkan. Dia hanya mengucapkan selamat tinggal sebaik sahaja pintu lif terbuka. Tiada lagi senyuman manis seperti selalu.

Fathin melangkah perlahan memasuki lif, menutupnya dan hilang dari pandanganku. Hujan masih turun dengan lebat membasahi bumi, tiada tanda akan reda, seolah esok tiada lagi suria yang akan menyinar.

No comments:

Post a Comment