Angin laut yang terus berbisik di Teluk Bidara ini adalah bicara tentang kehidupanku. Di sinilah sewaktu kecil, aku lelah bermain-main mengejar ombak dan anak-anak ketam yang sedang berlarian di pasir pantai. Di sini jugalah, aku akan terus berbicara tanpa jemu tentang laut, ikan, sotong, udang, si camar, terumbu karang, ombak badai, gelombang laut, sang helang berdada merah dan tentang segunung harapan di hatiku. Di pantai Teluk Bidara inilah angin dari Laut China Selatan akan terus berbisik tanpa henti. - Upenyu

Monday, May 25, 2009

Woof! Woof! Woof!

”Woof! Woof! Woof!”

Sebuah kenderaan MPV hitam berhenti di satu kaki lima. Enjin MPV itu segera dimatikan. Terlihat di dalam MPV itu seorang ayah dan anaknya, seorang gadis kecil.

Pintu kenderaan dibuka. Si ayah dan anak perempuannya keluar dari kenderaan dari pintu yang sama.

“Tunggu abah kat sini kejap! Lepas ni kita pergi kedai, okey! ” Kata si ayah kepada anak perempuan yang berusia dalam lingkungan 6 tahun, sambil tangan mengusap manja kepala si anak.

“Abah nak ke mana?” Rengek anak kecil itu. Berbaju kurung berwarna kuning. Matanya bundar. Rambutnya ikal panjang sampai ke bahu. Tangannya sedang memegang anak patung berupa seekor beruang kecil berwarna biru.

“Abah nak ke sana, sekejap. Nak bagi lebihan makanan kita ini pada anjing tu! Kasihankan, anjing tu mungkin kelaparan!” Jawab lembut si ayah pada pertanyaan anak perempuannya.

“Abah tak takut ke kalau anjing tu gigit tangan abah?” Balas si anak lagi.

“Ha ha ha, Ani pernah dengar peribahasa melayu, anjing tak akan mengigit tangan orang yang membaginya makan!” Jelas si ayah sambil tersenyum

“Pernah bah!. Cikgu tadika adik ada beritahu pasal tu. Kita kena sayang pada semua binatang, kerana binatang pun hamba Allah juga.” Bersungguh si anak menerangkan kepada si ayah tentang kasih sayang kepada haiwan ciptaan Allah yang dipelajarinya di tadika.

Si ayah hanya tersenyum. Bersyukur kerana anaknya telah mengerti erti kasih sayang sesama mahkluk, bukan sahaja kasih sayang sesama manusia malah juga kasih sayang antara manusia dan haiwan, malah dengan alam juga. Itulah yang diharapkan, pusat didikan anak-anak kecil menjadi pusat untuk melahirkan anak-anak kecil yang masih putih mengerti erti kasih sayang.


”Abah! Ada tak anjing yang gigit orang?” Soal si anak tiba-tiba.

”Ada!. Tapi itu cuma pada ajing yang mengidap penyakit anjing gila. Penyakit anjing gila ini tak ada ubat. Anjing-anjing seperti biasanya akan dimatikan oleh pihak berkuasa. Itu pun bila ia mula mengigit orang. Ataupun dikurung dahulu dan diberikan terapi supaya tidak lagi membahayakan orang ramai.” Jawab si ayah tanpa bosan.

Sebungkus makanan dalam plastik merah lebihan makanan di tangan si ayah. Perlahan-perlahan melangkah menuju ke arah seekor anjing kurap yang sedang berbaring di kaki lima.

Plastik merah itu dibuka. Isinya dikeluarkan. Perlahan si ayah meletakan makanan itu betul-betul di mulut si anjing.

”Woof! Woof! Woof!”

Si anjing bangun. Mengeleng-gelelngkan kepalanya. Lidahnya terjelir keluar. Ada air liur sama melilih. Kepalanya ditundukkan ke arah makanan yang terhidang. Dihidunya. Lidahnya menguiskan makanan yang terhidang. Dengan rakus makanan itu dikunyah sehingga habis. Tiada lagi yang tersisa.

”Woof! Woof! Woof!”

Salak si anjing perlahan. Muncungnya di arahkan kepada si ayah dan anak perempuanya yang menjarakkan diri lebih kurang sepuluh kaki dari si anjing. Kurang pasti, salakan untuk mengucap berterima kasih atau salakan meminta ditambah lagi makanan itu.

Si ayah memimpin tangan si anak bergerak meninggalkan si anjing menuju ke sebuah kedai membuat kek bernama Ah Moi Bakery. Mungkin untuk membeli kek harijadi untuk anaknya.

Aku yang sedari tadi duduk di kaki lima dan memerhati peristiwa itu kembali membelek-belek senaskah akhbar yang ku beli tadi. Mencari-cari kalau ada berita tentang seorang budak cedera digigit anjing gila.

”Woof! Woof! Woof!”



* * * *

”Woof! Woof! Woof!”

Sebaik sahaja menyerahkan kunci keretaku kepada mekanik, aku bergegas keluar dari bengkel membaiki kereta itu. Suasana dalam bengkel yang agak membahang tu memaksa aku mencari tempat lain yang lebih teduh sementara menunggu kereta aku itu siap diperbaiki.

Kereta tua aku ini memang kebelakangan ini ada sahaja ragamnya. Maklumlah kereta antik yang berumur lebih dari 50 tahun. Kereta pusaka dari arwah ayah. Kata ayah pula kereta ini warisan dari ayahnya atau datuk aku.

Walau dari luar, keretaku ini kelihatan cantik sekali, yang sebenarnya kebelakangan ini, selepas satu masalah ke satu masalah yang timbul. Baru bulan lepas, aku hantar untuk ke bengkel diperbaiki kerana kerosakan sistem penghawa dingin, hari ini dia buat hal lagi. Ada bunyi yang agak bising keluar dari enjinnya. Memang menjengkilkan apatah lagi pada ketika ekonomi aku sekarang ini sedang bergolak.

Perlahan-lahan aku melintas jalan menuju ke kaki lima deretan bangunan kedai yang berhadapan bengkel kereta itu. Agak redup di sini. Aku melabuhkan punggungku di kaki lima yang agak tinggi dari muka jalan. Aku memilih untuk duduk sahaja di kaki lima deretan kedai ini

Cuaca yang panas terik ini memang memeritkan. Peluh mula membasahi bajuku. Dahaganya memang terasa sekali. Sebotol air minuman sejuk berharga 50 sen sebotol yang ku beli di kedai runcit seberang jalan itu sudah separuh ku minum. Nasib baik kakilima ini mampu memberikan keteduhan kepadaku. Surat khabar yang dari tadi terkepit di ketiakku, ku buka.

”Woof! Woof! Woof!”

Tiba-tiba entah dari mana datangnya, seekor anjing kurap menyalak keras ke arahku. Tersentak aku dibuatnya. Anjing itu terus menyalak kepadaku. Pandangan matanya tepat padaku. Ekornya digerak-gerakan. Badannya dipenuhi kurap. Perutnya leper. Lidahnya terjelir keluar. Sebelah kaki kanan hadapannya aku lihat tempang.

”Shuh! Shuh! Shuh!” Jawab balasku kepada salakan anjing itu.

Masih berlembut membalas salakan keras anjing kurap itu. Kesian juga melihat keadaan anjing kurap ini. Namun kebelakangan ini anjing kurap yang selalu aku lihat berteduh di kaki lima deraean kedai ini mulai menunjukan garangnya. Kalau dulu kelihatan seperti seekor anjing bodoh, kini perangai sebenarnya mula terlihat.

Anjing itu tidak juga berganjak. Masih menyalak dan menderam dan mara setapak demi setapak ke arahku. Namun aku tak fikir anjing yang sekurap ini mempunyai keberanian yang sebenar untuk menakutkan aku. Seekor anjing kurap cuma berani mengacah sahaja. Namun aku perlu berhati-hati dengan kekurapannya yang mungkin mengandungi pelbagai virus yang merbahaya.

Aku bangun, bergerak sedikit jauh dari tempat yang aku duduki sebentar tadi. Anjing itu berhenti betul-betul berhenti di tempat yang aku duduk tadi.

”Woof! Woof! Woof!”

Sebaik sahaja habis menyalak anjing itu berbaring di situ. Matanya tetap memandang kepadaku. Lidahnya masih terjelir dengan air liur yang menjijis. Bukanlah sangat kerana dahaga atau penat. Memang itu sifat semula jadi seekor anjing.

Agaknya anjing itu menyalak kerana merasakan tempatnya itu cuba dirampas. Walau pun selama ini, ia cuma menumpang di kaki lima, ia tetap mengganggap inilah tempatnya. Siapa yang inginkan kawasannya pasti disalaknya.

Botol air mineral di tanganku, aku buka penutupnya. Masih separuh lagi air yang tersisa di dalamnya. Terus sahaja air yang masih tersisa aku togok ke mulutku. Aku habiskan air mineral ku, tiada tersisa. Hilang dahagaku, namun bahang cuaca panas masing tetap terasa.

”Woof! Woof! Woof!”



* * * *

”Woof! Woof! Woof!”

“Hahahaha..! Abu takut anjing, Abu takut anjing! Abu takut anjing kurap.” Terdengar teriakan sekumpulan kanak-kanak yang sedang lalu di kaki lima itu.

Kelihatan seorang budak yang masih berpakaian sekolah menengah mengurut-ngurut dadanya. Kawan-kawan yang lain bersorak mengejeknya. Memang budak lelaki gemuk tiba-tiba saja terlompat di hadapanku sebaik sahaja terpijak anjing kurap yang sedang berbaring itu betul-betul di selekoh kaki lima itu.

“Aku bukan takut anjing itu la, bodoh! Aku terkejut je.” Kata budak lelaki bernama Abu itu.

”Woof! Woof! Woof!”

Anjing kurap itu menyalak lagi, kali ini lebih garang. Mungkin kakinya itu sakit terpijak budak gemuk itu. Terhencot-hencot ia berjalan ke arah kumpulan budak-budak itu.

“Anjing kurap tu banyak penyakitlah. Mari kita baling dengan botol air mineral ni. Kita nyahkan dari situ.“ Kata Abu kepada kawan-kawannya.

Sebaik habis berkata demikian, sebotol air mineral yang kosong dibaling ke arah anjing kurap itu, diikuti oleh berapa botol lagi. Tepat mengena badan si anjing. Anjing kurap itu berundur sedikit sambil masih juga menyalak ke arah sekumpulan budak itu.

”Woof! Woof! Woof!”

”Oh! Anjing tu tak lari ye. Jom kawan-kawan, kita baling anjing kurap dengan batu!” Seru Abu sambil membongkok mengutip batu-batu sebesar ibu jari.

”Wooi... budak-budak, jangan kacau anjing tu. Kamu semua tak takut kena gigit dek anjing kurap ni.” Tiba-tiba entah dari mana, seorang Pak Lebai yang sedang berdiri di kaki lima kedai di seberang jalan menjerit kuat ke arah budak-budak..

”Woof! Woof! Woof!”

Kali anjing kurap itu seolah mula bergerak menghampiri kumpulan budak- budak itu.

“Lari! Lari! Anjing kurap nak kejar kita. Lari!”

Kumpulan kanak-kanak itu bertempiaran lari. Ada yang terjatuh-jatuh Ada yang tertinggal kasut. Aku lihat anjing itu hanya menyalak sahaja tetapi masih berada di situ. Kakinya yang tempang itu tidak mungkin akan bergerak pantas. Anjing kurap itu berbaring kembali menyambung semula rehatnya yang tadi terganggu oleh kumpulan kanak-kanak itu.

Mudahnya manusia digertak. Aku ketawa sendiri melihat gelagat kanak-kanak itu yang lari bertempiaran bila disalak oleh anjing kurap tempang itu. Nampak sahaja budak-budak tu kuat tapi sebenarnya penakut.

”Woof! Woof! Woof!”



* * * *

Surat khabar yang sedari tadi terkepit di ketiak, ku buka sambil mencari tajuk-tajuk berita yang menarik. Manalah tahu ada berita menarik dan sensasi. Maklumlah sekarang banyak sangat berita panas yang keluar Aku suka baca tantang khalwat dan gossip artis. Berita yang lain tu aku kemudiankan sahaja. Buat apa nak fikirkan sangat pasal hal-hal yang memeningkan kepada.

Rupanya tajuk paling hangat hari ini adalah tentang tersebarnya gambar seorang budak lelaki dikekah sekor anjing betina berusia 3 tahun. Anjing spesis ini dahulunya tak ada di Malaysia. Sekarang dah terlalu banyak, hingga salakannya boleh didengar di mana-mana. Dulu anjing spesis ini anjing spesis pendiam hingga kepalanya pun boleh digosok-gosok dan dipegang-pegang. Sekarang cubalah gosok kepala, terpokahlah tangan dikekahnya. Hingga tangan tuannya yang memberikan makanannya pun dikekah.

”Assalamualaikum bro!!” Aku ucapkankan salam kepada jiranku, Halim sebaik aku terpandang dia yang tiba-tiba muncul tidak jauh dariku. Ku hulurkan tangan.

”Waalaikumusalam Man.” Sambl tanganku disambutnya. Digoncang kuat tanganku. Kupiah berwarna putih terletak kemas di kepalanya. Ada secebis janggut kambing di dagunya.

”Wah! Sejak kau selalu ke surau kat taman kita tu, lain dah nampak kau ni. Dah macam ustaz je! Dah jarang kau ada kat kedai kopi tempat kita selalu berkumpul.“ Ujarku sambil tersenyum sambil mengajak dia duduk di kaki lima.

”Aku sedang berjuang menguatkan syiar islam. Apa ente buat sini?” Tanya Halim kepadaku pula.

Halim atau kini terpaksa ku panggil Ustaz, lulusan dari Universiti di Tokyo dalam bidang kejuruteraan automobil. Bekerja dengan sebuah syarikat kenderaan tempatan. Besar juga jawatannya di situ..

”Ana errr.. aku tengah baiki kereta. Ini tengah tunggu kereta aku siaplah ni.” Jawabku sambil tangan aku halakan ke arah sebuah bengkel kereta di seberang jalan.

”Banyak kali ana sudah cakap, Tukar sahaja kereta baru, senang tak ada masalah. Tapi ente degil, masih lagi nak pakai kereta pusaka datuk ante! Ente tukar kereta baru sajalah!” Ujar Halim kepadaku.

Aku senyum sahaja. Menukar kereta lama kepada kereta baru, bukan satu kerja mudah. Nak kaji juga kereta baru yang nak dibeli tu. Betul-betul ke bagus seperti dicanangkan. Nak kena tengok juga dari segi ekonomi, keupayaannya, keselesaannya, rekabentuk dan macam-macam hal lagi. Bukan boleh sesuka hati saja nak tukar kenderaan.

”Aku dengar kau ada bela anjing betul ke? Jenis apa anjing kau tu? Jenis yang dalam surat khabar ini ke?” Soalku untuk menukar tajuk perbualan kami.

”Betul! Baru dua bulan lepas. Jenisnya pun memang sama dengan yang dalam surat khabar tu. Aku bela untuk jaga keselamatan harta benda kami. Ramai sangat penyamun sekarang. Lagi pun bulan juga mengertak mana-mana orang yang nak kacau kita” Jawab Halim sambil menunjukan gambar jenis anjing yang tertera di dalam surat khabar tu.

”Menurut surat khabar ni, anjing yang kau bela ni sejenis anjing yang garang tapi tak setia. Tak kira siapa, walaupun tangan tuannya sendiri akan digigitnya kalau ekornya terpijak.” Balasku sambil menunjukan artikel tentang sifat-sifat anjing.

”Ah! Laporan surat khabar ni bukan boleh dipercayai sangat, kecuali laporan keputusan judi nombor ekor saja, itu pun kadang-kadang tersilap.” Dengus Halim. Kopiah di kepalanya diperbetulkan. Dahinya berkerut-kerut.

“Halim, kalau dalam bahasa Inggeris, kucing-kucing akan berbunyinya ‘Meow meow’. Kalau dalam Bahasa Malayua bunyinya “Meow meow" juga, tapi ejaan dia "miau miau". Tak adalah beza sangat. Kalau di Jepun, mesti kau tahu bunyinya?.” Sebelum perbualan kami bertukar panas, cepat-cepat aku tukar pula tajuk perbualan kam.

“Kucing di Jepun kalau berbunyi, bunyinya “Nya nya” jawab Halim tersenyum setelah aku lihat agak lama jugak dia berfikir.

“Hahaha! Ada ke bunyi "nya nya’? Betul ke kau ni? Tu bukan bunyi kucing, itu dah macam bunyi hantu mengilai je! hahaha!” Aku tergelak mendengar jawapan Halim.

“Kalau anjing pulak, di Amerika bunyi, Woof woof!” Ujar Halim lagi.

“Hei, jangan nak tipu, bukankah orang Amerika sebut the dog is barking ke? Jadi anjing di Amerika menyalak dengan menyebut ‘bark bark’ lah. Kalau ‘woof woof’, kenapa tak panggil ‘the dog is woofing’ je?”

“‘Bark bark’ untuk anjing kurap je. Itu, macam anjing kurap tu” Jawab Halim selamba, sambil mulutnya dijuihkan ke arah anjing kurap yang lena tertidur di kakilima.

“Ooo.... dah tu anjing Jepun menyalak macam mana pula?” Soalku lagi, maklumlah dia pernah belajar di Jepun.

“Er, wang wang~” Jawab Halim sambil mulutnya dinganggakan seolah menunjuk gaya anjing menyalak.

“Kah kah kah! Wang wang? Apa hal anjing Jepun ni. Hahaha! adoi!, senak perut aku gelakkan bahasa kau. Betul ke kau ni Halim?” tanyaku pambil tergelak.“Habis, anjing Malaysia bunyi macam mana?”

“Kong kong!”

“Kong kong?! Ha ha ha!!!! Apa kejadah anjing Malaysia tu, tak sihat ke? Wahaha!” Sengaja aku ketawa berlebihan depan Halim.

“Haah tak sihat, sebab semua anjing kurap! Kalau batuk teruk pun panggil ‘Batuk anjing’! Hahaha!!” Kami sama-sama ketawa tanpa disedari kami gelakkan bahasa kami sendiri.

“Adoi, pecah-pecah perut aku bincang dengan kau nih! Anjing Amerika baik, bagi duit kat anjing Malaysia aar, suruh beli ubat kurap. Hahahaha!” Ketawaku tak henti-henti.

Halim tersenyum. Entah apa maksudnya senyumannya aku kurang pasti. Menyindir atau tersindir.

”Ok lah Man, aku gerak dulu. Nak pergi pasar pulak ni. Assalamualaikum?” Halim bersalam denganku dan perlahan-perlahan meninggalkanku.

Sudah hilang sebutan arab Halim. Tiada lagi sebutan ana dan ente. Sudah kembali semula ke sebutan melayu asalnya.

”Woof! Woof! Woof!”



* * * *

”Woof! Woof! Woof!”

Tiba-tiba sebuah van putih biru berhenti betul-betul di hadapanku. Pintu van terbuka. Tiga lelaki dengan masing-masing memegang sebatang kayu yang bertali di hujungnya bergegas keluar.

”Woof! Woof! Woof!”

Anjing kurap segera bangun. Dalam keadaan kakinya tempang, ia berlari terhenjut-henjut. Melompat longkang di hadapan kedai, lantas menyusup di antara kereta-kereta yang diletak di situ.

Tiga lelaki yang memakai baju berwarna biru berlambang tu terus megejar sambil batang kayu yang di tangan dihulur ke arah anjing kurap itu.

“Hempit anjing tu ke tepi bangunan! Hempit, hempit jangan bagi dia terlepas.” Jerit salah seorang lelaki itu. Mungkin dia ketua kerana dia yang memberi arahan kepada dua lelaki lagi.

Anjing kurap itu terasak ke dinding bangunan. Di kelilingnya tiga orang lelaki yang sedang bersedia untuk menghulur tali tas yang akan menjerut lehernya, dan seterusnya membawa dia ke bilik kurungan. Bilik kurungan yang menempat banyak anjing-anjing yang sekurapnya.

”Woof! Woof! Woof!”

Si anjing kurap menjelirkan lidahnya. Mungkin ingin melakukan sesuatu. Matanya tajam merenung silih berganti ketiga-tiga lelaki yang sedang mengepungnya. Tali tas itu sedang bersedia bila-bila masa sahaja menjerut lehernya.

“Jaga-jaga kamu berdua, anjing yang tersepit ni bahaya. Ia akan bertindak tanpa berfikir. Jaga-jaga, anjing ni boleh mencederakan kita. Air liurnya tu punya virus yang boleh membunuh! Jaga-jaga!” Jerit ketua member peringatan.

Satu balingan tali ke atas kepala si anjing tersasar. Si anjing sempat mengelak ke belakang. Datang lagi satu balingan hampir berjaya menjerat lehernya. Ia sempat mengelak.

”Woof! Woof! Woof!”

Si anjing nekad, Ia melompat menerkam ke arah si ketua. Sempat si ketua menolak terkaman si anjing dengan menampan dengan tangannya. Hujung kayu tas itu terkena mata si anjing.

Si anjing jatuh terguling. Dia segera bangun dalam kesakitan sempat melarikan diri ke arah jalanraya. Sebuah motosikal yang kebetulan lalu di situ tidak dapat mengelak. Anjing itu dilanggar, lalu terpelanting ke arah jalan. Penunggang motosikal tercampak ke longkang. Si anjing mengelupur. Lidahnya terjelir. Ada darah merah pekat yang mengalir deras dari kepalanya. Kakinya terlipat, mungkin patah.

”Woof! Woof! Woof!”

”Woof! Woof!”

”Woof!”

Senyap. Tiada lagi pergerakan. Tiada lagi denyutan. Hanya ada darah merah yang mengalir dari kepala si anjing, membasahi jalan. Nafas si anjing terhenti.

Aku perlahan bergerak menuju ka arah tubuh seekor anjing yang tidak lagi bergerak. Aku hampiri. Aku lihat keadaan anjing kurap ini begitu menyayatkan hati. Segera tubuh anjing kututup dengan helaian akhbar yang belum habis ku baca. Darah merah masih mengalir dari bawah kertas akhbar itu. Kasihan!

Aku segera kembali ke bengkel kereta. Melihat kalau-kalau kereta tua aku itu telah siap diperbaiki. Masih lagi belum siap diperbaiki.

Di luar bengkel masih ada lagi beberapa ekor anjing kurap yang sedang berkeliaran.

”Woof! Woof! Woof!”

Picture by
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh5egy1t7izTWzRGqeYMJAIspa_qXURuOD97wMatMPZQG2GoaXEkOmZNF8kPv5B9UjPJP29MWY7jdHoeyKtiCxBfMmLQpYpbxhYV80t9-JpUGUfCo0hu_gRLNtgdIpQn5QusdPLeUEYOfY/s320/anjing.jpg"

3 comments:

  1. Salam ziarah Pak Penyu.

    Semalam saya buka kotak e-mail dan terima satu mesej dari kapa. Sebuah cerpen dari Pak Penyu. Malangnya, saya sedang berehat dari menjenguk ke kapa. (membawa hati yang lara sebenarnya) hehehe...

    Mujur Pak Penyu uploadkan di blog. Boleh saya membacanya.

    Baiklah, begini... tema yang menarik dan saya dapat mesej yang cuba disampaikan. Namun, saya agak terganggu dengan flow cerita ini.

    Bukan kerana plotnya tidak lancar, tetapi bagai ada sesuatu yang kurang cukup. Saya tidak tahu bagaimana untuk jelaskan. Mungkin saya perlu membacanya sekali lagi. Atau saya yang silap menafsir. Maaf jika begitu.

    Walau apa pun, bagi saya secara keseluruhan, ia cerita yang baik dan menarik. Rasa macam nak buat cerita pasal kucing pula. Hahaha...

    Baiklah, sekian dulu. Jumpa lagi.
    -ridhrohzai-

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Rid One. Memang flownya agak terganggu. memang saya ada masalah sikit dengan cerpen ni. Dah lama tebengkalai, tapi siapkan juga semalam. Selagi tak siap memang rasa susah hati. Mungkin saya akan olah lagi tapi buat masa ni setakat yang ada ni dulu.

    Terima kasih kerana bagi feedback.

    ReplyDelete
  3. Ooop... ada yang tertusuk di kapa ke, Maaf lah, pak penyu terlepas pandang.

    Perkara-perkara macam ni biasalah, jangan berjauh hati lama sangat.

    ReplyDelete