Angin laut yang terus berbisik di Teluk Bidara ini adalah bicara tentang kehidupanku. Di sinilah sewaktu kecil, aku lelah bermain-main mengejar ombak dan anak-anak ketam yang sedang berlarian di pasir pantai. Di sini jugalah, aku akan terus berbicara tanpa jemu tentang laut, ikan, sotong, udang, si camar, terumbu karang, ombak badai, gelombang laut, sang helang berdada merah dan tentang segunung harapan di hatiku. Di pantai Teluk Bidara inilah angin dari Laut China Selatan akan terus berbisik tanpa henti. - Upenyu

Saturday, May 9, 2009

Ku izinkan cinta pergi


Aku berdiri di antara keriuhan paluan kompang dan para tetamu di majlis perkahwinan nan meriah itu. Dalam keriuhan itu, aku bagaikan terasing jauh di dalam dunia sunyi dan tersendiri. Hanyut terawang-awang bagaikan tiada upaya menahan dunia yang tiba-tiba berputar menghumban aku jauh ke dalam lubuk luka yang telah ku kambus dalam-dalam.

Dari kejauhan itu, aku melihat dia. Dia yang seumpama sang puteri bersanding di pelaminan indah menanti ketibaan sang putera. Senyum indah yang terpamir diwajahnya seolah lupa bahawa di dalam keriuhan ini ada hati yang telah dilukakan.

``Wati, sudah sampai masanya untuk aku berterus terang. Walau pun tidak pernah ku zahirkan selama ini. Ikhlas ku katakan, aku ingin mengambil mu sebagai isteri ku dan bakal ibu buat anak-anak ku.’’

Bisikan luka itu datang lagi. Patah demi patah kata-kata yang pernah ku ucap dulu satu persatu muncul menjadi puluhan belati tajam yang menikam-nikam kalbu ku tanpa belas mengalirkan darah merah pekat yang tidak terlihat.

``Wahai hati, tenanglah. Izinkan aku menikmati dia buat kali terakhir. Walau cuma dari kejauhan. Hati fahamilah kerana di situ ada ruang luas yang telah menghumban aku jauh darinya.’’ Rayu batin ku agar luka tidak kembali mengalirkan darah.

”Di hadapan itu adalah kenyataan mu. Lihat, dia sedang bahagia. Dia bahagia di pelamin itu. Senyum itu lahir dari jiwanya. Dia bukan di situ untuk menanti mu. Dia menanti sang puteranya dan putera itu bukan kau. Kau lihat dan lihatlah sepuas mu. ” Suara itu bertalu-talu menghentak setiap ruang di hatiku. Suara itu terus mentertawa dan menghina diri ku. Aku seakan ingin menjerit melepaskan segalanya.

``Dengar! Itu paluan kompang menandakan sang putera sudah tiba untuk melabuh dan memetera cinta mereka. Perlu apa kau masih terus berdiri di sini.’’

Aku terhenyak oleh sebuah kesedaran. Ucapan itu benar, tak mampu kutepis dan tak mampu pula kuingkari. Keharuan memuncak memenuhi ruang semesta hatiku. Kini seribu jendela hati terkuak mengungkap baris-baris kata yang jujur serta tulus.

”Wajarkah aku berada di sini? Bagaimanakah aku masih tega berada di sini dengan rela. Wajarkah hati ku ini dihukum untuk menyaksi sang puteri idaman ku bersanding ria di pelamin tersergam yang seharus menjadi milik ku sebegini?” Getar jiwa aku yang meronta.

``Usah kau seksa hati mu. Biarkanlah ia beristirehat. Pulanglah. Pulanglah mengubati sendiri luka yang masih berdarah itu. Kau lihat sahaja hadapan mu. Masih banyak pintu-pintu kebahagian yang menanti untuk kau buka. Tenangkan jiwa mu. Segala yang berlaku adalah hikmah yang tersembunyi. Kau hanya perlu mencari dan mencari. Cinta itu satu anugerah tuhan kepada setiap insan. Kau harus pergi mencari satu cinta yang menjanjikan mu kebahagian. Ianya pasti ada di sana. Pergilah. Lepaskan kelukaan itu, usah disimpan terus. Biarkan luka itu pergi. Doakan moga luka itu usah berpaling lagi.

Majlis itu tinggalkan. Aku harus segera melangkah mencari cinta lain yang telah tuhan khususkan buat ku. Aku pasti ia ada disana, sedang menanti untuk ku punggut dengan segala rasa cinta. Kita tidak mencipta cinta kecuali mengolah kerana cinta itu adalah anugerah.


No comments:

Post a Comment