Angin laut yang terus berbisik di Teluk Bidara ini adalah bicara tentang kehidupanku. Di sinilah sewaktu kecil, aku lelah bermain-main mengejar ombak dan anak-anak ketam yang sedang berlarian di pasir pantai. Di sini jugalah, aku akan terus berbicara tanpa jemu tentang laut, ikan, sotong, udang, si camar, terumbu karang, ombak badai, gelombang laut, sang helang berdada merah dan tentang segunung harapan di hatiku. Di pantai Teluk Bidara inilah angin dari Laut China Selatan akan terus berbisik tanpa henti. - Upenyu

Sunday, March 23, 2014

SEKEPING POTRET DI DINDING GALERI - TERSIAR DI MAJALAH MINGGUAN WANITA 21 -27 MAC, 2014





Sekeping Potret Di Dinding Galeri
Karya: Upenyu


Beberapa orang lelaki setengah usia melangkah masuk ke galeri lukisku sambil memerhatikan beberapa lukisan yang sedia terpamer. Berbisik-bisik sesama sendiri kemudian terus keluar tanpa sepatah kata.

Aku tidak ambil kisah kalau mereka sekadar datang dan terus berlalu pergi seperti itu. Memang sahaja karya-karya aku ini tidaklah sehebat karya-karya pelukis mampan tanahair. Namun sekeping potret seorang perempuan muda berbaju kebaya duduk menyamping di kerusi kayu telah menarik perhatian seorang gadis muda.

Potret ini yang sebenarnya belum siap sepenuhnya namun telah hampir sebulan tersisih di sudut kecil galeri lukisku, sebuah galeri lukis yang sebenarnya hanyalah sebuah lot kedai bersaiz kecil dan tersisih di laluan kaki lima sebuah pasar raya terbesar di bandar ini.Tiada siapa yang peduli tentang sekeping potret yang tidak siap ini sehinggalah datang seorang gadis yang bertanya tentangnya. Seingat aku telah beberapa kali gadis ini datang ke galeri lukisku. Menatap potret itu dengan tekun kemudian tanpa sepatah kata terus berlalu pergi. Hari ini peliknya, dia mula bertanya tentang potret ini.

“Potret ini, masih belum siap?” Soal gadis itu tiba-tiba.

Jari- jemariku yang tadinya asyik mengadunkan warna-warna untuk dicurahkan ke atas kanvas putih terhenti seketika mendengar pertanyaannya. Aku berpaling memandang ke arahnya. Ada sesuatu yang aku rasa sedang bermain-main di fikirannya. Sengaja aku biarkan pertanyaan gadis itu berlalu tanpa jawab. Aku kembali mengadunkan warna-warna yang tadinya tertangguh sebentar.


Sebenarnya dengan melukis potret perempuan ini aku harapkan boleh menghapuskan dendam amarahku kepada seseorang. Namun setelah sebulan berlalu, lukisan potret ini masih belum dapat aku siapkan. Mungkin dendam yang lama terpendam terlalu kuat menghalangku dari menyiapkannya. Setiap kali aku ingin menyiapkannya, api kemarahan tiba-tiba datang membuat tanganku mengigil. Lalu aku putuskan untuk membiarkan sahaja ia tergantung di dinding galeri lukisku.

“Kenapa potret ini berwarna merah? Adakah ia tentang dendam seorang lelaki?”

Gadis itu bertanya lagi. Jelas terlihat riak keresahan terpamer di wajahnya. Bagaikan ada sesuatu yang sedang membuak-buak di hatinya menunggu saat untuk dilontarkan keluar. Dia seolah-olah sedang mencari satu jawapan yang tersembunyi pada potret itu

“Potret ini tidak akan pernah siap. Potret ini adalah tentang amarahku, dan merah itu adalah apinya, tidak akan pernah terpadam.” Getusku memberi isyarat bahawa aku enggan lagi menjawab pertanyaan gadis itu.

“Perempuan dalam potret ini menyerupai seseorang yang saya kenal. Kalau saya boleh bertanya, siapakah perempuan dalam potret ini?”

Aku mengalihkan pandanganku ke arah gadis itu. Dia berpaling membalas pandanganku dengan satu senyuman membelakangkan potret itu. Aku tiba-tiba terkesima. Tubuhku sedikit tergetar. Aku mulai tersedar, wajah gadis itu hampir sama dengan perempuan dalam potret itu. Mereka memang mirip. Aku seperti tercampak ke dalam kesunyian yang mendadak hadir, yang mula-mulanya lembut, namun mulai bergelora, menghempas-hempas amarahku.

“Perempuan itu bukan sesiapa. Ia hanya imiginasiku tentang kesengsaraan.” Balasku sedikit keras mengawal amarah yang tiba-tiba datang membara.


*****


Seusia aku 15 tahun, aku telah mula bertanya kepada ibu dan ayah, mengapa di sekolah namaku dipanggil sebagai Ridhwan bin Abdullah, sedangkan Abdullah bukan nama ayah yang sebenar. Walaupun ibu berulang kali berusaha mengelak untuk menjawab, tapi desakan demi desakan dariku beserta rajuk yang panjang membuatkan ibu akhirnya akur.

Dua belas tahun perkahwinan tanpa zuriat, kedua ibubapaku memutuskan mengambil seorang anak angkat, lalu aku diambil dari sebuah rumah kebajikan. Menurut ibu, pegawai di rumah kebajikan itu menyatakan aku dijumpai di tangga sebuah surau pada waktu jemaah selesai menunaikan solat subuh.

Kira-kira lima bulan sebelum majlis pernikahanku akan berlangsung, ibu menghulurkan sekeping gambar seorang perempuan. Aku lihat air mata mengalir di pipi ibu. Ayah hanya diam membisu. Kata ibu, ini adalah hadiah istimewa perkahwinanku. Sekeping gambar usang kekuningan seorang perempuan muda.

“Perempuan dalam gambar ini mungkin ibu kandungmu, perempuan yang mengandung dan melahirkanmu. Gambar ini ada bersama-samamu sewaktu kau ditemui dahulu. Kamu sememangnya mewarisi wajahnya.” Jelas ibu.

Hanya sekeping gambar usang yang sudah kekuningan sahaja yang mampu bercerita tentang ibu kandungku yang sebenar. Tidak mengapa, setidaknya aku sudah melihat wajah Ibu semasa muda. Bermata teduh, dan sekelam lumpur yang dalam. Mungkin lumpur itu telah menenggelamkan seseorang lelaki yang boleh aku panggil ayah, seorang ayah tanpa nama dan wajah.

“Kita tidak diberi pilihan untuk memilih dari rahim perempuan mana kita akan dilahirkan. Allah yang mengaturkan segalanya. Allah telah memberikan kamu kepada kami melalui rahim seorang perempuan yang ibu sendiri tidak kenali. Cari dan jemputlah dia ke majlis pernikahanmu.” Ujar ibu.

Perempuan dalam gambar inilah yang membuatkan aku menanggung dendam kesepian yang terpendam begitu lama. Rindu yang memanggil, dan dendam pada perempuan itu yang  silih berganti bergelora di dalam hatiku. Kalau aku bertemu Ibu kandungku, tentu sekali aku akan menyempatkan diri bertanya, kenapa Ibu tergamak membuang aku.


*****


“Saya sebenarnya sedang mencari abang kandung saya yang tidak pernah saya kenali. Malah namanya jugak tidak saya tahu.  Saya harap abang dapat membantu.” Gadis itu kembali bersuara.

Aku tidak berkata apa-apa, cuma diam sambil memandang wajah perempuan dalam potret itu. Sesekali angin dari luar mencari-curi datang berhembus, lukisan itu bergetar, dan dadaku pun turut bergetar yang  tak mampu aku redakan. Pertanyaannya membuat aku terasa agak pelik. Apa kaitan potret perempuan ini dengan seorang abang yang sedang dicarinya.

“Barangkali pertanyaan ini menyakitkan hati abang. Tetapi jawapan abang akan meruntuhkan beban yang menekan bergelayut dalam kepala saya selama ini. Perempuan dalam gambar ini adalah ibu saya sewaktu mudanya.” Ujar gadis itu dengan suara yang bergetar.

Gadis muda itu yang mula memanggil aku sebagai abang memendam sorot mata yang penuh harap dan cemas, menanti jawapan kepastian dariku.  Air mata yang mulanya perlahan namun menjadi deras mengalir di tebing pipinya.

“Jujurlah dengan saya bahawa perempuan dalam gambar ini juga ibu abang.” Sambung gadis itu lagi sambil tetap memandangku dengan mata harap.

Bagaikan ada yang tersangkut dikerongkong. Tiada patah perkataan untuk kuungkapkan walau pun untuk sekadar berkata ya. Perlahan-lahan aku anggukkan kepalaku. Gadis itu pantas memelukku sambil menangis teresak-esak..
               
“Alhamdulillah, pencarian saya selama ini telah berakhir. Nama ibu kita Rahimah. Saya ingin membawa abang pulang menemui ibu. Sudikah abang?” Rayu gadis itu.

Aku masih terdiam. Merasa asing dengan permintaannya. Tak pernah aku mendatangi Ibu. Apa lagi mencarinya. Aku menolak permintaannya. Dia berusaha memujukku untuk bertemu ibu. Tetapku tolak. Kali ini suaraku dingin. Mungkin gugup. Namun aku memang harus memperlihatkan pendirian tegasku padanya.

Aku tak pernah mengerti kenapa aku dilahirkan begini, bahkan aku tak pernah meminta Tuhan untuk meniupkan rohku ke dalam rahim ibu kandungku. Andai kata ada semacam pemilihan di alam roh, aku akan lebih rela memilih dilahirkan melalui rahim seorang perempuan biasa yang tidak punya apa-apa tetapi halal hubungannya.

Usah lagi bercerita padaku mengenai Ibu kandungku, perempuan yang sepatutnya disapa dengan sepenuh keagungan jiwa, pemujaan, permohonan doa dan restu. Aku memutuskan untuk tidak mahu mengenali Ibu. Aku telah dibuang oleh ibu kandungku sendiri. Itu kenyataan yang amat pedih untukku terima. Apa salahku pada ibu hingga diperlakukan begini. Hakikatnya aku ini terlahir dari kerakusan nafsu manusia yang lupa tentang larangan agama.

“Pulanglah bang. Bertemulah dengan ibu walaupun untuk seketika. Janganlah dihukum ibu sebegitu. Ibu sendiri mungkin sedang menerima hukuman dari Allah. Ibu tak akan mampu bertahan lama. Kanser rahimnya sudah di tahap empat.” Pujuk gadis itu lagi.



*****


Sejak hari itu, adik perempuan kerap datang mengunjungi sambil memujuk aku bertemu dengan ibu, namun tidak pernah aku endahkan. Hinggalah sewaktu ibu kandungku sudah terbaring koma di hospital, aku masih tak pergi menjengoknya. Telefonku berdering dan tak berhenti berdering, tidak sesekalipun aku ingin menjawabnya. Kubiarkan sahaja adik perempuanku menelefon berkali-kali.

Apa peduliku dengan perempuan itu! Seorang Ibu kandung yang melahirkanku, lalu mencampak diriku seperti sampah sebaik aku terlahir ke dunia. Aku tak perlu peduli. Perempuan jenis apakah yang membuang anaknya yang dikandungkan selama sembilan bulan tanpa belas dan kasih sayang. Kalau perempuan ini tidak menginginkan aku, aku telah punya Ibubapa angkatku yang menyayangiku tanpa beza.

Menjelang maghrib sewaktu dalam perjalanan pulang rumah, aku bergegas singgah di sebuah surau untuk menunaikan solat maghrib.  Hanya beberapa orang lelaki yang agak berusia, seorang lelaki yang mungkin sebaya denganku, seorang perempuan muda dan seorang perempuan tua yang jelas kelihatan keuzurannya yang berada di surau itu. Lelaki sebayaku yang aku kira seorang ustaz berdasarkan penampilan dan perwatakkannya mengimamkan sembahyang maghrib kami.

Sebaik selesai solat dan berdoa sambil menunggu waktu isyak, aku mengajak ustaz berkenaan berbual-bual kecil di serambi surau. Kami berbual tentang beberapa perkara termasuk yang berkaitan dengan ugama. Tanpa sedar secara tidak sengaja aku tertanya padanya, kenapa aku dilahirkan dari rahim seorang perempuan yang tidak halal hubungannya, bukankah Tuhan membenci perkara itu.

Tanpa aku sangka, hanya titisan air mata sebagai jawapan atas pertanyaanku. Ustaz hanya terdiam seolah telah kehilangan kata-kata. Jeda masa yang tanpa kata itu aku rasa amat panjang. Sesungguhnya aku sememangnya dahagakan satu jawapan untuk meredakan rasa yang kerap memberontak.

“Tak usah menyalahkan Ibumu. Tak mungkin juga menyalahkan Allah karena membuat kamu berada di dunia ini.” Ujar Ustaz sambil mengesat air mata yang terus mengalir di pipinya.

Lalu ustaz bercerita tentang kisah seorang pemuda yang telah dijanjikan satu tempat di syurga kerana ia telah menjaga kedua ibubapanya yang telah bertukar menjadi babi. Walaupun dicerca dan dihina oleh masyarakat, namun tidak sesekali membuatkan pemuda itu melupakan tanggungjawabnya kepada kedua ibubapanya, malah dibela dan dimandikan persis manusia.

“Maksud babi dalam kisah itu mungkin bukanlah babi yang sebentar. Mungkin Ianya adalah perumpamaan tingkahlaku buruk kedua ibubapanya yang dipandang hina oleh masyarakat waktu itu. Namun tetap menjadi kewajiban untuk si anak untuk mentaati dan menjaga kedua Ibubapa dengan baik!” Sambung Ustaz lagi.

“Tapi kenapa saya? Kenapa bukan orang lain. Saya hanya mahu menjadi seperti orang lain yang mempunyai kedua ibubapa kandung saya sendiri. Saya sudah tidak sanggup menanggung penghinaan masyarakat.” Balas saya perlahan.

“Percayalah, suatu saat nanti kau akan menemukan kebenaran dan hakikat hidup diri seorang hamba Allah. Dia tidak menciptakan makhluk yang tidak mempunyai jalan hidup. Perkara kau dilahirkan samada dari seorang perempuan yang halal hubungannya atau tidak, itu adalah kehendakNya. Tanggungjawab kamu adalah mentaati kedua ibubapamu walau siapa mereka sekalipun.”

Ustaz mengakhiri kata-katanya lalu bangun sambil meminta izin untuk mengalunkan azan Isyak. Aku terus bersandar di dinding surau sambil menikmati setiap patah laungan azan dengan penuh rasa keinsafan. Kata-kata ustaz itu tadi benar-benar menusuk ke hatiku. Tanpa sedar ada butiran air mata yang mengalir di pipiku.

Selepas solat isyak, kami bersalaman untuk berpisah. Ustaz segera mendukung perempuan tua uzur itu yang sebenarnya adalah ibunya untuk bergerak menuju ke keretanya yang terletak tidak jauh dari surau .

”Nasib kita serupa. Saya telah melalui apa yang kamu sedang lalui dan saya redha. Belajarlah menjadi seorang hamba yang redha dengan ketentuan Allah.” Sempat ustaz berbisik.


*****


Kata-kata ustaz  sebentar tadi datang bersilih ganti. Ada rindu yang memanggil. Barangkali aku perlu menemukan Ibu. Aku tak boleh membenci Ibu, dia tetaplah ibu kandungku. Aku tak boleh menggugat Tuhan atas kelahiranku, siapalah aku sekadar seorang hamba yang dilahirkan ke dunia atas belas ehsanNya.

Aku kembali semula ke galeri lukisku. Kembali untuk menatap sekeping potret yang telah lama tidak dapat aku siapkan. Menatap seraut wajah yang sebenarnya amat aku rindui. Tak mungkin menyalahkan Ibu, tak mungkin juga menyalahkan Tuhan karena membuat aku ada di dunia ini.


Ingin aku tebus kehinaanku sebagai seorang lelaki yang tidak mempunyai ibu kandung, seorang anak yang hanya mengenali kedua ibubapa angkatnya sahaja. Getir rasa hatiku tak mengenal ibu kandung. Aku ingin sebagaimana layaknya seorang lelaki biasa yang dapat mempertemukan bakal isteri dengan ibu kandungnya. Tidak hanya kedua Ibubapa angkat yang dapat aku perkenalkan pada keluarga bakal isteriku.  Bahkan mungkin sahaja mempertemukan dengan saudara-saudaraku yang lain.

Dalam keremangan malam, kutemukan takdir perjalanan hidupku, bahwa manusia turut mempunyai erti untuk orang lain. Perkara dosa silam Ibuku adalah urusan ibu dengan Tuhan, namun akan aku doakan agar  segala dosa ibu diampunkan Tuhan. Maafkan aku Ya Allah di atas kelanjuranku selama ini membenci ibu kandungku sendiri.

Potret wajah ibu akan aku segera siapkan. Ia bukan lagi sebuah potret tentang kesengsaraan, kebencian dan dendam  tetapi tentang kerinduan dan kasih sayang antara seorang anak dan ibunya. Potret ini akan aku gantung di dinding galeriku dengan penuh rasa kemegahan bahawa dia adalah ibu kandungku. Kebencianku telah benar-benar berakhir.


No comments:

Post a Comment