Angin laut yang terus berbisik di Teluk Bidara ini adalah bicara tentang kehidupanku. Di sinilah sewaktu kecil, aku lelah bermain-main mengejar ombak dan anak-anak ketam yang sedang berlarian di pasir pantai. Di sini jugalah, aku akan terus berbicara tanpa jemu tentang laut, ikan, sotong, udang, si camar, terumbu karang, ombak badai, gelombang laut, sang helang berdada merah dan tentang segunung harapan di hatiku. Di pantai Teluk Bidara inilah angin dari Laut China Selatan akan terus berbisik tanpa henti. - Upenyu

Sunday, September 13, 2009

Novel : Kembara Seorang Pejuang Kecil




Sinopsis

Koperal Muda bin Awang hanya seorang pejuang kecil sama seperti ribuan lagi pejuang-pejuang yang tidak didendangkan malah tenggelam dalam lipatan sejarah kemerdekaan negara. Seorang anggota Jungle Squad yang bertugas menjaga keamanan negara dari ancaman pengganas komunis di saat negara akan mencapai kemerdekaan. Perjuangan mempertaruhkan nyawa demi keamanan dan keharmonian negara.

Pertempuran demi pertempuran dengan pihak pengganas komunis yang rakus untuk menjajah negara selepas tamat penjajahan Jepun dilaluinya. Menyaksikan rakan-rakan seperjuangan yang gugur di medan perjuangan begitu menyayat hatinya. Inspektor Abdul Rahman, Inspektor Leong, Sarjan Zulkifli, Koperal Maniam, Koperal Hassan, Koperal Hisham, Lans Koperal Dahalan, Lans Koperal Mutusamy dan Lans Koperal Redwan, malah ribuan lagi pejuang telah terkorban.

Sewaktu menyusuri hulu Sungai Paka, pasukannya telah diserang hendap oleh pengganas komunis. Ramai rakan seperjuangannya yang terkorban. Koperal Muda bin Awang juga terkena beberapa tembakan musuh, lalu jatuh terhumban ke dalam arus sungai Paka yang mengalir deras. Dengan izin Allah bermulalah kembaranya seorang pejuang kecil mencari erti kemerdekaan selepas 50 tahun kemerdekaan negara berlalu.

Ashabul khafi




Prolog


Lubuk Aur, Sungai Paka, Dungun
27 Februari 1956,


Perahu jalur yang membawa dua belas orang anggota Jungle Squad menyusuri perlahan Sungai Paka. Keheningan dan kedamaian sekitar terganggu oleh bunyi deruan enjin berkuasa 1500 kuasa kuda itu berserta bunyi unggas yang bersahut-sahutan. Hujan renyai di penghujung musim tengkujuh tidak memperlihatkan tanda-tanda akan berhenti. Arus sungai agak deras akibat dari hujan lebat malam tadi membuatkan perahu jalur itu terumbang-ambing.

Koperal Muda Awang yang duduk di bahagian paling hadapan perahu sambil memegang Standgunnya dengan kemas. Senjata dibiarkan berada di dalam keadaan siap sedia. Matanya liar memandang ke kiri dan ke kanan tebing sungai mengawasi apa juga pergerakan yang mencurigakan.

Sesekali direnungnya ke wajah Inspektor Abdul Rahman yang duduk bersetentang dengannya. Rasa kagum cukup tinggi terhadap ketuanya ini. Pengalamannya menyaksikan sendiri keberanian Inspektor Rahman sewaktu bertempur dengan segerombolan komunis di Bukit Bauk masih terbayang di ingatannya.

Telah hampir satu jam mereka mudik Sungai Paka. Sebentar lagi perahu itu akan memasuki kawasan Lubuk Aur. Suasana yang tadinya agak bising dengan suara unggas kedengaran bersahut-sahutan. Seekor biawak sungai bertengek di batang pokok yang tumbang.

“Malaya akan merdeka tidak lama lagi.“ Bisik Muda Perlahan sambil memandang ke langit. Gumpalan awan hitam bergerak Perlahan. Matahari masih tidak kelihatan walaupun jam di tangannya sudah menunjukan pukul sembilan pagi. Titisan hujan jatuh menikam ke wajahnya. Baju celoreng hijaunya basah oleh hujan. Dia merasa sedikit kesejukan. Dia menjeling kepada rakan-rakan di sebelahnya. Masing-masing hanya mendiamkan diri sambil mengawasi hutan di kiri dan kanan tebing sungai.

“Aku harap dahrurat akan segera tamat. Keganasan ini telah meragut banyak nyawa rakyat tidak berdosa. Kalau Chin Peng benar-benar berjuang untuk kemerdekaan Malaya, dia dan kumpulannya mesti hentikan kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat yang tak berdosa dan keluar dari hutan menyerah diri kepada kerajaan.” Balas Inspektor Abdul Rahman.

Muda mengangguk tanda setuju. Dia terbayang kekejaman yang dilakukan oleh pengganas komunis, Beratus ribu nyawa rakyat yang tak berdosa menjadi mangsa. Mereka disiksa dan dibunuh dengan kejam. Rakan-rakan seperjuangannya juga banyak yang telah kehilangan nyawa. Dia terkenang Sarjan Jusuh, Koperal Maniam, Koperal Abu, Koperal Wahid malah ramai lagi yang telah terkorban di muncung senjata pengganas komunis.

“Muda, esok hari ulang tahun perkahwinan aku yang ke lima kalau apa jadi pada aku hari ini, tolong beritahu isteriku, aku sayangkan dia.” Bisik Inspektor Abdul Rahman Perlahan. “Sayang sekali, tuhan masih belum mengurniakan kami zuriat. Aku inginkan zuriat yang boleh meneruskan perjuangan ini.”

“Jangan bimbang tuan, semuanya selamat, Insyaallah semuanya selamat...”

Belum sempat Muda menghabiskan kata-kata, tiba-tiba suasana dipecahkan dengan bunyikan tembakan bertalu-talu yang datang dari kedua-dua belah tebing sungai.

“Kita diserang!!! Jerit Inspektor Rahman membetulkan kedudukannya sambil melepaskan tembakan balas. Peluru-peluru musuh datang bersimpang siur dari pelbagai arah. Tidak terlihat kelibat batang tubuh musuh yang melepaskan tembakan.

Anggota Jungle Squad segera membalas tembakan tanpa henti ke arah kiri dan kanan tebing sungai. Tiada apa yang dapat dilihat di tebing sungai tetapi pasti musuh bersembunyi di balik batang pokok-pokok besar.

“Aduh!! Muda aku kena tembak!” jerit Lans Koperal Dahalan yang duduk disebelahnya sambil menekup dada.

Muda berpaling. Dilihatnya Lans Koperal Dahalan telah terkulai sambil memegang dadanya. Ada darah yang mengalir. Dia cuba menarik badan Lans Koperal Dahalan yang terbujur di tepi perahu tapi gagal. Tembakan musuh datang bertalu-talu. Perahu jalur itu terumbang ambing. Kocakan kuat menyebabkan tubuh Lans Koperal Dahalan tercampak jatuh ke dalam sungai. Muda hanya mampu memandang tubuh itu perlahan hanyut di bawa arus sungai yang deras.

“Terjun ke sungai semua, berenang ke tebing!!! Cari perlindungan cepat!!” Laung Inspektor Abdul Rahman sambil terus melepaskan tembakan.

Sambll rakan-rakan yang lain segera terjun ke dalam sungai dan berenang ke tebing. Muda memilih untuk bertahan di dalam perahu. Dia teruskan tembakan bertalu-talu ke arah tebing untuk memberikan perlindungan kepada rakan-rakannya yang berenang ke tebing.

Muda melihat beberapa orang rakannya berjaya berenang sampai ke tebing sungai dan terus melepaskan tembakan ke arah musuh yang berlindung di balik batang pokok-pokok besar itu.

Dua rakannya rebah terkena tembakan musuh. Koperal Mansor dan Lans Koperal Kassim tercampak ke dalam sungai. Air sungai bertukar menjadi merah. Perlahan tubuh keduanya hanyut dibawa arus deras. Tidak ada yang dapat Muda lakukan selain membiarkan air sungai membawa tubuh rakan-rakannya yang gugur itu pergi.

“Tuan, tuan macam mana?” Sempat Muda bertanya kepada Inspektor Rahman.

“Saya rasa saya dah kena tembakan musuh! Saya tak rasa sakit tapi tangan saya kebas!“ Getus Inspektor Rahman perlahan.

Muda menjeling ke arah lengan kiri Inspektor Rahman. Memang ada darah yang mengalir dari lengan kirinya itu, tapi Inspektor Abdul Rahman masih terus mengangkat senjatanya seolah-olah tidak terkesan dengan kecederaan yang dialaminya.

“Muda, kau kena terjun sekarang, tinggalkan perahu ni. Enjin perahu ni sudah kena tembakan musuh, sekejap lagi ia akan meletup.” Arah Inspektor Rahman kepada Muda agar segera terjun ke sungai.

“Tuan terjun dulu! Saya lindung tuan dengan tembakan saya. Cepat tuan terjun!” Jerit Muda menyuruh ketuanya itu terjun terlebih dahulu sementara dia akan memberikan tembakan perlindungan.

Tanpa berlengah, Inspektor Abdul Rahman segera terjun ke dalam sungai. Senjatanya di angkat ke atas. Muda segera bangun melepaskan tembakan demi tembakan ke arah musuh.

“Ya Allah!!! Aduh!!” Tiba-tiba Muda menjerit kesakitan. Peha sebelah kanannya ditembusi sebutir peluru. Muda mengeliat kesakitan. Dia cuba mengangkat senjatanya untuk membalas tembakan musuh. Namun dua lagi tembakan musuh tepat terkena lengan kanan dan kaki kirinya pula. Muda jatuh terjelepok.

Asap yang keluar dari enjin perahu jalur itu makin tebal. Api mula kelihatan marak membakar enjin perahu diikuti beberapa saat kemudian dengan satu letupan kuat. Perahu jalur itu terbakar. Hanya api yang marak berserta asap tebal yang terlihat menjulang ke langit.


No comments:

Post a Comment