Sunday, May 17, 2009

Sara (untuk kau yang terluka)


Dik,
Kita sebenarnya belum bermula
cuma berlari-lari di bibir pantai
kaki kita hanya basah oleh buih-buih ombak
laut di hadapan luas
menanti dengan gelora dan badai
pulau itu bukan fatamorgana
itulah mimpi yang kita kongsi
bersama perahu dan pendayung di tangan


Dik,
Ku lihat telapak kakimu tersayat
merah oleh gigitan ketam-ketam pasir
bersama seguris tikaman teritip di batu karang
itu hanya laut berkirim salam
dibingkiskan buatmu segaris luka
erti sebuah pelayaran
kerana laut itu adalah kehidupan


Dik,
biar kubalut dulu luka itu
dengan kelembutan daun nyiur dan buah bidara
sebagai bekalan dan azimat peneguh jiwa
camar-camar di laut itu kau jadikan teman
pasti nanti tak lupa kubisikan bismillah di telingamu
bermulalah
dan jangan berpaling

- Teluk Bidara 2009



Picture by
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjCvo80e6STsUXKu4MeIB9WGw6h4XBMiDXdiaaqN5sSjcyvNwj0pOhYadQdm57EY07co3GuwdINYgOSo96_shcojLplpcbcIhFzeJt8izHFC71cC57cm2JlgARPfNYupSiTMJbwM8d-HzU/s400/sunrise+at+tanjung+lesung.jpg

6 comments: