Angin laut yang terus berbisik di Teluk Bidara ini adalah bicara tentang kehidupanku. Di sinilah sewaktu kecil, aku lelah bermain-main mengejar ombak dan anak-anak ketam yang sedang berlarian di pasir pantai. Di sini jugalah, aku akan terus berbicara tanpa jemu tentang laut, ikan, sotong, udang, si camar, terumbu karang, ombak badai, gelombang laut, sang helang berdada merah dan tentang segunung harapan di hatiku. Di pantai Teluk Bidara inilah angin dari Laut China Selatan akan terus berbisik tanpa henti. - Upenyu

Sunday, June 6, 2010

Bendang Sera : Nostalgia 22 tahun cinta berlalu


Kampung Bendang Sera hari ini 6/6/2010 jam 9.00 pagi
Baling. Hari ini 6 Jun, 2010, akhirnya saya kunjungi lagi pekan ini selepas 22 tahun berlalu. Begitu pantasnya masa bergerak, bagaikan sedetik mata berkelip. Bersama isteri dan anak-anak saya tiba disini untuk mmenghadiri majlis perkahwinan anak saudara dengan gadis Baling.

Pekan ini menjadi begitu sentimental kepada saya. 22 tahun dahulu cinta pertama saya berakhir disini. Tahun 1987, waktu itu saya berusia 21 tahun, baru saja menamatkan pengajian di ITM Shah Alam (sekarang UiTM). Tahun itu jugalah Malaysia dilanda kegawatan ekonomi. Peluang pekerjaan sukar sekali. Akhirnya selepas hampir 6 bulan menganggur, kakak saya mengajak saya berkerja di UM sebagai penjaga peperiksaan secara kontrak selama sebulan.

Di sini segalanya bermula, gadis yang saya maksudkan turut sama berkerja di sini selepas tamat peperiksaan STPM, waktu itu umurnya sekitar 19 tahun. Tak tahu kenapa, kami begitu rapat dan mesra. Setiap kali berjumpa ada saja yang ingin dibualkan. Peristiwa yang tak boleh saya lupakan, semasa menjaga pelajar-pelajar mengambil peperiksaan, sepatutnya kami yang menegur pelajar jangan membuat bising, sebaliknya kami yg ditegur pelajar kerana asyik bercerita di belakang. Apa yang kami bualkan entahlah, saya dah tak ingat lagi.

Pertengahan tempoh bekerja di UM, saya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat pelancongan. Lalu meninggalkan pekerjaan di UM. Hari terakhir kontrak kerja di UM saya berjumpa beliau dan saling bertukar alamat. Dia memberi sekeping gambarnya sebgai kenangan (masih saya simpan sehingga kini). Akhir kontrak beliau dengan UM, dia pulang ke Baling. Dahulu komunikasi agak susah. Masing-masing tidak mempunyai telefon di rumah. Kami hanya berhubung melalui surat. Sebenarnya dia yang lebih kerap mengutus surat berbanding saya (ini yang saya kesalkan kemudian).

Masih saya ingat, pertemuan semula kami berlaku di Stesyen Bas Pudu Raya. Awal-awal lagi dia telah mengutus surat supaya menunggunya di Pudu Raya jam 5 petang kerana kakaknya akan datang mengambil jam 6 petang. Jadi kami ada satu jam untuk bersama.

Tepat jam 5 petang di sampai di Pudu Raya, kami duduk berbual di salah satu bangku panjang. Entah apa yang kami sembangkan hingga seorang gadis cina di sebelah kami tiba-tiba muntah. Muntahannya berserakan di atas lantai. Kami buat tak endah sambil terus bercerita, hinggakan bila tersedar, sudah tiada siapa lagi disekeliling bangku yang kami duduk. Sehinggalah ditegur oleh kakak beliau yang muncul dan bertanyakan, samada ada kami perasan bau muntah di situ. Benarlah kata orang, semasa bercinta semuanya wangi dan semuanya indah.

Selepas itu, kami tidak lagi bertemu, maklumlah masalah komunikasi dan kenderaan, dia tiada telefon sama seperti saya juga. Selepas itu kami berhubung hanya melalui surat. Antara Kuala Lumpur dan Baling.

Masa berlalu surat-surat si dia lebih banyak mengunjungi saya berbanding saya membalas suratnya. Dia sering berceritakan tentang kekecewaan hidup, gagal ke maktab perguruan dan keinginan untuk menjadi guru tadika sahaja. Kesilapan saya adalah tidak mampu memberikan kata-kata semangat kepada dia ketika dia memerlukan. Saya sendiri masih dalam keadaan terumbang ambing dengan pekerjaan saya sendiri. Seperkara lagi saya sebenarnya agak tidak suka menulis kerana pada saya tulisan saya amat buruk untuk dibaca. Itulah salah satu sebab saya jarang menulis kepada dia. Inilah penyesalan saya yang sebenar.

Dalam surat-suratnya, ada juga diceritakan tentang sekiranya kami berkahwin. Namun pada saya waktu, walau pun perasaan sayang terhadap dia telah menebal, realitinya dengan pendapatan sebanyak RM350, elaun dan komisen hanya sekitar RM900 sebulan, satu kerja gila kalau saya berkahwin dengannya. Jumlah itu tidak cukup untuk hidup di Kuala Lumpur

Pada Tahun Baru Cina 1988 akhirnya untuk pertama kali saya menjejakan kaki di Pekan Baling kerana menghadiri majlis perkahwinan kakaknya iaitu kak Zainab. Namun hasrat saya untuk menncurahkan perasaan meminta beliau bersabar sedikit tidak kesampaian kerana beliau agak sibuk dengan majlis yang sedang berlangsung.

Kampung Bendang Sera, hanya 1 kilometer dari Pekan Baling. Rumah Pak Abdullah (ayah beliau, pernah bertanding dalam piliharaya umum tahun 1969 mewakili parti kepala lembu tapi tewas) hanya beberapa meter dari jalan menuju ke Gerik iaitu di belakang beberapa buah rumah Cina. Ada sungai yang mengalir dihadapan rumahnya. Ada beberapa buah kedai Cina di sebelah jalanraya, sedang membakar colok besar (sempena perayaan tahun baru cina). Selepas deratan kedai cina itu hanya hutan sahaja. Jalanraya itu menuju ke Gerik daan Lebuhraya Timur Barat.

Sebelum pulang, saya menunggunya beberapa ketika di sebuah pangkin kayu di bawah sebatang pokok yang menghala semula ke Pekan Baling. Tak banyak yang kami bicarakan, kerana dia berjanji akan menyatakan segalanya dalam surat yang akan dikirimkan kemudian.

Hampir dua minggu selepas itu, surat darinya saya terima. Dia menyatakan perasaan kecewanya saya kerana selama beliau merasakan hanya dia seorang saja yang menaruh harapan kepada saya, sedangkan saya tidak. Dia menyatakan kesal kerana surat-suratnya jarang berbalas dan merasakan saya telah melupakan dia. Dan pada masa yang sama kawan kepada abangnya telah menyatakan hasrat untuk masuk meminang dan dia masih menimbangkannya.

Dalam surat balasan saya, saya menyatakan bahawa saya sememangnya sayangkan dia, dan minta dia bersabar sedikit kerana pekerjaan saya sendiri masih belum terjamin dan lagi pun kami masih muda. Tiada jawapan yang saya terima selama beberapa minggu selepas itu. Jiwa saya resah dan gelisah merasakan sesuatu akan berlaku. Saya seakan ingin segera terbang ke Baling, malangnya banyak benda yang menghalang (antara perkara yang saya kesalkan hingga saat ini), akhirnya keresahan saya terjawap, saya menerima kad jemputan perkahwinannya dengan kawan abangnya sendiri.

Dunia telah kiamat bagi saya, Saya menghantar surat meminta dia batalkan perkahwinan itu kerana saya sememang sayang kepada dia (apa lagi yang mampu saya lakukan waktu itu). Saya menelefon kakaknya, Kak Zainab bertanya apa yang berlaku, malangnya kakaknya sendiri pun terkejut apabila dimaklumkan adiknya akan berkahwin. Apa sebenarnya berlaku hingga kini saya tidak tahu.

Pastilah saya tidak menghadiri majlis perkahwinannya. Untuk apa kalau untuk melukakan hati sendiri. Selepas itu saya tidak mendengar lagi apa berita tentang dirinya.

Oktober 1988, akhirnya saya ditawarkan jawatan di jabatan kerajaan di Petaling Jaya. Kalaulah dia bersabar sedikit. Manusia hanya merancang, Tuhan yang menentukan.

Pantasnya masa, sedar tak sedar saya kembali semula ke Bendang Sera. Tanpa memaklumkan kepada isteri, saya ke Kg Bendang Sera semula. Memberhentikan kereta dihadapan sebuah kedai tayar yang pastinya di sinilah 22 tahun dahulu terdirinya deretan kedai-kedai cina yang sedang membakar colok, sambil memandangkan ke arah rumahnya. Hari ini saya melihat kembali 22 tahun dahulu seorang lelaki yang datang dengan segala rasa cinta, namun akhirnya kecewa.

Dia, apa yang ada di minda saya tentang dia adalah seorang gadis berkulit putih berusia 19 tahun, wajah seiras penyanyi 80 an Rahimah Rahim. Saya sayang kenangan ini, pastinya selepas 22 tahun dia bukan lagi sama seperti gadis yang saya kenali 22 tahun dahulu. Dia mungkin sedang berbahagia sekarang. Anak-anaknya sendiri pasti sudah dewasa, mungkin ada yang sedang melanjutkan pelajaran di IPT atau telah bekerja. Saya agak dia sekarang berusia dalam lingkungan 42 tahun. Apa yang ada dalam kotak memori saya adalah dia masih berusia 19 tahun. Bahagialah lelaki yang menjadi suaminya sekarang, memiliki gadis sebaik itu (seorang gadis yang terlalu amat saya ingin miliki waktu itu). Kalau dia masih mengingati saya, dia akan mengingati saya yang berusia 21 tahun, bukan saya sekarang yang telah banyak melalui perubahan fizikal.


Kalau dahulu keinginan memiliki gadis Baling tidak kesampaian, hari ini hasrat ini nampaknya diteruskan oleh anak saudara sendiri. Tak apa lah sekurang-kurang sillaturrahim dengan orang Baling masih tetap ada.


Begitulah cinta, segalanya begitu indah, cuma apabila kita tidak dapat memilikinya....


Upenyu
Sri Baling Inn
Baling, Kedah

2 comments:

  1. pengalaman mengajar erti kerinduan untuk pulang kepangkuan masa silam..terengganukuonline.blog..

    ReplyDelete
  2. sedih bila baca cite ni,sy pn ada kawan ngan budak kg ni jgk...tp cinta x kesampaian mungkin sebab jarak kami jauh...skrg sy pn dh brkahwin hampir 3 tahun dn blum mempunyai cahaya mata.. agak kecewa jgk lps putus dgn dia...sebab dia ada lah cinta pertama saya..

    ReplyDelete